Friday, March 7, 2008

Muslihat Pembangkang


Oleh Khairy Jamaluddin


Sungguhpun gerak kerja musim mengundi sudah pun sebati dengan mereka yang bergiat aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO, bagi calon yang bertanding buat julung kalinya, bahang pilihan raya yang sudah pun merebak ke seluruh tanah air lebih hangat rasanya.
Perjalanan saya ke seluruh daerah beradat Rembau, tempat asal usul kaum kerabat saya ini juga lebih bermakna.

Mengharungi kawasan P131 dari persisiran bandar sekitar Paroi hingga ke kampung-kampung di Kota, selatan Negeri Sembilan, pertemuan saya dengan penduduk-penduduk di merata tempat memberi kesempatan juga bagi saya untuk membawa mesej perjuangan Barisan Nasional (BN).

Kerja yang begitu penting bagi saya selain mendengar rintihan masyarakat di sini adalah untuk memperjelaskan perbezaan serta jurang yang luas di antara wawasan perikatan yang kukuh berpengalaman memerintah, dengan ikrar daripada pembangkang yang tidak perlu memegang pada janji.

Manifesto BN yang dilancarkan pada minggu lepas merupakan satu dokumen yang serba lengkap, baik dari segi pengisian mahupun dari segi praktiknya. Ia dirangka dengan teliti dan mengutamakan kepentingan jangka masa panjang.

Perancangan manifesto BN terperinci dan bertanggungjawab, dan yang pentingnya mampu dilaksanakan tanpa membebankan masa hadapan anak-anak kita.

Janji-janji manis yang dibawa oleh pihak pembangkang, sudah tentu tidak akan dapat dikotakan. Jelas sekali bahawa rata-ratanya wawasan yang dilaungkan pihak pembangkang dikarang berdasarkan sentimen populis, bertujuan menarik pengundi bak dendangan lagu merdu.
Siapa pun akan asyik mendengarkan janji harga minyak yang murah, gaji minimum yang lebih tinggi dan lain-lain. Namun dendangan pembangkang ini akhirnya melalaikan kita sahaja semata-mata.

Pihak pembangkang mengambil kesempatan suasana ekonomi global yang murung untuk mempermainkan rakyat dengan ilham fantasi yang tidak berlandaskan fakta. Fokus sebenar mereka adalah untuk mengurangkan majoriti BN demi kepentingan politik sendiri. Begitu mudah janji ditabur sedangkan pihak pembangkang sendiri sedar bahawa mereka tidak akan dapat memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Manifesto parti-parti pembangkang membawa kesudahan yang sama – ia akan membawa padah kepada generasi pewaris akan datang akibat rancangan yang tidak bertanggungjawab.
Seolah-olah membayangi ikrar mereka yang memerlukan perbelanjaan yang boros, pembangkang juga menghabiskan beribu-ribu ringgit mencetak risalah untuk menyebarkan janji yang tak mungkin terkota.

Di kawasan Rembau, saya sempat melihat sendiri risalah Keadilan yang berhiaskan gambar Anwar Ibrahim, menghuraikan bagaimana harga minyak akan diturunkan jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberi mandat memegang tampuk kerajaan.

Risalah tersebut menerangkan bahawa Anwar mampu mengurangkan harga minyak. Kononnya, ketika beliau menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun beliaulah yang berjaya menetapkan harga petrol pada kadar RM1.10 seliter.

Seperti mana cerita-cerita lain yang sering disampaikan oleh Anwar, cerita ini juga bukan sahaja tidak lengkap tetapi diputar-belitkan sesuka hati.

Hakikatnya harga petrol kita bergantung secara langsung pada harga minyak mentah di pasaran dunia. Dalam era Anwar menjadi Menteri Kewangan, harga minyak mentah di pasaran dunia adalah di antara AS$12 dan AS$26 setong.

Bandingkan sahaja dengan harga minyak mentah hari ini yang sudah melepasi tahap AS$100 setong. Ini bermakna sejak Anwar dipecat, harga minyak mentah telah meningkat lebih 400 peratus.

Harga petrol semasa pada kadar RM$1.92 seliter jika dibandingkan dengan dulu hanya meningkat 75 peratus. Ternyata kerajaan BN telah memainkan peranan untuk melindungi dan memastikan rakyat tidak merasai sepenuhnya kesan negatif akibat kenaikan harga minyak dunia.
Ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, memang mudah untuk mengekalkan harga minyak yang murah kerana harga minyak global ketika itu amat rendah. Perbuatan Anwar mengakui bahawa dialah penyebab harga minyak rendah tidak lain dari satu pemalsuan dan penyalahgunaan fakta sejarah.

Apakah ini bermakna janji-janji yang lain juga merupakan penipuan dan muslihat politik semata-mata?

Pihak pembangkang juga berkata bahawa keuntungan Petronas boleh disalurkan untuk membiayai subsidi minyak yang lebih tinggi. Apa yang tidak dihuraikan ialah hakikat bahawa hampir dua pertiga keuntungan kasar Petronas diberi balik kepada kerajaan melalui cukai, dividen dan royalti.

Dana ini pula telah pun disalurkan untuk pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat. Baki keuntungan inilah nampaknya yang akan digunakan untuk menunaikan janji, menurut pihak pembangkang.

Rizab minyak kita akan kehabisan dalam 10 tahun dan pada tahun 2010, import minyak kita akan melebihi eksport. Oleh itu, kelebihan keuntungan Petronas perlu dilaburkan untuk mencari minyak di negara-negara lain seperti di Asia Tengah, Afrika dan Asia Barat.

Memancing

Jika langkah ini tidak diambil, kita tidak akan dapat mewariskan sumber yang begitu penting ini kepada anak-anak kita. Apa yang nyata, jika janji pembangkang terlaksana, kita tidak akan berupaya untuk mendapatkan minyak ini, justeru masa hadapan kita sudah tentu gelap.
Pembangkang tidak berhenti di situ. Mereka juga menjanjikan untuk menghapuskan semua hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tertunggak demi memancing undi golongan muda. Janji ini tidak masuk akal.

Jika janji ini dilaksanakan, apa yang akan terjadi kepada beribu mereka yang telah membayar hutang PTPTN masing- masing? Adakah mereka akan diberi pampasan? Tidakkah pembangkang sedar bahawa kos pelaksanaan perancangan mereka ini adalah sebanyak RM17.3 bilion? Sebagai perbandingan, jumlah ini merupakan 75 peratus dari keseluruhan peruntukan Kementerian Pelajaran untuk tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Kesembilan!

Tidak terlintas juga pada hemat pembangkang bahawa ini turut menjejaskan kesinambungan penerimaan kemudahan bantuan ini bagi bakal peminjam pada masa hadapan.
Parti Keadilan juga menjanjikan gaji minimum sebanyak RM1,500 untuk menarik perhatian rakyat. Apakah idea ini benar- benar dapat meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat?
Sebenarnya, jika cadangan gaji minimum ini dilaksanakan, ramai yang akan hilang pekerjaan apabila syarikat tidak lagi dapat menampung gaji pekerja. Cadangan gaji minimum ini juga akan mengakibatkan lebih banyak mahasiswa universiti yang menganggur kerana syarikat terpaksa memilih pekerja dengan lebih berhati-hati.

Dari segi makro pula, ia akan menyebabkan syarikat multinasional yang selama ini melabur berbilion ringgit dan menyediakan begitu banyak peluang pekerjaan berpindah ke negara yang mempunyai kos buruh yang lebih murah. Lebih teruk lagi, kesan gaji minimum akan memberi kesan negatif inflasi, terutamanya jika kenaikan gaji tidak diiringi peningkatan produktiviti.
Harga barang akan naik mendadak dan mungkin melebihi kadar peningkatan gaji. Ini semua akan mendatangkan lebih banyak masalah kepada rakyat jelata, tetapi ini tidak dihuraikan dalam manifesto pembangkang.

Jelas manifesto pembangkang ini mengandungi janji-janji yang membawa akibat buruk yang tersirat. Namun begitu, pembangkang dengan tidak segan silu menyatakan kesan manifesto mereka dapat mengembangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara lebih dari lapan peratus.

Walhal yang sebaliknya akan berlaku, jika semua janji ini dilaksanakan. Defisit fiskal kerajaan akan meningkat daripada 3.2 peratus KDNK sekarang kepada lebih daripada 15 peratus KDNK. Ini merupakan beban hutang masa depan yang akan dihadiahkan oleh pembangkang kepada anak-anak kita jika cadangan mereka dilaksanakan.

Tidak perlu diingatkan bahawa kita hidup di dunia ini hanya sementara. Qada’ dan Qadar menjanjikan pada suatu hari nanti kita akan mewariskan bumi Malaysia yang tercinta ini kepada generasi seterusnya. Sanggupkah kita membelenggu nasib anak bangsa di esok hari gara-gara dibuai janji-janji bersifat sementara?

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Alhamdulillah, setelah mendengar cerita yang sepenuhnya serta penjelasan lengkap yang sengaja diselindung pihak pembangkang, ramai yang tidak tertipu lagi.

Jangan anggap rakyat tidak dapat membezakan antara janji palsu dan janji yang mampu dikotakan. Akhirnya kita pijak jua di bumi yang nyata. Rakyat Malaysia memahami dan tidak sanggup membuat pilihan yang menjejaskan nasib pewaris mereka.

Hanya satu pilihan yang nyata tersedia, landasan kita pada hari ini boleh membawa kepada masa depan yang terjamin buat generasi kini mahupun di masa hadapan. Pada Sabtu ini, 8 Mac 2008 Insya-Allah pengundi akan menunjukkan kematangan mereka, mata tidak lagi dikaburi, hati tidak lagi digerak emosi dan telinga tidak terlalai lagu merdu.

Pada saat dan ketika itu, jelaslah siapa yang akan diberi amanah untuk membawa harapan buat Malaysia tercinta.

* Penulis merupakan calon Barisan Nasional bagi Parlimen Rembau , Negeri Sembilan.

Perilaku Anwar "Si Pengkhianat" Begitu Pelik-

Si Pengkhianat Ketawa Puas Selepas Memburukkan Malaysia

Pulau Pinang -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kecewa dengan tindak tanduk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memburuk-burukkan Malaysia dan pemimpin kerajaan di Singapura.
Sambil menyifatkan perilaku Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu begitu pelik berbanding ketika beliau berada dalam kerajaan dahulu, Perdana Menteri berkata:

‘‘Saya menganggap sikapnya, caranya sekarang berlainan sangat, dia pandai memburuk-buruk, kata macam-macam sedangkan dia dulu yang mengata terhadap parti pembangkang sampai tidak ada had.

