Tuesday, February 19, 2008

Momokan PAS

Ketika golongan ulama dahulu berusaha untuk menghindar diri daripada mendapat kuasa, golongan itu sekarang berebut-rebut untuk mendapatkannya. Walaupun ulama dahulu selalu membuat teguran terhadap kerajaan yang memerintah dan mengelakkan diri daripada mendapat apa-apa jawatan daripada kerajaan, itu tidak mendorong mereka mengisytiharkan permusuhan dengan pemerintah.

Hubungan mereka dengan pemerintah dan penghormatan kepada pihak kerajaan tidak sedikit pun berkurangan. Ini amat berbeza dengan segolongan kecil lulusan berpendidikan agama sekarang.

Terdapat segelintir lulusan agama yang menyertai pembangkang di negara ini bukan sekadar mengundi pembangkang tetapi secara terang-terangan memusuhi kerajaan. Maksudnya mereka tidak berhikmah dan hilm apabila berhadapan dengan kerajaan. Mengundi boleh dilakukan dengan senyap dan rahsia, dan tidak ada hati yang terluka, tetapi memusuhi kerajaan bererti wujud perkataan, tulisan dan tindakan yang akan menyinggung perasaan pihak-pihak tertentu.
Ada di kalangan mereka ini memegang jawatan dalam kerajaan, tetapi pada masa yang sama mereka seolah-olah semakin jauh daripada kerajaan yang membayar gaji, menjaga kebajikan dan membela keluarga mereka.

Tangan mereka dihulurkan untuk menerima pelbagai faedah daripada kecekapan urus tadbir kerajaan, tetapi mata mereka memandang kerajaan dengan pandangan yang menjijikkan. Mereka mengharapkan kerajaan menjadi lebih baik kepada mereka konon-kononnya, tetapi pada masa yang sama mereka melayan kerajaan seperti musuh-musuh mereka.
Mereka bersekongkol dengan orang-orang yang memaki hamun kerajaan, tetapi mereka masih mengharapkan kerajaan yang dimaki dan dihamun itu menawarkan bonus, honorarium atau ganjaran yang lebih baik kepada mereka.

Sebahagiannya pula berkata, bahawa ekonomi negara ini masih teruk, tetapi apabila kerajaan tidak memberikan mereka sebulan bonus atau kenaikan yang diharapkan mereka mengatakan kerajaan tidak adil. Mereka begitu keras konon-kononnya kepada kerajaan tetapi merekalah yang pertama meraih ihsan belas kerajaan.

Dan apabila mereka sudah menerimanya mereka akan menyatakan bahawa mengapa tidak satu bulan, atau dua bulan bonus? Begitulah mereka begitu bijak bermain kata-kata. Mulut mereka berseronok menyalahkan kerajaan, itu tak kena dan ini tak kena, tetapi tangan-tangan mereka berseronok menerima habuan demi habuan daripada kerajaan.

Ketika ulama dahulu sibuk menelaah al-Quran dan al-Hadis, dan menghasilkan karya-karya asli dan terjemahan, ulamak sekarang sibuk berkempen dan berceramah politik. Sesetengah yang bercakap agama di Malaysia telah mengalihkan fokus mereka daripada medan penulisan untuk mengembangkan syiar Islam kepada medan percakapan sambil menyalahkan kerajaan.
Sama ada pintu ijtihad sudah ditutup atau pun tidak itu tidak dapat dipastikan kesahihannya, tetapi ulama dahulu tidak pernah mendakwa bahawa pendapat mereka sahaja yang betul dan tidak pernah meninggalkan pesanan bahawa pintu ijtihad mesti ditutup. Yang menutupnya tentulah orang yang lebih kemudian daripada ulama-ulama dahulu itu.

Mengapa? Jawapan yang dapat saya berikan kerana segelintir ulama sekarang berasa tidak berkemampuan untuk berijtihad. Atau lebih tepat lagi mereka lebih berminat dalam bidang-bidang yang lain termasuk memerintah negara ini dan berpolitik.

Dengan menyatakan pintu ijtihad sudah tertutup, dapat melindungi kelemahan mereka dalam memutuskan sesuatu perkara khususnya perkara –perkara yang baru yang menyangkut kepentingan dan masa depan umat dan negara Islam.

