Ada yang bertepuk gembira dengan kemenangan dan prestasi baik parti pembangkang yang dapat menangkis 2/3 majoriti dari diperoleh Barisan Nasional. Satu kejayaan dan satu petunjuk kuat kepada Barisan Nasional bahawa rakyat negara ini sudah mula berani bersuara. Rakyat sudah berani membuat pilihan lain dari terus tunduk di bawah kehendak kerajaan memerintah yang gemar melaksanakan perkara-perkara kononnya atas kepentingan rakyat tetapi tidak menampakkan sebarang keuntungan untuk rakyat.
Barisan Nasional tahu kenapa mereka dipinggirkan kali ini tetapi persoalan yang lebih penting, adakah mampu Barisan Nasional dan UMNO untuk melaksanakan perubahan bagi tujuan membeli kembali maruah yang telah hilang. Penebusan maruah ini harus dilakukan dan penebusan maruah ini perlu dilakukan agar UMNO khususnya tidak terus dilupakan pada pilihan raya akan datang.Laungan kejayaan rakyat khususnya di Semenanjung Malaysia kita semakin kuat. Suara rakyat kini memilih Barisan Alternatif dan suara ini sudah menentukan bahawa sokongan mereka beralih dari Barisan Nasional dan UMNO kepada PAS, Parti Keadilan Rakyat Malaysia dan DAP. Satu kejayaan di luar jangkaan.
Namun pernah dikatakan – kita merasai nikmat dalam kecelakaan dan dalam persoalan kecelakaan ini ada keperluan untuk kita hujah dalam konteks kejayaan Barisan Alternatif dan kesan kepada bangsa kita Melayu.Memang persoalan bangsa dan kaum adalah persoalan sensitif. Namun setidak-tidaknya dalam keadaan pembangkang yang telah menyapu bersih hampir 6 negeri termasuk Wilayah Persekutuan mungkin persoalan dan mempersoalkan isu bangsa akan dapat di buat secara lebih terbuka atas landasan kebebasan bersuara. Mungkin pembangkang akan lebih faham sekiranya keraguan masih wujud pada orang Melayu mengenai hak dan keistimewaan yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan. Jangan marah atau terus melulu menuduh bahawa ini adalah artikel perkauman – ini hanya persoalan yang menuntut penerangan dan juga menuntut untuk menghilangkan keraguan.
Melayu selepas pilihan raya masih tertanya-tanya persoalan mengenai keadilan dan kesamarataan yang akan dibawa oleh Barisan Alternatif. Adakah kesamarataan ini melibatkan pembasmian Agenda Nasional pada negeri-negeri yang di menangi? Adakah penghapusan DEB kerana DEB berbau kemelayuan? Adakah kenyataan Lim Kit Siang mengenai Menteri Besar Perak itu lebih kepada boikot kepada Kesultanan Melayu, atau keadilan dalam jumlah kerusi atau sebenarnya berbau penentangan Agenda Islam PAS? Apa pula pandangan ikhlas mengenai hak Keistimewaan orang Melayu yang di peruntukkan ?Isu ini perlu dijelaskan oleh DAP yang nampak dominan dalam Barisan Alternatif dan nampak lebih berani dalam memecah kolaborasi antara mereka atas dasar prinsip. Sebenarnya secara ikhlas kita perlu bertanya dan mereka perlu menjawab agar mungkin dengan kepimpinan cara baru Barisan Alternatif ini maka mereka akan dapat membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang.
Sebenarnya suara keraguan ini perlu diperjelaskan kepada semua. Jangan salah anggap sebagai rasis atau melabel persoalan ini sebagai rasis dan bertindak sama dengan pemerintahan lampau yang tidak mahu menunjukkan perluasan minda dalam menangani isu sebegini. Perlu di maklumkan bahawa ini KERAGUAN dan bukan hasrat untuk menolak atau menimbul sebarang pra sangka lain.
Kita mahu tahu sama ada perlu kita kekalkan sokongan rakyat pada pembangkang atau sebenarnya kita merasa nikmat dalam kecelakaan.
No comments:
Post a Comment