Friday, March 7, 2008

Muslihat Pembangkang


Oleh Khairy Jamaluddin


Sungguhpun gerak kerja musim mengundi sudah pun sebati dengan mereka yang bergiat aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO, bagi calon yang bertanding buat julung kalinya, bahang pilihan raya yang sudah pun merebak ke seluruh tanah air lebih hangat rasanya.
Perjalanan saya ke seluruh daerah beradat Rembau, tempat asal usul kaum kerabat saya ini juga lebih bermakna.

Mengharungi kawasan P131 dari persisiran bandar sekitar Paroi hingga ke kampung-kampung di Kota, selatan Negeri Sembilan, pertemuan saya dengan penduduk-penduduk di merata tempat memberi kesempatan juga bagi saya untuk membawa mesej perjuangan Barisan Nasional (BN).

Kerja yang begitu penting bagi saya selain mendengar rintihan masyarakat di sini adalah untuk memperjelaskan perbezaan serta jurang yang luas di antara wawasan perikatan yang kukuh berpengalaman memerintah, dengan ikrar daripada pembangkang yang tidak perlu memegang pada janji.

Manifesto BN yang dilancarkan pada minggu lepas merupakan satu dokumen yang serba lengkap, baik dari segi pengisian mahupun dari segi praktiknya. Ia dirangka dengan teliti dan mengutamakan kepentingan jangka masa panjang.

Perancangan manifesto BN terperinci dan bertanggungjawab, dan yang pentingnya mampu dilaksanakan tanpa membebankan masa hadapan anak-anak kita.

Janji-janji manis yang dibawa oleh pihak pembangkang, sudah tentu tidak akan dapat dikotakan. Jelas sekali bahawa rata-ratanya wawasan yang dilaungkan pihak pembangkang dikarang berdasarkan sentimen populis, bertujuan menarik pengundi bak dendangan lagu merdu.
Siapa pun akan asyik mendengarkan janji harga minyak yang murah, gaji minimum yang lebih tinggi dan lain-lain. Namun dendangan pembangkang ini akhirnya melalaikan kita sahaja semata-mata.

Pihak pembangkang mengambil kesempatan suasana ekonomi global yang murung untuk mempermainkan rakyat dengan ilham fantasi yang tidak berlandaskan fakta. Fokus sebenar mereka adalah untuk mengurangkan majoriti BN demi kepentingan politik sendiri. Begitu mudah janji ditabur sedangkan pihak pembangkang sendiri sedar bahawa mereka tidak akan dapat memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Manifesto parti-parti pembangkang membawa kesudahan yang sama – ia akan membawa padah kepada generasi pewaris akan datang akibat rancangan yang tidak bertanggungjawab.
Seolah-olah membayangi ikrar mereka yang memerlukan perbelanjaan yang boros, pembangkang juga menghabiskan beribu-ribu ringgit mencetak risalah untuk menyebarkan janji yang tak mungkin terkota.

Di kawasan Rembau, saya sempat melihat sendiri risalah Keadilan yang berhiaskan gambar Anwar Ibrahim, menghuraikan bagaimana harga minyak akan diturunkan jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberi mandat memegang tampuk kerajaan.

Risalah tersebut menerangkan bahawa Anwar mampu mengurangkan harga minyak. Kononnya, ketika beliau menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun beliaulah yang berjaya menetapkan harga petrol pada kadar RM1.10 seliter.

Seperti mana cerita-cerita lain yang sering disampaikan oleh Anwar, cerita ini juga bukan sahaja tidak lengkap tetapi diputar-belitkan sesuka hati.

Hakikatnya harga petrol kita bergantung secara langsung pada harga minyak mentah di pasaran dunia. Dalam era Anwar menjadi Menteri Kewangan, harga minyak mentah di pasaran dunia adalah di antara AS$12 dan AS$26 setong.

Bandingkan sahaja dengan harga minyak mentah hari ini yang sudah melepasi tahap AS$100 setong. Ini bermakna sejak Anwar dipecat, harga minyak mentah telah meningkat lebih 400 peratus.

Harga petrol semasa pada kadar RM$1.92 seliter jika dibandingkan dengan dulu hanya meningkat 75 peratus. Ternyata kerajaan BN telah memainkan peranan untuk melindungi dan memastikan rakyat tidak merasai sepenuhnya kesan negatif akibat kenaikan harga minyak dunia.
Ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, memang mudah untuk mengekalkan harga minyak yang murah kerana harga minyak global ketika itu amat rendah. Perbuatan Anwar mengakui bahawa dialah penyebab harga minyak rendah tidak lain dari satu pemalsuan dan penyalahgunaan fakta sejarah.

Apakah ini bermakna janji-janji yang lain juga merupakan penipuan dan muslihat politik semata-mata?

Pihak pembangkang juga berkata bahawa keuntungan Petronas boleh disalurkan untuk membiayai subsidi minyak yang lebih tinggi. Apa yang tidak dihuraikan ialah hakikat bahawa hampir dua pertiga keuntungan kasar Petronas diberi balik kepada kerajaan melalui cukai, dividen dan royalti.