‘‘Sekarang nampaknya dia pun buat perangai macam itu, perangai yang dia tidak suka, sekarang dia melakukannya juga, sampai pergi luar, panggil akhbar dari negara lain untuk mendengar apa yang dia lemparkan (terhadap kerajaan), ini bohong sahaja.”

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Menaik Taraf dan Pembinaan Pusat Jantung dan Pembedahan Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon dan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Abdullah mengulas mengenai tindakan Anwar yang membawa gerakan memburuk-burukkan Malaysia ke negara jiran dengan menyifatkan kepimpinan negara sebagai gagal.
Menurut Anwar, kegagalan tersebut antaranya berpunca daripada kelembapan ekonomi, rasuah, kenaikan harga barang yang membebankan, amalan kronisme, kuku besi dan perbuatan menafikan hak rakyat bersuara.Anwar melemparkan tuduhan-tuduhan berkenaan di hadapan 50 wakil media antarabangsa di Singapura semalam.

Terdahulu ketika berucap merasmikan projek menaik taraf dan pembinaan pusat jantung serta pembedahan, Abdullah berkata, kerajaan mengambil berat keperluan rakyat terutama kesihatan bagi memastikan rakyat sentiasa sihat.

“Selain usaha menaik taraf hospital, kerajaan membina 15 hospital baru, 22 buah klinik kesihatan dan membangunkan 64 klinik desa yang baru.

“Justeru, kita perlu mengekalkan kerajaan sedia ada kerana semua ini hanya boleh dijayakan oleh BN yang mementingkan amalan demokrasi demi masa depan semua,” katanya.

Thursday, March 6, 2008

Fakta Kenaikan Harga Minyak



Anwar terdesak -- Penasihat PKR sanggup cemar imej negara sendiri di Singapura


Oleh Hasnurul Mohamed dan Yulpisman Asli

KUALA LUMPUR 5 Mac – Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah terdesak sehingga sanggup mencemarkan imej negara sendiri di Singapura. Mereka juga marah dengan dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menyebarkan fitnah kepada media asing kononnya hanya penipuan besar-besaran dapat menghalang pembangkang daripada menafikan majoriti dua pertiga BN pada pilihan raya umum 8 Mac ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, tindakan Anwar itu membuktikan beliau sangat tertekan untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
“Agaknya dia telah dapat meramalkan bakal mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya kali ini, sebab itu dia buat bermacam-macam pembohongan,’’ kata Rafidah ketika mengulas perbuatan Anwar mengadakan sidang akhbar di Singapura hari ini untuk memburuk-burukkan negara.

Pada sidang akhbar yang dihadiri 50 wakil media antarabangsa di Singapura petang ini, Anwar antara lain memperlekehkan perjalanan pilihan raya di Malaysia dan cuba menjatuhkan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pula percaya Anwar sengaja mencari alasan bagi menutup malu besar pembangkang apabila kalah dalam pilihan raya Sabtu ini.

“Dia bukan peduli tentang (menjaga) imej negara. Yang dia pentingkan ialah cuba mencari jalan hendak menang. Kalau tidak dapat, dia akan lempar tuduhan liar kepada orang lain,’’ katanya.
Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin pula menegaskan, tindakan Anwar menggunakan media asing sebenarnya adalah sebahagian daripada permainan orang luar yang cuba memburuk-burukkan proses pilihan raya di Malaysia.

Anwar dan pihak berkenaan, kata Zainuddin, cuba memberikan gambaran yang sangat buruk iaitu berlaku penyelewengan dalam proses demokrasi di negara ini. “Ini bukan tuduhan pertama yang dilemparkan oleh Anwar. Sama ada BN menang atau kalah, pembangkang akan tetap membuat tuduhan sama,’’ katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan komen Anwar di Singapura itu mencerminkan PKR dan kepimpinannya sudah kehilangan arah sehingga sanggup ke luar negara untuk menagih simpati. “Anwar kena terima realiti yang dia bukan Timbalan Perdana Menteri lagi. Dia terdesak sehingga sanggup buat apa saja termasuk buat bermacam-macam tohmahan... dia tahu pembangkang khususnya PKR tidak boleh ke mana-mana dalam politik Malaysia,” kata Khairy ketika dihubungi.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu pula menggambarkan dakwaan Anwar di Singapura itu sebagai bukti pembangkang semakin keliru. “Pembangkang mahu menggunakan taktik ini sebagai alasan kekalahan mereka nanti, dan mereka cuba menyalahkan sistem sedangkan SPR bersifat neutral,’’ katanya.

Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong pula berpendapat dakwaan Anwar tersebut sebagai tidak berasas serta tidak bertanggungjawab.“Dia cuma mahu berikan alasan, apabila tewas, senanglah dia menyalahkan kerajaan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Dekan Penyelidikan dan Pasca-Siswazah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamad Mustafa Ishak yakin Anwar cuba menutup kelemahan pembangkang khususnya PKR yang mungkin gagal dalam pilihan raya kali ini.Katanya, sokongan rakyat terhadap parti itu merosot dan PKR tidak mempunyai isu besar yang boleh membantu parti tersebut mendapat sokongan pengundi.
“Saya percaya apabila rakyat menolak PKR pada pilihan raya Sabtu ini, berakhirlah karier politik Anwar. Tirai PKR bakal dilabuhkan,’’ katanya.

