Thursday, April 3, 2008

Delegasi Bekas Ahli Parlimen Akan Desak Abdullah Letak Jawatan?

PRU12 sudah berlalu. Taufan dan gelora yang mengiringi keputusannya kelihatan mula reda. Tetapi, arus bawahnya masih terus menggelegak. Keadaan ini dipercayai tidak akan tenang selagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi belum mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri secara berhemah, segera, aman dan sukarela.Lantaran itulah sentiasa terdapat usaha ke arah perletakan jawatan Abdullah. Hari ini, 2 April 2008, sekumpulan bekas Ahli Parlimen Malaysia, termasuklah sebilangan besar mantan menteri sejak era Tun Razak Hussein, berhimpun di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, untuk mencapai keputusan mengirimkan satu delegasi menemui Abdullah dalam tempoh terdekat ini.

Delegasi tersebut akan membawa mandat daripada kumpulan berkenaan yang meminta dan mendesak Abdullah mengosongkan jawatan Perdana Menteri dengan seberapa segera demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.Semalam, kira-kira 3,000 rakyat jelata, majoritinya ahli UMNO dari seluruh negara telah berpusu-pusu datang ke Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, untuk mengikuti Forum UMNO Pasca PRU12.Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan ucaptama di majlis berkenaan. Panelis forum pula terdiri daripada mantan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Baru Pahat, Datuk Dr. Fuad Zarkashi.

Tun Mahathir dan seluruh anggota panel berpendapat, sekarang adalah masanya untuk mereformasikan UMNO secara ikhlas dan jujur. Usaha ini perlu dijalankan secara bijaksana dan bukannya atas dorongan emosi.Sementara itu, saya memohon jutaan maaf kepada para pengunjung blog ini kerana kebelakangan ini saya tidak mampu melayani setiap komen anda secara peribadi. Ini bukan kerana saya penat, lelah atau putus asa terhadap perkembangan mutakhir.

Sebaliknya, kerana saya sedang menumpukan sepenuh tenaga dan minda untuk menjalankan kajian ringkas terhadap PRU12 bagi menyiapkan satu buku mengenainya.Secara umumnya, buku ini akan menjejakki Abdullah sejak hari pertama beliau jadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, hinggalah ke hari beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri sesudah PRU12 baru-baru ini.Anda yang sudi menyumbangkan idea kepada buku ini saya dahului dengan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih. Insya Allah, buku ini akan berada dalam pasaran selewat-lewatnya pada minggu ketiga bulan ini. – Ruhanie Ahmad

No comments:

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.