KEDATANGAN tahun baru 2010 kali ini sememang agak tidak menyenangkan. Satu dekad telah berlalu dalam abad baru, bermula dengan episod 11 September 2001 khasnya, telah meletakkan umat Islam dalam keadaan bercelaru.
Sekali gus mereka dicap sebagai ‘pengganas’ dan dikenakan berbagai tindakan seolah-olah sebagai seorang bersalah.
Kem Guantanamo dihidupkan semula khasnya untuk mengurung siapa sahaja yang disyaki, asalkan ada alasan untuk berbuat demikian. Presiden Amerika Syarikat ketika itu, sama ada sengaja atau tidak, menggunakan istilah perang salib apabila mengisytihar ‘peperangan kepada pengganas.’
Walaupun ini cuba diredakan kemudian, namun tujuan sebenar ‘peperangan’ tersebut sudah jelas, dan ini ternyata dari tindak-tanduk berikutnya, termasuk banyak kes penganiayaan berkaitan.
Dengan terpilihnya Presiden Barack Obama, dan janji-janjinya untuk memperbaiki dan memulih keadaan khususnya dengan dunia Islam, jelas membuktikan kemerosotan hubungan telah pun berlaku sebelum itu. Malangnya Obama kini terperangkap dengan kata-katanya tersendiri, menunjukkan bahawa pengaruh terhadap ‘peperangan’ yang diisytiharkan masih kuat, sama ada disedari atau tidak.
Dalangnya masih aktif kerana mereka yakin yang umat Islam umumnya berjaya dikucar-kacirkan dan bertambah celaru. Mengekalkan kecelaruan ini adalah satu strategi penting untuk memastikan umat ini akan lebih mudah ditindas dan dilemahkan. Betapa tidak!
Ambil sahaja contoh di negara kita, dikatakan negara yang fahaman Islamnya sederhana berbanding dengan negara lain. Itupun kita lebih lazim berbalah sesama sendiri dalam isu-isu agak lesu dan remeh, umumnya dalam hal-hal ranting dan dahan-dahan kecil.
Terbaru keasyikan dengan isu mazhab, dan tauliah! Ini semua terbatas hanya kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja. Yang selainnya tidak dikisahkan pun, termasuklah orang yang membenci Islam dan sentiasa mencari peluang untuk mencelarukan lagi, termasuk mereka yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti dalang-dalang pada peringkat antarabangsa.
Namun oleh kerana terlalu sibuk dengan isu dalaman yang remeh, sibuk bertikam lidah semasa sendiri, apa yang berlaku di luar ‘gelanggang’ peribadi masing-masing boleh ditangguh-tangguh, walaupun ia umpama api dalam sekam!
Isu penggunaan kalimah suci ‘Allah’ adalah satu-satu isu api dalam sekam yang kini kian melarat. Sama ada boleh ditangani terpulanglah. Terdengar ulasan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Berita Nasional yang mengatakan “keputusan mahkamah tidak boleh dinafikan” – sehari selepas keputusan tersebut dibuat.
Bagaimana agaknya jika sebelum keputusan itu dibuat? Di sinilah malangnya keadaan kita yang menunjukkan kecelaruan umat Islam dewasa ini. Sejak isu ini ditimbulkan tidak beberapa lama dahulu, berapa banyak kupasan dan penerangan secukupnya ditonjolkan sekurang-kurangnya sebagai persiapan keputusan mahkamah kelak? Adakah kita amat sibuk memperkatakan soal-soal remeh sahaja? Majalah mana yang membawa isu ini ke tengah secara serius dan berterusan selagi perbicaraannya belum berakhir?
Pada hemat saja tidak mencukupi; apa yang diterbitkan dalam media cetak agaknya boleh dikira dengan sepuluh jari sejak setahun lalu, apalagi dalam bahasa Inggeris untuk pembacaan antarabangsa.
Mungkin selepas ini keadaannya akan berubah, tetapi jelas bak kata perpatah: nasi sudah menjadi bubur. Jika kecelaruan ingin ditimbulkan oleh dalang dan pihak tertentu, mereka sudah pun berjaya.
Umat Islam kini terpingga-pingga mencari jalan keluar. Seorang yang ditemu bual dalam televisyen tentang keputusan mahkamah tersebut menyoalkan mengapa tidak digunakan nama ‘Jesus’ saja!
Nampaknya intipati isu pun masih ada yang keliru? Ada yang mengaku baru hendak merujuk kepada pakar dan menyediakan hujah yang meyakinkan!
Soalnya mengapa kita begitu lalai dalam menjaga hal-hal pokok berkaitan dengan akidah sendiri? Orang Islam di negara ini memang lebih terkenal sebagai mudah bertolak ansur dan ini dianggap umum sebagai satu nilai terpuji.
Namun demikian tidak ada salahnya jika kita memperkatakan yang hak kerana agama Islam juga menyuruh kita berbuat demikian!
Dalam isu ini ada beberapa yang perlu ditegaskan sebagai hak, antaranya:
Pertama, kalimah ‘Allah’ itu bukan sekadar kalimah biasa, tetapi tidak terpisah dengan Hakikatnya seperti yang diterangkan dalam al-Quran, khususnya di dalam Surah al-Ikhlas. Jika ini diperakui, penggunaan ‘Allah’ itu tidak menjadi isu sama sekali.
Kedua, jelas ‘Allah’ adalah kalimah bahasa al-Quran, atau dengan lain kata Kalam Allah, melampaui bahasa Arab semata-mata. Oleh itu konteks yang sentiasa dirujuk adalah konteks al-Quran di mana Allah lebih berhak menjelaskan akan Zat dan Sifat-Nya daripada mana-mana makhluk ciptaan-Nya.
Ketiga, oleh yang demikian hujah yang dikemukakan mesti berpaksikan kepada ketamadunan al-Quran itu sendiri, dan tidak wajar dicampuradukkan dengan tamadun lain khususnya yang tidak mempunyai fitrah Islam. Kefahaman monotesisme masih di peringkat konsep dan bukan hakikat sebagaimana Zat Allah.
Keempat, jangan sekali-kali kefahaman ‘Allah’ disongsangkan umpama mempunyai ‘anak’ dan ‘diperanakkan’ mahupun hal-hal yang menyekutukan Hak Allah. Jika ini dibenarkan berlaku jelas ia bukan sahaja menodai Hak, bahkan akan mengundang pelbagai lagi kecelaruan sebagai mana yang diingini oleh pihak-pihak tertentu.
Kelima, Malaysia sebagai negara berdaulat dan beraja, berhak tidak mempersetujui apa yang diamalkan di negara jiran walaupun yang serumpun. Malah Malaysia di mana Islam menjadi agama rasmi mampu membuat sempadan tafsirannya tersendiri. Serumpun tidak bererti serupa dalam segala hal.
Banyak pengguna kosa kata yang sama antara negara-negara jiran tetapi berbeza pemakaian dan maknanya. Episod ‘maling-sia’ yang berlaku kebelakangan ini mengakui hal tersebut.
Kesimpulannya, Allah itu Ahad. Amanah kita adalah untuk mengekalkan Kesucian Keesaan-Nya. Semoga Allah jua memberkati usaha ikhlas ini, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment