Tuesday, June 1, 2010

SEDUTAN BERITA TERKINI: FLOTILA PEMBEBASAN GAZA DISERANG ISRAEL

Israel tahan 480 orang aktivis pro-Palestin

01/06/2010 1:29pm

BAITULAMAQDIS 1 Jun – Israel kini menahan 480 orang aktivis pro-Palestin yang ditangkap dalam serangan komando berdarah ke atas flotila bantuan ke Gaza dan akan menghantar pulang 48 yang lain, lapor sebuah radio awam hari ini.

Mereka yang ditahan ditempatkan di penjara bandar Ashdod, manakala 48 lagi dihantar ke lapangan terbang antarabangsa Ben Gurion untuk dihantar pulang ke negara masing-masing. – AFP


PM arah Wisma Putra dapatkan maklumat terkini sukarelawan negara
01/06/2010 12:51pm

KUALA LUMPUR 1 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Wisma Putra mendapatkan maklumat terkini nasib sukarelawan Malaysia yang telibat dalam misi ke Gaza selepas kapal mereka diserang oleh pihak rejim zionis.

Beliau berkata, Malaysia juga akan megusulkan tindakan pencabulan dan keganasan Israel ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan bagi membolehkan satu tindakan diambil terhadap Israel. - Utusan


Malaysia kutuk keganasan Israel


Najib Tun Razak bersalaman dengan kakitangan Maybank semasa melawat Menara Maybank, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 31 Mei - Kerajaan dan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan rejim Tel Aviv terhadap konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Palestin di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seluruh dunia juga harus mengutuk serangan terhadap konvoi yang berada di perairan antarabangsa itu yang sepatutnya sebarang tindakan dalam bentuk ketenteraan tidak dibenarkan mengikut undang-undang antarabangsa.

''Ini menunjukkan kerakusan rejim Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan menggunakan kekuasaan mengikut sesuka hati mereka.

''Ia dilakukan tanpa sebarang pertimbangan sama ada tindakan yang dilakukan ini boleh membawa kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa sama sekali.

''Oleh itu, seluruh dunia patut mengutuk dan mengecam kerajaan Israel sekeras-kerasnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Amal Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri Melaka yang juga presiden alumni berkenaan, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Najib berharap insiden itu akan membawa kepada satu bentuk tindakan yang boleh dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk tindakan mengutuk sekeras-kerasnya kerajaan Israel.

''Kita sedang fikirkan mungkin kita akan mengusulkan supaya perkara ini dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan PBB supaya satu ketetapan dibuat terhadap kerajaan Israel.

''Sama ada ia boleh dilakukan dengan segera, ia bergantung pada persetujuan dari negara-negara lain," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, beliau sedang menunggu butir-butir perkembangan selanjutnya tentang apa yang berlaku.

''Kita belum dapat lagi apa-apa maklumat yang sahih tentang nasib rakyat Malaysia. Saya difahamkan ada beberapa rakyat kita yang berada di atas kapal tersebut yang telah diserang oleh pihak Israel," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib menggesa alumni pertubuhan belia membantu kerajaan menjelaskan kepada rakyat segala perubahan yang telah dan sedang dilakukan kerajaan bagi memastikan mereka dapat menerimanya dengan baik.

Perdana Menteri berkata, langkah untuk memperjelaskan agenda nasional itu boleh dilakukan melalui rangkaian sosial dan politik di peringkat nasional, negeri dan akar umbi yang dipunyai oleh alumni-alumni berkenaan.

''Kita kena berkomunikasi secara jelas dan tepat kepada rakyat supaya segala sesuatu yang baik yang dibuat oleh kerajaan untuk jangka panjang dapat diterima baik oleh orang ramai," katanya.

Sempena majlis berkenaan, alumni berkenaan menganugerahkan Darjah Bapa Pembangunan Belia kepada Najib.

PBB adakan mesyuarat tergempar
01/06/2010 12:36pm

NEW YORK 1 Jun - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan satu mesyuarat tergempar semalam selepas pasukan komando Israel menyerang flotila pembebasan yang membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza, dengan rakyat Palestin dan negara-negara Arab mengutuk serangan tersebut dan menuntut satu siasatan bebas dilakukan.

Rakyat Palestin dan negara-negara Arab yang disokong beberapa anggota majlis termasuk Turki, turut menggesa Israel menarik balik sekatan terhadap Gaza, segera melepaskan kapal-kapal serta aktivis kemanusiaan terlibat dan membenarkan para aktivis menghantar bekalan bantuan.

Penolong Setiausaha Agung Oscar Fernandez-Taranco dalam taklimatnya kepada badan paling berpengaruh PBB itu berkata, insiden maut pagi semalam boleh dielakkan sekiranya desakan berulang kali yang meminta Israel menarik balik sekatan yang tidak boleh diterima terhadap Gaza, dipatuhi rejim Yahudi tersebut.

Menteri Luar Turki Ahmet Davutoglu, yang negaranya merupakan sekutu lama Israel, menyifatkan serangan itu sebagai tidak ubah seperti ‘perbuatan merompak dan melanun’ di laut lepas dan ‘pembunuhan yang dilakukan sebuah negara’. - AP

3 kumpulan hak asasi Israel mohon Zionis keluar nama mangsa

01/06/2010 3:11am

BAITULMAQDIS 31 Mei - Tiga buah kumpulan hak asasi Israel memohon perintah mahkamah hari ini supaya kerajaan rejim Zionis mengeluarkan senarai nama mereka yang terkorban dan cedera dalam serangan terhadap kapal misi bantuan ke Gaza.

Kumpulan itu berkata, mereka memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan maklumat seperti nama, lokasi serta keadaan mereka yang ditahan.

Selain itu, mereka turut memfailkan permohonan harbeas corpus terhadap Menteri Pertahanan Israel, Jabatan Penjara, Polis serta pihak imigresen dengan mendakwa penahanan beberapa aktivis keamanan itu sebagai tidak sah.

Petisyen permohonan itu dilakukan oleh ahli jawatankuasa pertubuhan Anti Penyeksaan dan Hak Asasi Manusia Israel, Adalah. - AFP


No comments:

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

KEMUNCAK PERJUANGAN MANUSIA MUNAFIK ANWAR IBRAHIM

PENAFIAN

Laman ini tidak bertanggungjawab atas hasil penulisan yang dipetik dari sumber lain serta manipulasi pihak lain yang menggunakan bahan yang disiarkan disini. Laman bertujuan mengumpul maklumat sebagai saluran informasi dan media alternatif mencurahkan idea demi negara.