Friday, October 15, 2010

PANAS! LAPORAN POLIS MOHD RASID - SEORANG LAGI PEMBANTU ANWAR IBRAHIM

Seorang lagi bekas pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis hari ini, atas dakwaan beliau telah dipaksa menandatangani satu akuan bersumpah pada Jun 2008.

Mohd. Rasid Mohd. Rosdi, 31, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada pukul 12.30 tengah hari dan dipercayai ada kaitan dengan kes liwat membabitkan Anwar dengan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Dia turut membuat akuan bersumpah untuk menarik balik akuan terdahulu yang menceritakan hubungannya dengan Anwar dan bagaimana ia disediakan oleh peguam Anwar.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman, 25, membuat laporan polis berhubung dua akuan bersumpah yang dibuatnya berkaitan kes itu dan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd. Rasid dalam akuan bersumpah itu yang diedarkan kepada media mendakwa mengenali Anwar ketika menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh pada 2001 selama setahun atas kesalahan cubaan samun bersenjata di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Semasa di dalam penjara, dia mendakwa, telah diberikan kerja untuk menjaga kebersihan bilik Anwar, menghantar pakaian ke dobi dan mengambil makanannya dari dapur.

Dakwanya, dia juga menemankan Anwar untuk membuat senaman ringan di sebelah petang dan menyediakan air panas ketika pintu sel hendak dikunci.

''Selepas keluar dari penjara, atas cadangan Anwar saya diberikan kerja sebagai penghantar surat di pejabat peguam beliau, Sankara Nair selama setahun. Selepas Anwar dibebaskan pada 2004, saya dipanggil untuk bekerja dengan beliau sendiri sebagai pembantu di kediamannya di Bukit Damansara.

''Selepas bekerja lebih kurang tiga tahun di kediamannya, saya berhenti seketika dan kemudiannya menyambung kembali tugasan di pejabat peribadi Anwar di Petaling Jaya selepas Pilihan Raya Umum 2008,'' dakwanya dalam akuan bersumpah itu.

Mohd. Rasid mendakwa, tugasnya ketika itu adalah sebagai pembantu am yang melakukan pelbagai tugas yang diamanahkan oleh Anwar.

Dakwanya, ketika bertugas sebagai pembantu am Anwar, beliau mengenai Mohd. Saiful Bukhari dan beberapa staf lain seperti Muhamad Rahimi dan Ibrahim Yaacob.

Dalam akuan bersumpah itu, Mohd. Rasid mendakwa, dia mendapat panggilan telefon daripada peguam Anwar, Saiful Izham Ramli pada malam 28 Jun 2008 tetapi tidak dijawab.

''Kemudian saya menerima panggilan daripada Anwar sendiri serta meminta saya datang ke Hotel Quality, Shah Alam. Saya pergi ke sana dihantar oleh isteri dan anak. Apabila sampai di hotel, saya melihat ramai penyokong PKR termasuk pemimpin-pemimpin parti berada di lobi.

''Dari situ, ada penyokong PKR memberitahu saya bahawa Mohd. Saiful Bukhari telah membuat laporan polis mengatakan dia telah diliwat oleh Anwar. Saya memperkenalkan diri dan dibawa ke lif oleh beberapa orang yang saya tidak kenali dan dibawa naik ke tingkat atas,'' dakwanya.

Dakwa Mohd. Rasid lagi, dia turut melihat hampir 20 pemimpin parti termasuk Anwar, pengawal peribadi, peguamnya dan beberapa individu tidak dikenali.

''Saya melihat peguam Latheefa Koya sedang sibuk menyediakan satu dokumen yang saya tidak tahu apa sebenarnya. Saya bertemu dengan Anwar dan bertanyakan apa yang sedang berlaku. Anwar menceritakan kepada saya bahawa Mohd. Saiful Bukhari telah membuat laporan polis mengatakan dia telah diliwat.
''Anwar menyuruh salah seorang staf yang saya tidak ingat siapa, menyediakan saya sebuah bilik di hotel dan memesan kepada staf tersebut untuk mengelakkan saya daripada bertembung dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Saya telah memanggil isteri dan anak ketika itu yang sedang menunggu di dalam kereta untuk naik ke bilik bersama dengan saya,'' dakwanya.

