13 FEB : Jenazah allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat disemadikan di tanah perkuburan Pulau Melaka sesudah disembahyangkan pada jam 10 pagi di Masjid Pulau Melaka yang terletak bersebelahan rumahnya di Kota Baru, Kelantan.
Allahyarham Nik Aziz, 84, bekas Mursyidul Am Parti PAS adalah seorang ahli politik yang mengabdikan dirinya dengan parti itu sejak 1967.
Sejarah akan mengenang beliau sebagai Menteri Besar Kelantan paling lama memegang tampuk kuasa sejak 1990 hingga 2013.
Nik Aziz atau lebih mesra dipanggil Tok Guru dilahirkan di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu 10 Januari 1931 dalam sebuah keluarga yang kuat berpegang kepada ajaran Islam dan merupakan anak kedua daripada sembilan adik-beradik.
Selain didikan keluarga, Nik Aziz dihantar ke pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Terengganu sejak berusia 9 tahun namun pengajiannya tergendala lantaran Perang Dunia ke II sebelum menyambung pengajian di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu dari 1945 hingga 1952.
Beliau juga memiliki ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab dari Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir selain ijazah sarjana (M.A) jurusan kehakiman dan perundangan Islam dari universiti sama sebelum pulang ke tanah air pada Februari 1962.
Sebaik pulang, beliau membuka Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka dan mengajar di situ pada sebelah petang manakala di sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin dan sebelah malamnya pula berkhidmat sebagai guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964, beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Nik Aziz melangsungkan perkahwinan pada usia 31 tahun dengan wanita pilihan orang tuanya, Tuan Sabariah Tuan Ishak dan dikurniakan 10 cahaya mata.
Menganggotai PAS pada 1967 dan dipilih menjadi calon Ahli Parlimen Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) susulan kematian Ahmad Abdullah pada 1969 dan kekal Ahli Parlimen di kawasan itu sehingga 1986 sebelum berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api sehingga sekarang.
Beliau dilantik memikul amanah sebagai Menteri Besar Kelantan pada 1990 selepas pakatan pembangkang yang dikenali Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menang Pilihan Raya Umum ke 8 dengan mengalahkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
Sepanjang pentadbirannya, beliau memperkenalkan sistem pentadbiran Islam malah telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) atau hukum hudud untuk dilaksanakan di Kelantan.
Pun begitu, Nik Aziz melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar pada Mei 2013 dan digantikan dengan Datuk Ahmad Yakob sebaik PAS terus diberi mandat memerintah Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke 13.
Keputusan itu satu kejutan terutama bagi rakyat Kelantan dan seluruh ahli PAS kerana tiada ura-ura beliau akan berbuat demikian.
Sekalipun tidak lagi memegang jawatan itu, Nik Aziz tetap meneruskan khidmat sebagai Mursyidul Am PAS dan tetap juga memberikan komen yang ada kalanya mencetuskan kontroversi terhadap pelbagai isu politik semasa.
Namun satu perkara luar biasa yang dilakukan allahyarham ialah beliau meneruskan amalan mengajar kuliah agama bergerak sejak 1962 lantaran menyifatkannya sebagai kerja paling mulia kerana ia adalah pekerjaan para ‘Anbia’.
Apa pun, Malaysia tetap kehilangan satu watak tokoh berwarna-warni yang pasti kekal dalam lipatan sejarah perjuangan politik negara.
No comments:
Post a Comment