Dana ini pula telah pun disalurkan untuk pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat. Baki keuntungan inilah nampaknya yang akan digunakan untuk menunaikan janji, menurut pihak pembangkang.

Rizab minyak kita akan kehabisan dalam 10 tahun dan pada tahun 2010, import minyak kita akan melebihi eksport. Oleh itu, kelebihan keuntungan Petronas perlu dilaburkan untuk mencari minyak di negara-negara lain seperti di Asia Tengah, Afrika dan Asia Barat.

Memancing

Jika langkah ini tidak diambil, kita tidak akan dapat mewariskan sumber yang begitu penting ini kepada anak-anak kita. Apa yang nyata, jika janji pembangkang terlaksana, kita tidak akan berupaya untuk mendapatkan minyak ini, justeru masa hadapan kita sudah tentu gelap.
Pembangkang tidak berhenti di situ. Mereka juga menjanjikan untuk menghapuskan semua hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tertunggak demi memancing undi golongan muda. Janji ini tidak masuk akal.

Jika janji ini dilaksanakan, apa yang akan terjadi kepada beribu mereka yang telah membayar hutang PTPTN masing- masing? Adakah mereka akan diberi pampasan? Tidakkah pembangkang sedar bahawa kos pelaksanaan perancangan mereka ini adalah sebanyak RM17.3 bilion? Sebagai perbandingan, jumlah ini merupakan 75 peratus dari keseluruhan peruntukan Kementerian Pelajaran untuk tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Kesembilan!

Tidak terlintas juga pada hemat pembangkang bahawa ini turut menjejaskan kesinambungan penerimaan kemudahan bantuan ini bagi bakal peminjam pada masa hadapan.
Parti Keadilan juga menjanjikan gaji minimum sebanyak RM1,500 untuk menarik perhatian rakyat. Apakah idea ini benar- benar dapat meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat?
Sebenarnya, jika cadangan gaji minimum ini dilaksanakan, ramai yang akan hilang pekerjaan apabila syarikat tidak lagi dapat menampung gaji pekerja. Cadangan gaji minimum ini juga akan mengakibatkan lebih banyak mahasiswa universiti yang menganggur kerana syarikat terpaksa memilih pekerja dengan lebih berhati-hati.

Dari segi makro pula, ia akan menyebabkan syarikat multinasional yang selama ini melabur berbilion ringgit dan menyediakan begitu banyak peluang pekerjaan berpindah ke negara yang mempunyai kos buruh yang lebih murah. Lebih teruk lagi, kesan gaji minimum akan memberi kesan negatif inflasi, terutamanya jika kenaikan gaji tidak diiringi peningkatan produktiviti.
Harga barang akan naik mendadak dan mungkin melebihi kadar peningkatan gaji. Ini semua akan mendatangkan lebih banyak masalah kepada rakyat jelata, tetapi ini tidak dihuraikan dalam manifesto pembangkang.

Jelas manifesto pembangkang ini mengandungi janji-janji yang membawa akibat buruk yang tersirat. Namun begitu, pembangkang dengan tidak segan silu menyatakan kesan manifesto mereka dapat mengembangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara lebih dari lapan peratus.

Walhal yang sebaliknya akan berlaku, jika semua janji ini dilaksanakan. Defisit fiskal kerajaan akan meningkat daripada 3.2 peratus KDNK sekarang kepada lebih daripada 15 peratus KDNK. Ini merupakan beban hutang masa depan yang akan dihadiahkan oleh pembangkang kepada anak-anak kita jika cadangan mereka dilaksanakan.

Tidak perlu diingatkan bahawa kita hidup di dunia ini hanya sementara. Qada’ dan Qadar menjanjikan pada suatu hari nanti kita akan mewariskan bumi Malaysia yang tercinta ini kepada generasi seterusnya. Sanggupkah kita membelenggu nasib anak bangsa di esok hari gara-gara dibuai janji-janji bersifat sementara?

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Alhamdulillah, setelah mendengar cerita yang sepenuhnya serta penjelasan lengkap yang sengaja diselindung pihak pembangkang, ramai yang tidak tertipu lagi.

Jangan anggap rakyat tidak dapat membezakan antara janji palsu dan janji yang mampu dikotakan. Akhirnya kita pijak jua di bumi yang nyata. Rakyat Malaysia memahami dan tidak sanggup membuat pilihan yang menjejaskan nasib pewaris mereka.

Hanya satu pilihan yang nyata tersedia, landasan kita pada hari ini boleh membawa kepada masa depan yang terjamin buat generasi kini mahupun di masa hadapan. Pada Sabtu ini, 8 Mac 2008 Insya-Allah pengundi akan menunjukkan kematangan mereka, mata tidak lagi dikaburi, hati tidak lagi digerak emosi dan telinga tidak terlalai lagu merdu.

Pada saat dan ketika itu, jelaslah siapa yang akan diberi amanah untuk membawa harapan buat Malaysia tercinta.

* Penulis merupakan calon Barisan Nasional bagi Parlimen Rembau , Negeri Sembilan.

No comments:

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.