Thursday, October 9, 2008

KENYATAAN PENUH PAK LAH LETAK JAWATAN


Transkrip penuh kenyataan Perdana Menteri

MESYUARAT Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini diadakan atas permintaan beberapa pemimpin BN supaya parti-parti komponen BN dapat dimaklumkan apa sebenarnya yang dipanggil peralihan kuasa dalam UMNO.

Permintaan ini dianggap sebagai wajar kerana memang pun kepimpinan parti UMNO, Presiden dan Timbalan Presiden adalah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN. Maka sebab itulah saya anggap wajar mesyuarat seperti ini diadakan khusus untuk tujuan memberi maklum kepada mereka.

Walaupun ini bukan tradisi, ini bukanlah satu program yang telah diadakan sebelum ini. Jadi, setelah penjelasan diberikan tadi dan pihak ketua-ketua parti komponen BN yang hadir telah pun juga ambil kesempatan untuk bercakap dan ia pastinya bukanlah ucapan selamat tinggal. Tetapi oleh sebab sudah saya sebut dan maklumkan apa yang hendak lakukan, maka mereka menganggap wajar juga sekurang-kurangnya mereka memberikan sedikit pandangan mereka, ucapan terima kasih dan sebagainya.

Saya dengan itu ingin membuat kenyataan mengenai perkara ini dan biarlah saya baca, senang sikit. Nanti kalau bagi kenyataan secara tanpa nota saya bimbang ada pula yang tulis macam lain pula nanti dan mungkin menimbulkan keraguan.

Jadi untuk mengelakkan daripada sebarang keraguan maka saya ingin dengan itu memberi kenyataan berpandukan kepada nota yang kemudian nanti saya akan berikan kepada pihak media supaya nanti apabila anda semua nak masukkan dalam surat khabar, maka ikutlah apa yang telah pun dimaklumkan.

Saya akan beri dalam dua versi, satu Inggeris dan satu bahasa Melayu, saya mulakan dalam bahasa Melayu dahulu.

1. Saya telah berkhidmat kepada negara lebih daripada 45 tahun. Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang wakil rakyat. Saya telah bertugas sebagai ahli pentadbiran sehingga, Alhamdulillah, saya berpeluang untuk memegang jawatan yang tertinggi di dalam kerajaan. Saya telah melihat Malaysia melangkah maju daripada sebuah negara yang miskin kepada sebuah negara yang moden dan disegani.

2. Walaupun prestasi pencapaian negara adalah membanggakan, saya percaya bahawa negara kita berada di sebuah persimpangan. Kita perlu berani membuat perubahan, kita perlu mempercepatkan evolusi dan proses pematangan. Sekiranya kita gagal membuat perubahan tersebut, segala pencapaian kita selama lebih 50 tahun mungkin tergadai. Dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati.

3. Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional berpecah belah. UMNO dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

4. Tempoh saya sebagai Presiden UMNO akan tamat pada bulan Mac 2009. Namun, ada beberapa inisiatif yang saya ingin laksanakan sebelum saya menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti saya. Inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk membolehkan negara kita terus melangkah maju. Inisiatif-inisiatif ini akan memperbaiki daya saing negara dan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran-cabaran luaran yang pasti mendatang. Saya menyeru seluruh rakyat agar bersatu bersama saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

5. Pertama, institusi negara perlu diperkukuhkan.
Badan kehakiman perlu memperkukuhkan kedudukan dan kredibilitinya di mata rakyat. Saya akan membawa rang undang-undang ke Parlimen bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya ini akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus.


Negara juga memerlukan sebuah institusi yang dapat memerangi gejala rasuah dengan efektif. Oleh itu, saya juga akan membawa rang undang-undang ke Parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang akan mempunyai kuasa penyelidikan dan penguatkuasaan yang lebih besar berbanding kuasa yang sedia ada pada Badan Pencegah Rasuah.

Saya juga akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

6. Kedua, saya telah begitu kerap dan sering menegaskan bahawa kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata negara. Ketika membentangkan Bajet 2009 yang lalu, saya telah menjelaskan tentang komitmen kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan Jaringan Keselamatan Sosial.

Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan perlaksanaan inisiatif ini dapat disegerakan bagi membantu rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas akan dapat mula dinikmati di Iskandar, dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di serata Negara.

7. Ketiga, saya ingin melihat kerajaan dan Barisan Nasional memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni. Hakikatnya, kita telah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis.

Pelbagai isu telah dibangkitkan yang berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang telah kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini. Isu-isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, melalui dialog; tangani isu-isu ini secara konstruktif dan adil; bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan; dan berikan fokus kepada aspek-aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua.

Bagi tujuan ini, saya akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional pada awal tahun depan. Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya.

8. Saya serius dan komited untuk mencapai segala misi yang saya gagaskan, dan saya yakin bakal pengganti saya akan meneruskan usaha-usaha ini. Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Datuk Seri Najib Tun Razak, insya-Allah, Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama, melainkan perpaduan dan keharmonian. Ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri atau untuk kita berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara kita Ini adalah masa untuk kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, mengatasi segalanya.

Kalau ada apa-apa perbezaan, versi dalam bahasa Melayu adalah yang betul.

SOALAN: Apakah perasaan Datuk Seri berundur sebelum penggal Parlimen Datuk Seri berakhir?

ABDULLAH: Saya rasa okay, parti BN masih memimpin dan menjadi parti yang membentuk kerajaan dan saya percaya kerajaan ini akan kekal serta kuat sehingga kita berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang, bila tidak pasti tetapi insya-Allah kita akan menang.