Mereka tidak perlu berfikir tentang masa depan, perkara yang baru timbul dan yang berkaitan dengan perkembangan semasa.

Mereka berebut-rebut menjadi calon dalam pilihan raya. Sama ada mereka ingin melaksanakan Islam atau tidak itu kurang jelas. Tetapi yang pasti nikmat keamanan dan kemakmuran yang wujud di Malaysia dan sistem demokrasi yang menjadi amalan di negara ini memungkinkan mereka mengambil peluang ini.

Demokrasi Malaysia yang sentiasa subur dan tidak menghadkan peluang untuk sesiapa sahaja menjadi calon dalam pilihan raya turut mengghairahkan para ulamak di negara ini untuk duduk di kerusi kuasa sama ada sebagai ADUN atau pun ahli parlimen.

Di bawah panji Pas, mereka berkempen untuk menjatuhkan kerajaan atas nama ingin mewujudkan sebuah negara Islam. Oleh kerana mereka mengolongkan diri sebagai pewaris nabi, penampilan mereka sering sahaja dilihat oleh orang awam sebagai individu yang hebat dalam ilmu agama dan akhlak.

Kebanyakan rakyat terutama orang awam agak sukar menerima yang ulamak turut terdedah kepada kesalahan dan kesilapan. ”Ulama-ulama” pembangkang (PAS) sering melihat ulama kerajaan dengan pandangan yang kotor dan menjijikkan.

Tetapi ”golongan agama Pas” ini turut inginkan kuasa dan berkempen untuk menjatuhkan kerajaan yang ada. Kebanyakan orang awam menilai bahawa ulama itu agak sempurna dan hebat dan berupaya menangani segala perkara, termasuk soal-soal yang berkaitan dengan pemerintahan negara.

Orang yang sentiasa hebat dalam agama, ingin bertanding, maka mereka tidak mempunyai jalan lain selain menonjolkan bahawa kerajaan yang ada bukan sebagai sebuah negara Islam, atau pun seperti dakwaan puak militan bahawa negara ini masih belum cukup Islam. Mereka ingin beralih angin daripada sepatutnya menerajui kepimpinan agama dan mengeluarkan fatwa dan hukum kepada menerajui negara.

Adakah pembangkang di negara ini benar-benar ingin memerintah atau hanya ingin mengambil-alih tempat kita, lalu menggunakan segala kemudahan yang kita pernah bangunkan dengan susah payah kita untuk kepentingan mereka?

Walaupun sebelum ini mereka mendakwa negara ini tidak Islam, dan banyak projek mewah dan membazir, tetapi apabila mereka ini mengambil alih tempat kita, bolehkah dijamin yang mereka tidak menyalahgunakan semua ini untuk kepentingan kumpulan mereka tanpa perlu memikirkan bagaimana untuk membangunkan yang baru.

Dan bolehkah kita pastikan negara akan bertambah baik di bawah pemerintahan mereka. Selepas itu apabila sudah tidak berkemampuan lagi mereka akan membiarkan negara ini diperintah oleh kita semula, tetapi pada waktu kita hanya menerima sebuah negara yang telah cacat di sana-sini. Demikianlah rekod dan sejarah pentadbiran mereka di Terengganu dan Kelantan.

Fikirkanlah ini sebelum kita dengan mudah menyerahkan kerajaan ini kepada mereka.
Mereka ingin habiskan yang sedia ada ini untuk mereka setelah mereka mengidamnya begitu lama. Dan tentulah ini dilakukan dengan nama Islam, dan Islam tetap sesuai di mana-mana. Suatu ketika dahulu, malah sehingga sekarang pun Pas sangat bimbang jika nama Islam digugurkan daripada parti itu.

Sebab itu Pas berusaha bermati-matian untuk menghalang usaha pengguguran nama Islam daripada parti itu. PAS begitu bersyukur kepada Majlis Raja-Raja yang tidak membuat keputusan yang sangat menakutkan mereka itu, sambil mendakwa Allah berada di pihak mereka.

Ketakutan Pas itu bukan tidak ada sebabnya. Bukankah dari dahulu lagi PAS bergantung kepada nama Islam pada parti itu. Itulah satu-satunya kekuatan yang masih ada pada Pas yang perlu mereka pertahankan. Selain kekuatan lidah para pemimpin mereka, nama Islam pada parti itu banyak menyelamatkan mereka.