Profesor Amir Hussin Baharuddin dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpendapat langkah Anwar memburukkan-burukkan Malaysia di Singapura itu terpalit pada mukanya sendiri. “Kenyataan Anwar itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kemenangannya pada pilihan raya terdahulu ketika dia masih dalam kerajaan turut diraih melalui penipuan. “Sebagai rakyat Malaysia, dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian. “Sepatutnya Anwar menyalurkan sebarang permasalahan kepada kerajaan dan SPR supaya tindakan boleh diambil, bukannya dengan menghebahkan kepada media asing,’’ kata Amir Hussin.

Hubungan Anwar-Amerika bahayakan kedaulatan negara

Dr. Chandra Muzaffar.


MUKADIMAHDR. CHANDRA Muzaffar pernah menjadi ‘orang kuat’ Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika parti itu ditubuhkan pada tahun 1999.


Chandra memegang jawatan Timbalan Presiden PKR selama dua tahun sebelum menarik diri pada Disember 2001 atas sebab-sebab tidak sehaluan dengan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Saya tarik diri kerana perbezaan pendapat dan tidak bersetuju dengan Anwar,’’ katanya.
Menurut Chandra, Anwar tidak layak menjadi pemimpin kerana pendiriannya tidak konsisten, kurang jelas dan beliau mengamalkan politik perkauman.


Wartawan Utusan Malaysia, Nazrullah Rosli menemu bual Chandra, yang kini mengetuai Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), mengenai beberapa isu berkaitan Anwar dan peluang PKR pada pilihan raya umum 8 Mac ini.


Bagaimanakah saudara melihat kehadiran di ‘belakang tabir’ Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya umum kali ini?


CHANDRA: Pada hemat saya, prestasi PKR kali ini akan merosot kerana Anwar tidak akan berjaya meraih simpati kerana dia tidak berada dalam penjara seperti sebelum ini.
Pada pilihan raya 1999, Anwar menerima banyak ‘simpati’ kerana dia dipenjarakan dan ia menjadi faktor utama isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menang di Parlimen Permatang Pauh.


Anwar sudah dibebaskan dari penjara dan faktor simpati sudah tidak wujud lagi. Dengan kata lain PKR dan Anwar yang merupakan pelaku utama parti itu kini akan mendapat layanan yang sama seperti pelaku politik parti-parti lain.


Ini juga bermakna segala kelemahan Anwar juga akan terdedah dan dia terpaksa menanggung risiko kerana rakyat akan menilai dirinya sama seperti mereka menilai pelaku politik lain.
Apakah punca PKR tidak diterima oleh majoriti rakyat di negara ini?


CHANDRA: Ada beberapa sebab termasuk pengakuan terbuka Anwar mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagaimana yang dinyatakannya pada kempen pilihan raya kali ini.
Seperti diketahui umum, DEB melindungi orang Melayu dari segi ekonomi.
Sebaliknya cadangan Anwar itu menimbulkan kemarahan orang Melayu yang tidak bersetuju dan menentang perbuatan menghapuskan DEB.


DEB bagi orang Melayu adalah sesuatu yang penting dan sekiranya ada pemimpin Melayu yang mahu menghapuskan DEB, ia satu perbuatan yang tidak boleh diterima.
Anwar juga dikaitkan secara tidak langsung dengan pertubuhan haram Hindraf. Dia secara terbuka mempertahankan perbuatan kumpulan itu. Masyarakat Melayu tidak senang dengan pendirian politiknya ini. Dan ini membawa implikasi negatif kepada politik Anwar.


Bagaimana pula PKR pada mata masyarakat Cina dan India di negara ini?


CHANDRA: Kedua-dua kaum itu tahu pendirian Anwar semasa dalam kerajaan dulu berhubung beberapa isu melibatkan kepentingan dua kaum itu.


Apa yang diperjuangkannya sekarang jauh berbeza. Misalnya, dalam isu penggunaan bahasa di sekolah Cina, pendirian Anwar sering berubah berdasarkan kehendak golongan yang menjadi sasarannya. Kalau dia hendak dapat sokongan dan perjuangkan orang Melayu, dia akan pilih isu-isu tertentu yang ada kaitan dengan orang Melayu.


Anwar bukan seorang yang berpegang pada prinsip dan dia hanya menyesuaikan diri dengan suasana, kehendak dan iklim politik semasa. Contohnya, kalau mahu meraih sokongan kaum Cina, dia akan memperjuangkan isu masyarakat berkenaan dan melakukan perkara sebaliknya apabila mahu mendapatkan sokongan Melayu. Jadi, matlamat Anwar dalam PKR jelas untuk kepentingan politik dirinya sendiri. Pengundi kaum Cina dan India tahu politik Anwar.


Apakah hubungan mesra Anwar dengan golongan tertentu di Amerika Syarikat dan Barat menggugat sokongan rakyat kepada PKR?


CHANDRA: Bagi masyarakat Melayu dan bukan Melayu, mereka sedar tentang pendirian politik Anwar dalam soal hubungan antarabangsa.


Dia menjalinkan hubungan intim dengan golongan tertentu di Amerika Syarikat (AS). Rakyat Malaysia tahu tentang dasar luar AS yang begitu agresif mahu menguasai dunia seperti di Asia Barat. AS mahu kekal berkuasa ke atas laluan strategik di rantau itu.


Anwar juga begitu akrab dengan golongan tertentu di AS, antaranya dengan bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan yang juga bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang merupakan antara perancang utama Perang Iraq.


Anwar juga menjadi Pengerusi Yayasan Untuk Masa Depan yang ditubuhkan dan dilancarkan oleh pentadbiran Amerika Syarikat yang kononnya untuk memperkenalkan demokrasi di Asia Barat.


Yayasan itu ditubuhkan oleh kuasa tertentu untuk kepentingan mereka. Anwar terlibat dalam usaha ini. Dia mendapat sokongan media Barat dan pemimpin tertentu di Barat.


Apakah pembabitan Anwar dengan Barat ini yang menyebabkan saudara menarik diri daripada PKR?


CHANDRA: Memang benar. Inilah yang menjadi faktor saya tarik diri pada Disember 2001. Saya lihat faktor ini melemahkan PKR dan mungkin menyebabkan komplikasi serius terhadap Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Hubungan Anwar dengan Amerika Syarikat dan Barat boleh membahayakan kedaulatan kita.


Jika hubungan seperti itu wujud, bagaimana dia boleh memimpin untuk kepentingan negara ini?
Secara umumnya, orang begini kalau memimpin negara, dia akan melemahkan kerajaan dan negara.


Sebab itulah selama dua tahun dalam PKR, saya tidak tunduk kepada kehendak Anwar kerana pendiriannya tidak konsisten dan tidak berterus terang. Selain pendirian yang tidak konsisten dan kurang jelas, Anwar juga memainkan sentimen perkauman seperti terbukti pada pilihan raya kecil Lunas dulu.


Begitu juga dengan soal politik wang yang diheboh-hebohkan, sedangkan apa yang dilakukannya jauh berbeza. Dia cakap tak serupa bikin. Sekiranya Anwar dapat menjadi Perdana Menteri, dia tidak akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.


Malah, seperti yang saya katakan, dia akan berkompromi dengan golongan tertentu di Amerika Syarikat dalam soal kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Monday, March 3, 2008

Fatwa Sesat PAS


Salam Perjuangan...

HAKIKATNYA bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa perbuatan mengumpat memang dibenarkan mengikut syariat Islam.

Dalam suasana pilihan raya sekarang, Nik Abdul Aziz, salah seorang ulama tidak mempunyai banyak pilihan selain menyokong apa yang dikatakan Abdul Hadi. Jika beliau membantah, ia sudah tentulah menunjukkan bahawa ulama-ulama dalam Pas tidak sepakat dan ini boleh memberi kesan sokongan rakyat kepada mereka.

Adalah sesuatu yang malang apabila setiap kali pilihan raya dua ‘tok guru’ ini seolah-olah berubah wajah. Mereka terlupa gelaran ulama yang disandang sebaliknya menjadi ahli politik sepenuh masa.Mereka keluarkan kenyataan yang bukan-bukan dan `fatwa’ mengelirukan. Segala-galanya dilakukan demi untuk mencari undi.

Jika sejarah pilihan raya dikaji, kedua-dua tok guru ini pasti membuat kenyataan yang bukan sahaja mencetuskan kontroversi malahan kekeliruan di kalangan umat Islam dan rakyat.
Dua tok guru ini ada ketika membenarkan sesuatu yang selama ini dianggap oleh umat Islam bertentangan dengan ajaran Islam.

Sebagai contoh, Nik Abdul Aziz pernah berkata, Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut manakala Abdul Hadi pula membenarkan perbuatan mengumpat.
Tanpa memikirkan kesannya, dua tok guru ini yang setiap Jumaat mengadakan kuliah agama di Marang dan Kota Bharu terus membuat kenyataan mengelirukan itu.

Apa yang berlaku adalah menyedihkan kerana demi mencapai cita-cita politik dan meraih undi, kedua-dua tokoh ini terus memaparkan identiti yang mengelirukan menjelang pilihan raya.

NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

* Siapa yang nak tolong kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin mesti terima sama ada DAP, MCA dan MIC. Kalau nak tolong kenapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong Pas, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun saya terima.
– 24 Januari 1999

* Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang menggunakan maki hamun tapi terserahlah kepada manusia di mana tempatnya.
– 28 April 1999

* Terdapat unsur kafir dalam UMNO kerana parti itu menolak Islam dalam pentadbiran negara, UMNO juga ada ciri kafir.
– 3 Julai 1999

* Para imam hendaklah faham bahawa ada anak-anak mukim tidak mahu menuruti imam yang beraqidah politik suku, agama suku kerana boleh menyebabkan sembahyang tidak sah.
– 4 Mac 2001

* Pas Kelantan bukan berdepan dengan sebuah parti politik di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 sebaliknya orang utan yang tidak tahu undang-undang.
– 17 Februari 2008

ABDUL HADI AWANG

* Orang UMNO dianggap kafir berpandukan tiga faktor:
1. Ahli-ahli UMNO telah menyokong perlembagaan negara yang bukan merupakan perlembagaan Islam.
2. Pemerintah yang terdiri daripada orang- orang UMNO telah meletakkan perlembagaan negara lebih tinggi dari al-Quran.
3. Kezaliman yang telah ditunjukkan oleh pemerintah terhadap orang-orang Islam khususnya Pas, jelas menunjukkan mereka tidak Islam.
– 17 Jun 1986

* Jadi apa salahnya buat demonstrasi? Biarlah mereka buat, bukannya mereka bakar kereta. Kalau bakar, ambillah tindakan.
– 18 Februari 2008

* Urusan memilih pemimpin adalah lebih besar daripada meminang. Oleh itu tidak salah mendedahkan keburukan- keburukan yang pernah mereka lakukan.
– 27 Februari 2008

