Monday, August 8, 2011

TERKINI : BERITA 8 OGOS 2011 - BERKAITAN GEREJA KRISTIAN MEMURTADKAN UMAT ISLAM

Isu serbu gereja: Pas mahu jumpa JAIS, pihak gereja

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Jawatankuasa Pas Pusat hari ini memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) dalam masa terdekat bagi membincangkan isu serbuan terhadap gereja itu Rabu lepas.

Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berkata, perjumpaan itu perlu diadakan bagi mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua belah pihak sebelum mereka menyatakan pendirian berhubung serbuan tersebut.

"Untuk memastikan kita bersikap adil, kita akan terus berjumpa dengan Jais dan pihak gereja (DUMC) bagi mendapatkan ”maklumat” tentang apa sebenarnya yang berlaku pada serbuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bulanan parti itu di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Pada mesyuarat itu, Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hassan Mohd Ali turut hadir bagi menjelaskan kenyataan beliau sebelum ini yang mempertahankan tindakan Jais yang melakukan serbuan di gereja tersebut.

Bagaimanapun, Dr Hassan terus beredar pulang sebelum sidang media itu diadakan. - Bernama

JAIS, murtad dan persoalan undi

7 Ogos 2011: ISU serbuan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas gereja Methodist Damansara Utama bagi mengesan unsur murtad di kalangan beberapa orang Islam, nampaknya menjadi panas.

Semua pihak harus bertenang dalam isu agama yang mudah membakar sentimen. Janganlah cepat melatah dalam memberikan reaksi. Keghairahan untuk mempolitikkan isu seperti itu tidak akan menguntungkan sesiapa.

Dapatkanlah gambaran lebih jelas terlebih dahulu sebelum membuat sebarang rumusan. Dalam Awang bersetuju bahawa JAIS perlu berhati-hati dan bijaksana dalam tindakannya, kita juga perlu memahami realiti hari ini termasuk ancaman kegiatan murtad yang kian membimbangkan.

Berdasarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Dr. Hasan Mohd. Ali, tiada serbuan dan tangkapan yang dibuat. Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan. Menurut beliau, berdasarkan laporan JAIS, terdapat bukti kegiatan penyebaran agama lain kepada penganut agama Islam. Jika benar, ia adalah amat serius dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal ini, Jais dan Dr. Hasan tidak wajar menjadi sasaran kritikan semberono termasuk dari kalangan PKR dan sebahagian pemimpin Pas. Ini bukan soal perkiraan menjaga undi penganut agama lain. Ini soal lebih besar iaitu menghormati kesucian Islam, sebagaimana juga kita menghormati agama lain. Agama Islam bukan dagangan.

Maka JAIS atau mana-mana jabatan agama perlu diberi ruang melaksanakan tugas sebagaimana pemeriksaan dan pemantauan terhadap pelbagai aktiviti lain yang mencurigakan.

Apatah lagi kebelakangan ini ada NGO yang dilaporkan berselindung atas nama kebajikan, aktif membantu warga miskin dan ibu tunggal Islam, sebelum memesongkan akidah mereka.

Ini meliputi bantuan wang tunai, tempat tinggal, makan minum percuma, wang pendidikan dan saraan kos ketika sakit. Demi menjaga keharmonian di kalangan penganut pelbagai agama, adalah wajar isu ini ditangani sebelum mencetuskan krisis agama. Awang percaya siasatan pihak berkuasa dapat mencari kebenaran. Tiada sesiapa yang perlu gundah jika berada di pihak yang benar.


Kedudukan Hasan dibincang selepas JAIS serah laporan

SHAH ALAM 7 Ogos - Kedudukan Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali sebagai Exco hanya akan dibincangkan selepas kerajaan negeri menerima laporan lengkap mengenai serbuan gereja yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Damansara Utama, Petaling Jaya dekat sini baru-baru ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, laporan tersebut dijangka siap sepenuhnya dan diserahkan kepada kerajaan negeri selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak terutama media agar menghentikan sebarang spekulasi mengenai kedudukan Hasan yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor.