Kelemahan yang ada parti itu dan sebahagian pemimpin parti itu tertutup dengan adanya nama Islam pada parti itu. Mereka tidak mempunyai asas kekuatan yang lebih kukuh seperti misi dan visi perjuangan yang jelas. Dengan nama Islam itulah mereka meraih simpati rakyat.
Dengan nama Islam yang ada pada parti itu mereka mengharapkan dakwaan-dakwaan mereka untuk mewujudkan sebuah negara Islam akan diterima. Dengan adanya nama Islam pada parti itu, akan memudahkan mereka melakukan sesuatu kerana orang ramai biasanya agak segan untuk mempertikaikan Islam apatah lagi orang yang mendakwa mempunyai ke-Islaman yang lebih baik.

Ini berbeza dengan UMNO. UMNO tidak pernah bergantung kepada nama untuk meraih sokongan dan kekuatan. Sebab itu, apabila UMNO (lama) diharamkan dan UMNO baru diwujudkan, ia tidak pernah membantutkan usaha para pemimpin dan pejuang UMNO untuk terus berjuang memartabatkan bangsa Melayu.

UMNO tetap begitu juga walaupun sudah bertukar menjadi baru, malahan UMNO baru ini menjadi lebih hebat daripada sebelumnya.

Dengan menggunakan nama Islam, Pas banyak kelemahan parti itu boleh ditutup. Pada pandangan orang biasa, mustahil sebuah parti Islam akan melakukan sesuatu yang tidak baik. Bukankah mereka bercakap menggunakan ayat-ayat al-Quran dan al-Hadith dan melaung-laung sebuah negara Islam?

Mereka tidak pernah meninggalkan ayat al-Quran dan al-Hadis dalam percakapan mereka. Malahan ketika mereka memaki hamun pemimpin negara dan memperlekehkan kerajaan yang sedia ada mereka masih mampu menggunakan ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.
Pas mengeksploitasi al-Quran dan Hadis untuk mengelirukan rakyta, menakut-nakutkan rakyat, menghasut orang ramai dan memecah-belahkan perpaduan dengan menghentam, mengutuk, mencaci kerajaan yang membawa kemajuan, pendidikan, kebajikan dan keamanan.
Manakala UMNO dan BN, tanpa bercakap berapi-api mengenai agam, menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai asas merancang, melaksanakan strategi, berhemah pendekatan di dalam memajukan pendidikan, membangunkan rakyat, menyuburkan demokrasi, mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum, memantapkan keamanan negara dan meninggikan syiar Islam.
Suara-suara penceramah, pelobi dan kaki sembang Pas sengaja dikeraskan dan ditujukan kepada kita. Kalau dahulu mereka melakukannya secara berselindung, sekarang mereka melakukannya secara terang-terangan. Mereka tidak segan silu memetik ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis tertentu untuk membenarkan perjuangan mereka sebagai jihad, sambil sengaja melindungi ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis yang menguntungkan kerajaan dan merugikan mereka.

Untuk tidak menampakkan kesalahan daripada tindakan mereka itu, mereka menuduh kerajaan mengamalkan Islam secara juziiyah. Mereka menyatakan kita mengambil separuh dan meninggalkan separuh yang lain, sebaliknya merekalah yang mengambil separuh dan meninggalkan separuh yang lain.

Mereka tentu lebih mahir menggunakannya, kerana mereka lebih arif tentang mana-mana ayat yang menguntungkan mereka, dan mana ayat yang tidak menyebelahi mereka.
Tembelang sebenar Pas adalah, mereka begitu mahir menggunakan ayat-ayat al-Quran, tetapi tidaklah begitu baik dari segi amalannya. Cuba bayangkan jika mereka daripada golongan jenis ini yang menipu kita, apakah kita akan sedar dengan penipuan mereka.
Jika mereka membawa kita ke arah jalan yang keliru apakah kita akan sedar bahawa mereka berusaha mengelirukan kita.

Agak sukar bukan? Kerana mereka akan menggunakan ayat al-Quran di dalam apa cara pun. Ini yang membimbangkan kerajaan, dan bukanlah seperti tuduhan Pas kononnya kerajaan menolak al-Quran dan al-Hadis seperti mana dakwaan mereka

No comments:

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.