Wednesday, April 2, 2008

Kenapa ada cerdik pandai Melayu tolak DEB

Pendapat (petikan dari UTUSAN 2/4/2008)

SAYA berasa hairan kenapa ada orang Melayu yang dikatakan ‘cerdik pandai’ menidakkan sumbangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menolak dasar itu sekarang. Tidakkah mereka sedar bahawa dasar ini yang diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei bertujuan menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula struktur ekonomi bagi mengelakkan identiti bangsa di negara ini dikaitkan dengan fungsi ekonomi mereka.

Tidakkah mereka mengakui bahawa dasar ini telah membantu orang Melayu untuk memperbaiki kedudukan ekonominya supaya lebih seimbang (walaupun belum dicapai) dengan kaum lain dan memastikan keamanan di negara ini. Adakah pernah dalam hati kecil mereka terfikir bahawa jawatan dan punca rezeki mereka kini sebagai doktor, peguam, jurutera, pensyarah dan lain-lain akan menjadi realiti tanpa dasar yang telah dilaksanakan itu?
Adakah mereka sedar bahawa orang Melayu yang kebanyakannya berasal dari kampung rata-rata tidak mempunyai kewangan yang mencukupi tetapi dapat meneruskan pengajian ke peringkat A-level dan memperoleh sarjana dari universiti dalam dan luar negara kerana dibantu oleh dasar afermatif ini?

Adakah doktor-doktor wanita dan jurutera dalam Pas dan peguam-peguam dan ahli teknokrat dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berada pada kedudukan mereka sekarang jika tidak kerana DEB? Adakah pensyarah-pensyarah Melayu yang membanjiri universiti-universiti tempatan dan ahli-ahli perniagaan yang mendapat kontrak kerajaan akan mencapai kedudukan ini jika tidak kerana DEB? Memang betul mereka telah berusaha kuat untuk mencapai status tersebut tetapi adakah mereka sedar bahawa tanpa peluang yang diberikan dan ketegasan kerajaan pada masa lepas, cita-cita mereka itu mungkin tidak akan kesampaian.
Mungkin mereka dari keluarga Melayu yang kaya-raya yang mampu menghantar anak ke pusat pengajian tinggi, tetapi berapa kerat sangatlah orang Melayu yang mampu berbuat demikian pada masa dahulu.

Adakah Menteri Besar Selangor yang berasal dari Ijok akan menjadi ketua eksekutif yang terkenal dan Menteri Besar Perak dari Pasir Panjang itu akan menjadi seorang jurutera jika tidak kerana DEB? Adakah mereka layak menjadi Menteri Besar hari ini jika tidak kerana kelulusan yang mereka miliki dan pengalaman yang mereka timba hasil peluang dan keistimewaan yang disediakan oleh dasar ini?Saya tidak bermaksud mengatakan orang Melayu tidak akan berjaya tanpa DEB tetapi semua pihak wajar mengakui bahawa dasar tersebut telah mempercepatkan peningkatan ekonomi orang Melayu.

Kelemahan dalam pelaksanaan DEB pasti boleh diatasi jika ‘cerdik pandai’ pintar mencari pendekatan bagi memperbaikinya. Tetapi, mereka sudah tentu dikira tidak pandai jika memilih untuk mengundi parti-parti yang bersekongkol dengan DAP kerana pegangan dan pendirian parti cauvanis tersebut jelas bertentangan dengan pegangan dan akidah orang Melayu yang beragama Islam. Kepada cerdik pandai yang menolak DEB adakah mereka begitu yakin bahawa orang Melayu sudah mampu untuk bersaing dengan kaum lain yang telah memonopoli hampir semua fungsi ekonomi dalam negara ini sejak sebelum merdeka lagi. Janganlah salah anggap, saya bukan seorang pesimis tetapi saya seorang yang realistik.

Cerdik pandai yang dimaksudkan itu tidak boleh hidup dalam kepompong mereka sendiri dan merasakan semuanya berjalan lancar dan akan sentiasa menyalahkan orang lain jika timbul apa jua masalah. Bertanyalah kepada usahawan- usahawan Melayu yang kecil mahupun yang besar bagaimana mereka menghadapi persaingan dan rintangan ketika berusaha mencari rezeki yang halal di bumi bertuah ini.

Bertanyalah kepada petani dan nelayan bagaimana susah dan peritnya untuk memasarkan hasil tanaman dan tangkapan mereka jika tidak mahu ia diuruskan oleh bukan Melayu. Bertanyalah kepada orang Melayu yang bekerja dengan syarikat bukan Melayu atau syarikat antarabangsa di negara ini apakah kedudukan, peranan dan perasaan mereka di syarikat atau institusi berkenaan.

Cerdik pandai Melayu tidak perlu membuat analisis akademik, biarpun yang panjang lebar dan mendalam, secara mikro atau makro bagi mencari jawapan sama ada orang Melayu sudah tidak memerlukan DEB lagi. Tengok sahajalah di sekeliling dan kita akan nampak dengan jelas siapa yang senang dan siapa yang susah. Apabila meneliti status keseluruhan ekonomi yang merangkumi pegangan saham, pemilikan harta dan juga bidang keusahawanan, kita akan dapati pembabitan orang Melayu amatlah sedikit.

Dalam bidang industri kecil dan sederhana pun jumlah orang Melayu yang menceburinya amatlah kecil. Semua ini jelas membuktikan bahawa ekonomi di negara ini dikuasai dan dikawal sepenuhnya oleh orang bukan Melayu. Jadi, tidak syak lagilah orang Melayu masih memerlukan DEB bagi memastikan jurang perbezaan ini dapat dikurangkan segera. Kita mesti membetulkan segala kelemahan dan ketirisan yang berlaku dalam pelaksanaannya.

Dasar ini yang telah terbukti membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu perlu diterus dan diperkasakan sehingga mencapai matlamatnya.

– Zamri Mahmud,
Wangsa Melawati,
Kuala Lumpur.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Nampaknya blog kita selari… saya dah letak link ke blog anda di http://pembelamelayu.com. Harap anda juga dapat letak link di blog anda ke website kami.

Terima kasih

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.