"Kita tidak akan bincang perkara ini (mengenai kedudukan Hasan) sehingga JAIS selesai beri laporan lengkap mengenai serbuan mereka.

"Saya minta semua pihak hentikan perbincangan terhadap perkara ini kerana soalan-soalan media kadangkala agak mengelirukan," kata beliau selepas menyampaikan sumbangan kepada bekas peneroka bandar Kampung Rimba Jaya di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Hasan yang menjadi tanda tanya berikutan ketegasannya mempertahankan tindakan JAIS menyerbu sebuah gereja di Damansara Utama yang dilihat bercanggah dengan kenyataan Abdul Khalid yang kesal dengan insiden itu.

Ketegasan Hasan itu turut dibidas beberapa pemimpin pembangkang malahan, ada pemimpin Pas sendiri menganggap beliau tidak mewakili parti tersebut.

Ketegasan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu juga menerima tamparan hebat apabila Abdul Khalid baru-baru ini mengeluarkan arahan supaya semua Exco Kerajaan Negeri 'menutup mulut' daripada memberikan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.

Dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini, Hasan bagaimanapun berkata, beliau rela di-pecat sekiranya ketegasannya mempertahankan Islam serta menjaga kepentingan ummah tidak disenangi banyak pihak termasuk beberapa Exco kerajaan negeri.

Tiada tindakan terhadap Hasan Ali - Hadi

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pas tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali ekoran pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Damansara Utama baru-baru ini.

Malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tugas Hasan sebagai Exco Selangor berjalan seperti biasa.

Beliau juga seperti biasa menyalahkan Barisan Nasional (BN) apabila menyatakan isu itu sengaja dibangkitkan oleh parti pemerintah semata-mata yang mahu menutup tuntutan terhadap pilihan raya bersih.

"Isu Selangor kita buat keputusan untuk terus ke medan walaupun kita tahu isu ini sengaja dijadikan oleh BN untuk menutup (tuntutan) pilihan raya bersih," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Bahagian Penguatkuasaan JAIS dan sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat pemeriksaan ke atas sebuah gereja di Damansara Utama berdasarkan hasil maklumat yang diterima, Rabu lalu.

Maklumat tersebut menyatakan terdapatnya kehadiran orang Islam dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di gereja tersebut.

Dalam laporan eksklusif Mingguan Malaysia hari ini pula, Hasan menegaskan yang beliau sanggup dipecat daripada sebarang jawatan demi kepentingan akidah ummah.

Ketika ditanya hubungan Pas dengan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berikutan isu tersebut, Abdul Hadi berkata, ia berada dalam keadaan baik kerana Pas adalah sebahagian daripada kerajaan Selangor.

Menurutnya, Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menguruskan isu berkenaan kerana ia membabitkan bidang kuasa Sultan Selangor dan negeri.

Ketika diminta mengulas laporan yang menyatakan terdapat usaha memurtadkan orang Islam di gereja berkenaan, Abdul Hadi berkata, Pas akan bertemu dengan pihak gereja untuk mendapatkan penjelasan.

"Kita mahu bertemu dengan pihak gereja untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan secara langsung. Kita tidak mahu bergantung kepada laporan media semata-mata. Kita juga mahu berjumpa dengan JAIS bagi mendapatkan maklumat daripada mereka. Kita mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku," ujarnya.

Ketika ditanya bila pertemuan itu akan diadakan, beliau berkata, ia bergantung kepada tarikh yang sesuai.

Menjawab satu soalan Abdul Hadi berkata, pihaknya bukan tidak mempercayai laporan yang dikemukakan oleh Hasan, tetapi ia tidak mencukupi.

"Bukan tidak percaya tetapi tidak cukup, laporan media pun tidak cukup. Laporan media lagi kita tidak percaya. Sehubungan itu kita perlu ke medan untuk menemui pihak-pihak yang berkenaan," katanya.

No comments:

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.