Friday, April 11, 2008

UMNO Kedah Dan Pulau Pinang Desak Abdullah Undurkan Diri


Friday, April 11, 2008 : Petikan Kuda Kepang

Majoriti bahagian UMNO di Kedah dan Pulau Pinang mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengundurkan diri daripada persada kekuasaan negara dan UMNO.

Hasrat ini disampaikan oleh mereka kepada delegasi kepimpinan UMNO Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam pertemuan tertutup di Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam pertemuan di Sungai Petani, 7 bahagian UMNO mendesak Abdullah meletakkan jawatan, 2 bahagian menyokong Abdullah terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri, 2 bahagian lagi berkecuali.

Di Pulau Pinang, 9 bahagian mendesak Abdullah mengundurkan diri, 1 bahagian – Tanjung - berkecuali dan 3 bahagian lagi – Kepala Batas (Bahagian Abdullah), Bukit Mertajam dan Nibong Tebal - menyokong Abdullah terus memimpin negara.

Sementara itu, seorang AJK UMNO Bahagian di Kedah yang menggunakan nama samaran AAH telah mengirimkan komen kepada blog ini pada jam 7.44 petang semalam mengenai pertemuan di Kedah seperti berikut:

Saya berada dalam dewan (perjumpaan di Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah) dari mula hingga tamat. Apa yang dapat saya simpulkan ialah: UMNO Kedah tidak lagi mempunyaai keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah dan Mahdzir Khalid. Mereka inilah angkara kekalahan Kedah (dalam PRU12). Mereka (para pemimpin UMNO Kedah) rata-rata berpendapat Abdullah dan mantan Menteri Besar Kedah adalah “pengkhianat” paling besar di Malaysia.

Calon Tanpa Restu

Sementara itu, Utusan Malaysia 11 April 2008, telah memetik Najib sebagai berkata seperti berikut:

SUNGAI PETANI 10 April – UMNO mengenal pasti masalah pemilihan calon yang tidak mendapat restu ketua-ketua UMNO bahagian adalah antara punca calon Barisan Nasional (BN) dikhianati pada pilihan raya umum lalu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, maklum balas yang diterima Jawatankuasa Pengurusan parti dengan pemimpin bahagian menunjukkan ramai di antara mereka melahirkan rasa kecewa kerana tidak dibawa berunding semasa pemilihan calon dibuat.

“Antara perkara pokok yang disuarakan ialah supaya pada masa akan datang, dalam pemilihan calon-calon bertanding, maka proses rundingan dengan bahagian dilakukan dengan cara lebih menyeluruh lagi.

“Kita menerima pandangan ini dan saya akan sampaikan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti nanti,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan parti bersama lebih 150 pemimpin Badan Perhubungan UMNO Kedah di sini hari ini.

Hadir pada majlis tertutup hampir tiga jam itu ialah kedua-dua Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mohd. Ali Rustam. Turut serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib; Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad; Bendahari parti, Datuk Mohd. Azim Zabidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Luahan Perasaan

Najib menjelaskan, pertemuan Jawatankuasa Pengurusan parti dengan UMNO Kedah tersebut diadakan bagi membolehkan pemimpin bahagian meluahkan segala perasaan dan teguran untuk tujuan memulihkan semula parti..

“Pada masa yang sama, pandangan serta teguran yang dibangkitkan oleh mereka itu boleh dikumpulkan sebagai kesimpulan dan seterusnya diangkat untuk pertimbangan parti,’’ katanya.

Tegas Najib, beliau selaku Timbalan Presiden parti juga memberi jaminan akan memberikan pertimbangan ke atas segala cadangan tersebut untuk dilaksanakan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, UMNO tidak akan mengambil tindakan sembarangan terhadap ahli-ahli parti hanya kerana mereka dituduh melakukan salah laku pada pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, tegasnya, tindakan tersebut akan diambil setelah perkara tersebut benar-benar terbukti dan telah dirujuk kepada pengurusan parti terlebih dahulu.

“Kalau dalam soal salah laku semasa pilihan raya, mereka beri pandangan bahawa jangan sewenang- wenang ambil tindakan tanpa asas yang kukuh. Pertimbangan yang kita nak buat nanti, mestilah berdasarkan kepentingan parti pada keseluruhan,’’ jelasnya.

Buru Pensabotaj?

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan masalah mensabotaj parti yang dilakukan oleh ahli UMNO pada pilihan raya umum lalu kepada Lembaga Disiplin parti untuk diambil tindakan.

Menurut Abdullah, perbuatan sabotaj tersebut menyebabkan sebanyak 14 kerusi Parlimen dan 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini merupakan kawasan putih dan dijamin menang, turut terlepas ke tangan parti pembangkang.

Laporan analisis UMNO menunjukkan kemungkinan wujud perbuatan mensabotaj dalam kalangan penyokong dan ahli BN sendiri antaranya di negeri Kedah, Perak dan Selangor yang berjaya ditawan oleh pembangkang.

Komen: Apa yang tidak ditegaskan oleh Najib dalam berita di atas adalah: siapakah yang bertanggungjawab memutuskan calon-calon BN bagi PRU12.

Bagaimanapun, adalah rahsia umum bahawa individu itu adalah Khairy Jamaluddin. Menjelang PRU12, dia telah menjelajah ke sekurang-kurangnya 39 bahagian di seluruh negara untuk memperkenalkan calon pilihannya.

Pada waktu yang sama, fikir-fikirkanlah kenyataan mantan Menteri Penerangan dalam Utusan Malaysia 12 Mac 2008, dengan tajuk Cubaan Golongan Muda Ambil Alih Kepimpinan Gagal, seperti berikut:

Konspirasi Khairy?

KUALA LUMPUR 11 Mac 2008: Bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin mendedahkan ada golongan muda telah membuat percubaan untuk mengambil alih kepimpinan negara secara terurus dan terancang melalui Pilihan Raya Umum Ke-12.

Bagaimanapun, menurut beliau, cubaan untuk membuat perubahan secara drastik tersebut gagal berikutan tsunami politik yang berlaku pada pilihan raya umum itu.

Zainuddin yang diminta menjelaskan dakwaannya itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Sebaliknya beliau meminta wartawan jangan membuat provokasi terhadapnya.

“Saya tidak akan jelaskan dengan lebih lanjut, biarlah pembaca (orang ramai) menilai sendiri kenyataan saya ini,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm

Dalam buku saya yang sedang dalam penerbitan berjodol Angkara Dolah Badawi, saya ulas kenyataan Zam di atas seperti berikut:

Siapakah golongan muda yang dimaksudkan dalam kenyataan ini? Adakah berita ini kait-mengait dengan kandungan buku The Toyol Code tulisan saya yang mendedahkan wujudnya konspirasi yang dipercayai dikepalai oleh Khairy, untuk menyediakan blueprint calon-calon PRU12? Dan, bilakah Abdullah akan menafikan kandungan berita di atas? – Ruhanie Ahmad

No comments:

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.