Adakan Datuk Seri akan berundur sebagai Perdana Menteri juga?
Ada yang berkata saya perlu serahkan (jawatan Perdana Menteri) kepada pengganti saya?

Siapakah pengganti itu?
Siapakah pengganti itu? Saya harap dia ialah Datuk Seri Najib Tun Razak. Anda tahu mengapa saya kata saya berharap, ini kerana Datuk Seri Najib masih perlu bertanding. Kalau tidak, okay sahaja, tetapi beliau perlu bertanding selaku Presiden UMNO dahulu. Saya yakin dia akan menang, saya yakin dia akan menang.

Bilakah tarikh sebenar untuk Datuk Seri menyerahkan jawatan (Perdana Menteri)?
Selepas Datuk Seri Najib menjadi Presiden UMNO. Harap beliau yang jadi Presiden dan selepas itu kami akan berbincang mengenai perkara tersebut.

Adakah Datuk Seri berharap yang Datuk Seri tidak didesak untuk melepaskan jawatan?
Saya tahu bahawa saya mencapai pencapaian yang kurang baik pada pilihan raya umum lalu. Saya merasakan perlu untuk pemimpin lain mengambil alih. Kita memerlukan kepimpinan generasi baru. Tidak ada apa masalah mengenainya.

Adakah keputusan Datuk Seri hari ini muktamad?
Muktamad.

Adakah Datuk Seri berasa menyesal kerana bersikap terlalu terbuka hingga keterbukaan itu kembali menghantui Datuk Seri dan terpaksa meninggalkan jawatan?
Saya tidak menyesal dengan apa yang telah saya lakukan. Bagaimana orang ramai memberi reaksi, itu adalah untuk mereka putuskan. Apa yang mereka fikir, itu tidak menjadi persoalan.
Ini kerana saya lakukan apa yang saya percaya bahawa pembaharuan ini akan membawa kesan baik untuk rakyat dan saya sentiasa percaya bahawa perlu ada ruang lebih luas untuk perbincangan yang demokratik. Ia menjadi kepercayaan saya selama ini.


Ini jelas seperti mana dalam manifesto pilihan raya BN tahun 2004. Rakyat selalu melihat manifesto hanya untuk tempoh lima tahun saya mentadbir.

Namun, manifesto tahun 2004 itu mempunyai banyak perkara yang saya percaya berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir Mohamad. Sesetengahnya mungkin sama, tetapi sesetengahnya merupakan strategi baru yang memang saya mahukan.

Ini kerana saya memikirkan jauh sehingga tahun melepasi 2020. Saya tahu saya tidak akan berada (menjadi Perdana Menteri pada tahun 2020. Kalau saya berada (sebagai Perdana Menteri), saya berumur lebih daripada 80 tahun dan tiada siapa mahu orang tua berumur lebih 80 tahun berada di situ (sebagai Perdana Menteri). Sudah tentu ada orang muda yang bersedia untuk memimpin parti. Apa yang lebih penting di samping apa yang saya lakukan, saya juga yakin kepada Wawasan 2020 dan tetapi saya juga memperkenalkan Misi Nasional yang saya anggap amat penting kerana tanpa misi itu kita tak akan dapat capai Wawasan 2020.

Sudah tentu pembaharuan adalah antara yang perlu dilakukan. Kita memasuki fasa baru dengan kehadiran generasi baru tahun ini. Saya adalah generasi Tun Abdul Razak yang terakhir dalam kerajaan. Selepas ini tiada lagi. Anak kepada Tun Abdul Razak yang akan mengetuai kerajaan dengan orang generasi baru.

Adakah pemimpin parti komponen menerima baik Datuk Seri Najib sebagai pengganti?
Mereka menyambut baik. Itu terserah kepada mereka, saya tidak memujuk atau kata apa-apa, Apa yang mereka lahirkan adalah pandangan mereka sahaja. Ini juga bukan majlis kempen untuk Datuk Seri Najib.

Adakah Datuk Seri lakukan ini demi UMNO dan BN?
Ya, sudah tentu saya amat menyayangi dua parti ini yang saya mendapat keistimewaan menjadi pemimpin.

Bagaimana kalau ada UMNO Bahagian yang masih mencalonkan Datuk Seri nanti?
Saya dah buat keputusan, saya dah cakap sendiri. Itu apa boleh buat. Kalau orang nak calon apa saya boleh buat, kita dah beritahu awal-awal.

Adakah Datuk Seri sendiri akan memilih timbalan kepada Datuk Seri Najib?
Saya tidak mempunyai hasrat untuk melantik timbalan kepada beliau (Najib). Kenapa saya harus berbuat demikian?

Adakah Datuk Seri akan berusaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa lagi yang lain sebelum berundur?
Ada perkara yang saya boleh buat serta-merta tetapi ada perkara yang saya memerlukan masa untuk melaksanakannya dan mungkin saya tidak ada masa untuk lakukan.

Apakah Datuk Seri akan dapat sokongan untuk pembaharuan yang hendak dilaksanakan?
Saya percaya saya akan dapat sokongan. Anda semua fikir perkara yang negatif, kita tiada sikap negatif.
Adakah akan ada halangan untuk Datuk Seri capai hasrat menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan dua lagi inisiatif lain?

Insya-Allah tidak akan ada halangan. Mungkin ada pandangan berlainan tetapi tidak semestinya pandangan itu menjadi halangan.

No comments:

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.