Friday, February 10, 2012

MEREKA SANGGUP MEMBUNUH DEMI TUTUP SKANDAL PASIR SELANGOR : PATRICK WONG DI BUNUH



Kematian Patrick Wong diklasifikasi kes bunuh
Oleh Hardi Effendi Yaacob

2012/02/10

BERITA HARIAN : Polis percaya ada kaitan cubaan dedah skandal kes pasir
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KematianPatrickWongdiklasifikasikesbunuh/Article

KUALA LUMPUR: Polis semalam menjelaskan kematian ahli perniagaan yang juga bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Datuk Patrick Wong pada 2009 diklasifikasikan sebagai kes bunuh sejak dari awal lagi.

Malah, polis masih menjalankan siasatan kes bunuh Wong, yang dipercayai ada kaitan dengan cubaan beliau mendedahkan skandal pasir membabitkan pemimpin dalam pakatan pembangkang di Selangor pada 2009. 
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pihaknya tidak pernah menutup siasatan kes itu seperti didakwa pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) dalam artikelnya bertajuk "Episode 2: The Murder of a Whistleblower" yang disiarkan dalam portal berita online berkenaan.
"Kita tidak pernah melaporkan kematian mangsa adalah disebabkan kemalangan akibat terjatuh dari tempat tinggi seperti didakwa RPK dalam portal miliknya semalam.

“Dari awal lagi, iaitu pada November 2009, kematian ahli perniagaan itu diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai pendedahan RPK, kelmarin yang mendakwa wujud keraguan di sebalik kematian Wong selepas dikatakan mati akibat terjatuh dari balkoni rumahnya ketika melarikan diri daripada perompak di Bukit Bandaraya di sini, pada November 2009.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira sebulan selepas ahli perniagaan itu dan isterinya mengadakan pertemuan bersama RPK di United Kingdom (UK) bagi meminta bantuannya mendedahkan skandal berkenaan. 

 
Antara lain, penulis blog itu mendakwa berdasarkan kesan 'tekanan' ditemui pada leher mangsa seperti dinyatakan dalam laporan bedah siasat, kematian ahli perniagaan terbabit yang juga rakannya mempunyai kaitan dengan skandal melombong pasir di Selangor.

RPK yang dipetik Malaysia Today, berkata pendedahan terperinci akan dilakukannya selepas ini, termasuk nama dan bukti pembayaran kepada pemimpin tertentu dalam kerajaan negeri itu berhubung skandal berkenaan.

Sementara itu, Mohd Bakri menjelaskan pihaknya tidak pernah menutup kes berkenaan, malah meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, termasuk RPK tampil membantu siasatan.

“Kita akan menyiasat kes ini secara terperinci dengan mengambil kira semua aspek berkaitan, termasuk segala dakwaan dibuat oleh penulis blog itu," katanya.

No comments:

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.