* Saudara-saudara sekalian, percayalah kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang BN bukan kerana namanya BN. Kita menentang dia kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah.
Oleh kerana itu, kita menentang mereka, oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka. Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam.
– 7 April 1981
http://www.utusan.com.my/

Apabila Hasad Mengambil Tempat, Kebaikan Akan Terpinggir


S. S. Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Mufti Negeri Perlis


Hikayat kisah-kisah melayu lama banyak memuatkan tabiat melayu yang amat cenderung untuk hasad dengki antara satu sama lain. Saya tidak pasti sejauh manakah kebenaran kisah-kisah tersebut. Namun yang pasti samada kisah itu benar atau bohong, atau separuh bohong, unsur hasad dengki mempengaruhi masyarakat melayu sehingga kisah-kisah yang berunsur sedemikian terbentuk dan diwarisi.


Mungkin ianya kisah yang ada asalnya, atau igauan perekanya yang selalu terbayang unsur-unsur hasad dengki yang sering mengambil peranan dalam masyarakatnya. Lihat sahaja Hikayat Hang Tuah, Hang Nadim dan berbagai kisah-kisah yang lain. Kisah-kisah itu menggambarkan betapa hasad dengki telah mengambil tempat utama dalam kemuncak kisah dan pemikiran ingin mengambil manfaat dari kebolehan individu lain dipinggirkan. Mungkin ada masyarakat lain juga yang demikian, kerana hasad dengki adalah ‘penyakit antarabangsa.


Dari segi realitinya, walaupun tidak semua, orang kita selalu hasad apabila melihat sesama kita maju ke hadapan. Padahal itu bukan sifat yang baik bagi satu bangsa yang sedang bersaing membangunkan kaum mereka. Dahulu jika ada orang melayu yang berkebun di kampung akan ada yang menyindir: “nanti habislah sayur cina tidak laku”. Jika ada yang cuba berniaga akan ada yang memperli: “nanti tutuplah kedai cina, aku nak tengok berapa hari boleh bertahan”.

Pada zaman ini pula, jika mereka melihat orang lain kaya-raya, mereka tidak pernah atau jarang mempertikaikan “daripada taukeh itu dapat duit, atau boleh kaya?” Namun jika ada sebangsa dengan mereka yang kaya, terus sahaja ada pemikiran negatif bermain di kepala sebahagian kita. Sangkaan jahat dek hasad pun akan muncul, lalu mereka akan berkata: barangkali ada ‘orang atas’ yang tolong dia, atau barangkali rasuah, atau kroni atau barangkali itu dan ini.
Nilai-nilai negatif itulah yang menguasai pemikiran ramai tanpa terlebih dahulu dimulakan dengan sangkaan baik dan mendoakan agar sesama kita mendapat rezeki yang halal. Perangai ini sebenarnya bermula dari sikap bangsa melayu itu yang ramai tidak ada keyakinan kepada diri sendiri untuk berkemampuan seperti ‘orang lain’, juga berhasad dengki jika melihat di kalangan bangsanya ada yang lebih ke hadapan.


Barangkali ramai yang ‘begitu melayu’ akan sensitif dengan apa yang saya sebut ini. Namun tokoh melayu yang agung Zaaba telah pun menyebut hal yang sama sejak lama dahulu. Dalam bukunya ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’ yang diharamkan oleh golongan agama konservetif pada zamannya, Zaaba menyebut: “Demikian pula jika hendak berniaga, orang kita tiada bermodal dan tiada upaya mencari modal walau modal kecil-kecil pun dengan ikhtiar sendiri; dan sentiasa mereka mengaku tiada upaya itu!


Sebaliknya jika ada modal pula, mereka tiada upaya menjalankan perniagaan itu dengan jalan-jalan yang betul dan cara yang teratur, serta dengan amanah dan jimat cermat, sehingga mencapai kejayaan dan dipercayai orang. Padahal bangsa-bangsa lain yang datang sebagai ’sengkek’ mula-mulanya ke negeri ini dengan tiada mempunyai sebarang harta dan wang belanja, hanya ada tulang empat kerat dan akal ikhtiar serta kepercayaan akan kebolehan dirinya dapat mereka berikhtiar mencari wang.


Bahkan dilihat mereka negeri ini sememangnya negeri yang kaya raya, dan semua perkara boleh jadi wang, sehingga sampah di tepi jalan itupun boleh jadi wang belaka; sebab itulah mereka berkumpul ramai ke sini. Kemudian setelah dapat wang maka dengan berjimat-cermat dan berdikit-dikit dikumpulkan mereka lalu mereka membuka kedai kecil-kecil; barangkali di kampung-kampung, di kebun-kebun getah atau di hulu-hulu.


Tetapi kerap kali yang kecil itu akhirnya menjadi besar dan maju lalu mereka berpindah berkedai di bandar-bandar pula. Kesudahannya sehingga penuh segala bandar negeri-negeri Melayu ini oleh kedai dan tempat perniagaan mereka sahaja; dan segala pasar pun kecil besar pada kebanyakan tempat, mereka jugalah yang memegang dan memenuhinya!
Sekalian itu ialah terutamanya oleh sebab mereka kuat berpegang kepada kebolehan sendiri. Begitulah sedikit daripada contoh yang menunjukkan kelemahan dan kekurangan kita daripada mereka itu dengan sebab mereka ada perangai percaya kepada kebolehan diri sendiri dan kuat bergantung kepada ikhtiar diri sendiri, dan kita tidak.


