Kalimah Allah: Uji tahap kesabaran Melayu?
IPOH 3 Jan. - Tindakan pihak tertentu yang berusaha untuk menggunakan kalimah Allah dalam agama lain dilihat sebagai antara langkah terbaru mereka ke arah mengikis satu lagi milik agama Islam dan orang Melayu di negara ini.
Sambil mengingatkan kumpulan terbabit jangan 'bermain api', Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, usaha jahat itu tidak akan berjaya jika seluruh orang Melayu bersatu.
Tegas beliau, perkembangan yang berlaku seolah-olah ada pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu menguji tahap sebenar kesabaran orang Melayu.
''Jangan mencabar kesabaran orang Melayu kerana ia akan mengakibatkan perkara buruk berlaku.
''Saya lihat penggunaan kalimah Allah ini lebih kepada tersirat daripada tersurat, mereka bukan hendak sangat menggunakannya tetapi ini adalah usaha mengikis segala milik Islam dan orang Melayu," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, selain mempertikaikan soal-soal fizikal seperti isu pembinaan masjid dan sebagainya, modus operasi mereka juga akan 'mengusik' perkara-perkara kerohanian atau yang bersangkutan dengan agama.
Sehubungan itu, menurut Mohd. Hilmi, adalah penting apabila orang Melayu tanpa mengira fahaman politik segera bersatu bagi mempertahankan penggunaan kalimah Allah sebagai hak mutlak agama Islam.
''Inilah angkaranya kalau orang Melayu berpecah-belah dan lemah. Marilah kita bersatu demi memperjuangkan kebenaran dan hak Islam," tegas beliau.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Nasharruddin Mat Isa berkata, kebenaran penggunaan kalimah Allah yang diberikan kepada orang bukan Islam bukanlah isu politik sebaliknya satu pencerobohan terhadap agama rasmi negara ini.
''Keputusan mahkamah itu bukan sahaja melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan malah melanggar akidah umat Islam dan ini tindakan yang tidak dapat diterima.
''Dalam hal ini, seluruh umat Islam perlu bersatu membantah kebenaran yang diberikan selain menyokong rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri terhadap keputusan itu," katanya.
Menurut Mohd. Hilmi, walaupun Melaka pernah menjadi tumpuan para mubaligh Kristian lebih 600 tahun lalu namun, tidak pernah dicatatkan wujud usaha untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penyebaran kepercayaan mereka.
''Mengapa sekarang baru hendak digunakan? Ini bermakna mereka ada agenda lain yang tersirat daripada tersurat yang dimaksudkan tadi," jelas beliau.
Selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang Melayu, GMP katanya, akan mengambil beberapa tindakan termasuk mengadakan perjumpaan dengan semua NGO Melayu dan pakar-pakar seluruh negeri pada 16 Januari ini.
Tujuan perjumpaan itu, jelas beliau, adalah untuk membincangkan hala tuju dan cabaran-cabaran terkini yang dihadapi oleh orang Melayu.
''Kita juga meminta supaya Majlis Raja-Raja Melayu dapat membuat suatu persidangan bagi membincangkan isu ini sebelum ia terus melarat," katanya.
No comments:
Post a Comment