Bagaimanapun, jelas Mohd. Rasid, dia tidak dapat tidur kerana beberapa kali dipanggil oleh peguam Anwar iaitu Latheefa dan R.Sivarasa.

''Pada keesokannya, saya dipindahkan ke sebuah bilik bersebelahan dengan bilik di mana seorang lagi rakan saya, Muhamad Rahimi ditahan. Isteri dan anak saya dibenarkan pulang ke rumah tetapi saya diarahkan untuk berada di bilik tersebut. Saya tidak dibenarkan ke mana-mana ataupun kembali ke rumah saya.

''Ketika saya sedang berbual dengan Muhamad Rahimi di biliknya, dua orang lelaki masuk ke bilik dan tiba-tiba salah seorang daripada mereka menyerangnya. Ketika cuba meleraikan, salah seorang daripada pengawal peribadi Anwar telah menghalang dan kemudian menolak serta menengking saya.

''Dari situ, saya dapat merasakan bahawa saya dan Muhamad Rahimi berada di dalam keadaan tidak selamat dan sedar bahawa saya perlu akur dengan apa jua permintaan mereka demi keselamatan saya, Muhamad Rahimi dan juga keluarga,'' dakwanya.

Dakwa Mohd. Rasid, sepanjang empat atau lima hari di hotel tersebut, dia dikawal oleh dua lelaki yang tidak dikenali daripada Angkatan Muda PKR Negeri Sembilan.

''Demi keselamatan, saya memberikan sepenuh kerjasama kepada mereka. Beberapa hari kemudian, saya dan Muhamad Rahimi dibenarkan pulang tetapi sebelumnya, kami dikehendaki mengikut Latheefa ke sebuah pejabat Pesuruhjaya Sumpah di Petaling Jaya dan diminta menandatangani satu dokumen akuan bersumpah yang saya sendiri tidak memahami apakah sebenarnya isi kandungan dan tujuan dokumen tersebut.

''Akuan bersumpah tersebut tidak pernah dikarang oleh saya malah Latheefa sendiri tidak menceritakan kepada saya apa sebenarnya dokumen tersebut serta tujuannya. Apabila melihat sepintas lalu, saya mendapati akuan bersumpah tersebut disediakan untuk menceritakan bahawa Anwar tidak pernah melakukan gangguan seksual kepada mana-mana stafnya termasuk saya,'' dakwanya.

Dakwa Mohd. Rasid, walaupun tidak faham sepenuhnya dan tidak setuju dengan apa kandungan dokumen itu, dengan berat hati dia tetap menurunkan tandatangan.

''Ini kerana saya memikirkan perkara-perkara buruk yang boleh terjadi kepada saya dan keluarga jika tidak bekerjasama dengan mereka. Saya juga tidak mahu mereka menggunakan latar belakang saya untuk mengaibkan saya dan keluarga jika enggan bekerjasama.

''Lebih-lebih lagi saya diarahkan agar tidak bekerja dan juga agar tidak menonjolkan diri sehingga perbicaraan Anwar tamat," dakwanya.

Mohd. Rasid berkata, dia telah menanggung satu perasaan tidak selamat dan takut kerana berasakan akan dikenakan hukuman jika menarik balik akuan bersumpah itu.

"Setelah melihat Muhamad Rahimi membuat laporan polis untuk menarik balik akuan bersumpahnya, timbul rasa keinsafan dalam diri dan sedikit keberanian untuk saya memperbetulkan kesilapan dahulu,'' jelasnya.
Katanya, akuan bersumpah untuk menarik balik akuan bersumpah terdahulu dibuat dan disebut olehnya dalam keadaan sedar dan memahami isi kandungannya.

''Saya dibantu seorang rakan sebagai penaip dan semasa menyediakan akuan ini, saya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau dipaksa.

''Saya membuat akuan bersumpah ini dengan kepercayaan bahawa apa- apa yang tersebut di dalamnya adalah benar menurut Akta Akuan Berkanun 1960,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh Mohd. Rasid.

No comments:

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.