Ya, berkecualian daripada keadaan yang telah diceritakan itu tentulah ada dan boleh terdapat di sana-sini. Tetapi berapa orang? Barangkali tidak ada satu dalam seribu atau sepuluh ribu. Yang terlebih banyaknya ialah seperti yang diceritakan itu juga. Maka selagi tidak kita ubah sekalian ini, diganti dengan perasaan dan pemandangan hidup yang lebih baik, tidaklah akan diubah Tuhan hal kita, melainkan akan terbenam juga di dalam kubang kita yang ada ini selagi kita kekalkan sifat-sifat kelemahan yang ada pada diri kita sekarang.” (Zaaba, ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’, Dewan Bahasa & Pustaka, hlm 17-18).


Barangkali sebahagian orang melayu sudah pun mengalami proses minda dan persepsi. Namun di kebanyakan kampung, apa yang disebut Zaaba masih kelihatan segar. Salah satu sebab yang menghilangkan keyakinan masyarakat melayu adalah banyak tersebar bicara dan ucapan manusia yang hasad sesama sendiri yang selalu meluahkan perkataan buruk apabila melihat orang lain lebih baik atau memiliki keistimewaan. Ramai yang suka mempertikai kelebihan orang lain untuk dijatuhkan daripada membincang kesusahan sesama sendiri orang untuk dibantu.


Maka apabila ada seseorang yang memiliki kelebihan atau kebaikan segala pergerakannya akan diperhatikan. Bukan untuk dicontohi, tapi untuk dikeji. Pantang ada salah dan silap dia akan dihentam. Namun jika ada seseorang yang melarat dalam kesusahan, tidaklah pula mereka sibuk berbincang bagaimana hendak membantu. Itulah hasad yang mencukur pegangan agama seseorang.


Maka hasad adalah musuh utama sesuatu masyarakat. Lebih buruk dari segala jenis penyakit. Hasad ini berasal dari bahasa ‘Arab, kita sebut dalam bahasa kita sebagai dengki atau kita gabungkan arab dan melayu menjadi hasad dengki. Hasad secara mudahnya bermaksud perasaan inginkan agar nikmat atau kelebihan atau kebolehan atau keistimewaan yang ada pada insan lain terhapus.


Maka seseorang yang hasad selalu gelisah atau tidak puas hati melihat apa yang dimiliki oleh pihak yang dihasadnya. Jika perasaan itu dilayan, maka maka si pendengki ini akan menyusun strategi agar hasrat buruk itu tercapai. Maka lahirlah angkara-angkara buruk terhadap individu yang dihasadnya, tanpa dosa dan kesalahan melainkan kerana memiliki kelebihan.


Masyarakat yang dipenuhi dengan hasad akan dipenuhi berita utamanya; jatuh menjatuh, umpat mengumpat, fitnah memfitnah, tuduh-menuduh, maki-memaki, kata mengata dan segala macam perkara yang mendengarnya sudah memenatkan jiwa apatah lagi mengalaminya. Lihat dalam dunia politik melayu, tidak habis-habis dari perkara yang seperti itu. Padahal mereka semua mengaku muslim dan orang Islam itu bersaudara.


Dalam dunia golongan agama juga bukan sedikit perkara yang seperti itu. Bahkan dalam dunia akademik universiti juga kadang-kala hasad berjaya mendapat tempat sehingga merobohkan nilaian ilmiah. Dalam dunia pekerjaan dan perniagaan juga demikian. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda: “Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama”. (Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang sahih, juga diriwayatkan oleh al-Tirmizi).


Dalam dunia politik, ada kelompok manusia yang sanggup mewakafkan diri untuk berfikir bagaimana untuk menjatuhkan orang lain. Habis satu pilihan raya kepada pilihan raya yang akan datang. Habis satu pemilihan kepada satu pemilihan. Kerjanya tidak habis-habis. Tanpa batasan dosa dan pahala.


Demikian dalam perniagaan, kekeluargaan, pendidikan dan berbagai lagi. Si pendengki kadang-kala tidak pernah kenal letih dalam usaha menghilangkan kebahagiaan orang yang didengkinya. Seakan mereka membantahkan kurniaan atau nikmat Allah kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya. Allah mengingatkan kita dengan firmannya, (maksudnya) “apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka?” (Surah Ali ‘Imran: 54).


Bagi si pendengki atau kaki hasad ini, berita gembira untuknya bukan ajaran al-Quran atau sunnah, tapi kisah keburukan lawannya. Jika ada isu buruk orang dihasadnya, ceria dan tersenyum wajahnya. Jika ada kebaikan orang yang dihasadnya pula maka bermasam mukalah dia. Amat berbeza watak seperti ini dari ajaran Allah dan RasulNya yang menyuruh kita bergembira dengan berita baik dan berdukacita dengan berita jahat yang menimpa saudara muslim.


Mereka ini bagaikan lalat bangkai; yang busuk dicari, jika jatuh ke dalam minyak wangi ia mati. Padahal Allah memerintahkan kita semua; tanpa mengira orang politik atau selainnya: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain.


Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah Al-Hujurat: 12).


Penafsir terkenal, Sayyid Qutb menyentuh ayat ini dengan begitu mendekati kehidupan muslimin di zaman kini, beliau menyebut: “Namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan perlaksanaannya. Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun.


Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi, atas apa alasan sekali pun untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai. Hukumlah manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain.


Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari mereka. Demikianlah nas ini (larangan mengintip) menempatkan dirinya dalam sistem pelaksanaan dalam masyarakat Islami. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama.” (rujukan: Sayyid Qutb, Fi Zilal Al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al-Syuruq). Namun atas ketamakan dan hasad dengki, ramai yang melarang pantang-larang ini.


Dalam urusan agama pun bukan sedikit hasad dengki. Kadang-kala kita jumpa sesama yang berjubah atau berlabel agama pun hasad-menghasad tanpa alasan yang benar. Ditolak pendapat yang benar dan dalil yang sahih kerana soal umur, daerah dan aliran. Lalu timbul hasad dengki diikuti mencerca dan menfitnah sesama yang memakai baju agama. Bukan kerana mempertahankan fakta dan kebenaran, tetapi dek perasaan dengki dan hasad.


Dalam sejarah Rasulullah s.a.w, golongan yang paling mengetahui tentang kebenaran baginda ialah golongan ahli Kitab. Namun merekalah yang paling kuat menentang baginda. Mereka menolaknya kerana hasad, sebab Nabi Muhammad bukan dari kelompok mereka. Lalu kedengkian itu menguasai jiwa mereka. Firman Allah: (maksudnya) “Banyak di kalangan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Baqarah: 109).


Bahkan hasad dengki boleh berlaku di kalangan kaum keluarga yang rapat, apa hendak dihairankan jika ianya berlaku di kalangan seagama. Sehingga kadangkala sanggup berpakat dengan musuh luar untuk menentang saudara seagama hanya disebabkan perbezaan parti atau kumpulan. Dalam sejarah Nabi Yusuf a.s., beliau dicampakkan ke dalam telaga oleh abang-abangnya sendiri, hanya kerana hasad dengki.


Al-Quran menyebut ucapan mereka: “Ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.” (Ramai di antara mereka berkata): “bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik.”" (Surah Yusuf: 8-9).


Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Manusia ini terus berada dalam kebaikan selagi mereka tidak dengki-mendengki.” (Riwayat Al-Tabarani, disahihkan oleh Al-Albani). Sabdanya juga: “Tidak akan terhimpun dalam jiwa hamba Allah iman bersama dengan hasad” (Riwayat Ibn Hibban dihasankan oleh Al-Albani). Masyarakat yang dipenuhi dengan hasad adalah masyarakat yang kotor di sisi Tuhan dan porak peranda dalam agenda kehidupan.


Sumber: Mingguan Malaysia, 13 Januari 2008 & drmaza.com

Warkah buat blogs antikhairy dan penyokong

Salam Perjuangan...

Tahniah kerana jelas perjuangan anda demi kebebasan dan demi ISLAM jelas terlihat dari tulisan dan artikel di sini... yang penuh dengan kata-kata makian, cemuhan, berbaur lucah... cuma nya saya terfikir...adakah ini yang ISLAM mahukan... adakah pemimpin dan penyokong yang bersikap seperti ini kita nak bagi memimpin negara... masyaALLAH... sebelum mengatakan org lain buruk, hodoh dsb... cerminlah dulu diri kita...

Adakah kita ini sudah baik sgt dan mampu memberikan contoh kepada masyarakat sebelum menegur org lain?... kata org tua... meludah ke langit akhirnya terpalit kemuka sendiri...
laman ini juga menggalakkan fitnah dalam masyarakat... dengan adanya gambar lucah dan penyiaran artikel tanpa bukti dan fakta kukuh... bayangkan tuan/puan sekiranya perkara ini benar-benar fitnah dan masyarakat menyebarkannya... yg akhirnya timbul kerosakan dalam masyarakat.. bayangkan dosa yg harus di pikul oleh insan yg menjadi punca dan benih fitnah ini... masyaALLAH...

Bertaubatlah... ingatlah siksaan Allah SWT amat pedih lagi mengerikan... bertaubatlah selagi masih ada masa... ambil la perjuangan yang dilakukan oleh nabi SAW dan para sahabat yg berdakwah dan berjuang dengan penuh ikhlas, tertib serta berhikmah... bersih dari fitnah, caci maki dan kata-kata serta tingkah laku nista...

Jangan kita menghalalkan cara demi matlamat... mempergunakan dan bertopengkan ISLAM walhal agama islam itu hanya dijadikan alat politik untuk mendapat kekuasaan dan kekayaan... masyaALLAH... fikirkanlah... setakat berjubah, berjanggut dan berserban adakah cukup it menjadikan kita umat ISLAM yg baik... walaupun kita tetap mengamalkan perbuatan yg bertentangan dengan ISLAM... seperti mencarut, memaki hamun dan memburukkan saudara ISLAM yg lain... masyaALLAH...

Mungkin inilah yg dikatakan ulama akhir zaman seperti yg dikisahkan oleh para sahabat melalui nabi SAW... kelahiran ulama palsu yg menipu serta membawa kesesatan kepada pengikutnya...
semoga ALLAH SWT memberikan petujuk dan hidayah kepada kita semua agar dapat berfikir dan membuat keputusan yg baik serta bijak seterusnya bersama menuju jalan yg lurus dan benar dan mendapat keredhaan ALLAH SWT... terhindar dari pengaruh golongan seperti itu...

Renung-renungkan selamat berjuang

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.