Wajah Nasharudin jadi persoalan
|
|
MACHANG 10 Jun - Apakah Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok sudah ditolak di Kelantan?
Itu persoalan yang timbul menjelang Muktamar Tahunan Pas Ke-51 esok berdasarkan tidak ada satu pun gambar pemimpin nombor dua parti itu dipaparkan pada poster atau kain pemidang yang dipasang di seluruh bandar Kota Bharu.
Situasi itu turut menarik perhatian salah seorang perwakilan pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas di sini hari ini.
Ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulama Pas, perwakilan dari Terengganu itu membangkitkan mengenai ketiadaan gambar Nasharudin.
"Saya ingin bertanya kenapa tidak ada gambar timbalan presiden pada poster dan latar belakang pentas Muktamar Dewan Ulama Pas hari ini, yang ada hanya gambar presiden dan mursyidul am Pas sahaja.''
Bagaimanapun Pengerusi Lajnah Penerbitan Dewan Ulama Pas Pusat, Abdullah Abdul Razak menafikan bahawa gambar Nasharuddin tidak diletakkan disebabkan beliau tidak diterima di Kelantan.
"Fokus Dewan Ulama hanya pada kepimpinan tertinggi, kalau letak gambar timbalan presiden nanti kena letak gambar timbalan mursyidul am pula.
"Gambar Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah memadai untuk mewakili kesemua saf kepimpinan parti,'' katanya.
Ditanya mengenai keadaan yang sama berlaku di Kota Bharu dan kawasan muktamar di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Abdullah yang ditemui media berkata:
"Kalau di Kota Bharu saya tidak tahu ada atau tidak gambar timbalan presiden sebab saya sibuk di sini."
Latar belakang pentas pada Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat hari ini hanya memaparkan gambar Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz serta tiga pemimpin Dewan Ulama iaitu ketuanya, Datuk Harun Taib; timbalannya, Datuk Ahmad Yakub dan naib ketua, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.
Sebelum ini, terdapat desas-desus yang menyatakan Nasharudin ditolak di negeri ini setelah dibidas oleh Nik Abdul Aziz kerana dianggap cuba untuk menjalinkan hubungan dengan UMNO.
Sejak daripada itu, pengaruhnya di negeri ini dikatakan semakin menurun malah wujud laporan menyatakan Nasharudin tidak dibenarkan muncul pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai tahun lalu.
Bagaimanapun beliau akhirnya muncul tiga hari sebelum hari pengundian pada 14 Julai 2009 sambil mengakui sememangnya Badan Perhubungan Pas Kelantan tidak membenarkannya hadir pada pilihan raya tersebut sebelum dibenarkan semula oleh Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi.
Ketika itu, isu kerajaan perpaduan yang asalnya cadangan tersebut ditimbulkan Abdul Hadi sedang hangat diperdebatkan di negara ini.
No comments:
Post a Comment