Friday, March 28, 2008

Jangan Rasuah Rakyat!


Memanglah kita suka mendapat air percuma. Namun, apa-apa yang percuma ada kosnya yang tertentu. Samalah juga air paip yang percuma. Mungkin kita perlu fikir perkara-perkara yang berikut:

1. Di Selangor ni.. tidak semua rakyatnya miskin. Malah kebanyakannya kita ni tidaklah miskin dan tidaklah kaya.. Mungkin paling ramai pun yang boleh dikatakan miskin ataupun menganggap diri mereka terkategori dalam golongan yang perlu dibantu ialah 20%. Maka golongan yang tidak perlu pada air percuma dan mampu bayar pada kadar harga sekarang ini boleh mencecah 80%..

Alangkah baiknya jika, bil air 80% manusia yang tidak miskin ini dan tidak menganggap diri mereka perlu menerima sedekah, dikutip oleh Kerajaan Negeri YAB Tan Sri Khalid Ibrahim. Kemudian, jika betul-betul hendak membantu golongan miskin bolehlah kita buat perjumpaan ataupun kaedah lain yang lebih sesuai untuk kita menyedekahkan wang kutipan daripada 80% manusia yang tidak miskin ini kepada golongan yang memang miskin ataupun yang meminta bantuan. Jumlahnya saya jangka tidaklah sedikit.. mungkin puluhan juta ringgit setahun?

2. Manusia yang tidak meminta akan sesuatu tetapi mendapatnya dengan percuma perlu berdepan dengan keadaan psikologi untuk menilai sesuatu sedekah yang dia terima.

Apatah lagi sedekah itu dalam bentuk yang begitu impesonal seperti membuka paip air sahaja. Saya percaya kemungkinan besar air itu akan berlalu begitu sahaja tanpa diiringi dengan doa kesyukuran. Pembaziran melampau akan berlaku. Dalam keadaan sekarang pun, dengan harga air yang sungguhpun dicanangkan mahal tetapi sebenarnya belum mahal lagi... pembaziran telahpun berlaku sehingga di lembah klang ini.. bekalan air tidak cukup.

Ingat.. sifat membazir itu tergolong dalam budaya hasutan syaitan. Jangan sesekali pemerintah itu merayakan sifat ini dengan menghambur air yang sememangnya perlu dijimat.

3. Rakyat memang muak dengan budaya rasuah. Tidak kiralah rasuah itu dari siapa kepada siapa. Air percuma yang diberi kepada golongan kaya dan miskin seluruh Selangor bukanlah hak Kerajaan Negeri YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ia merupakan amanah yang perlu diurus dengan penuh tanggungjawab. Jika sedekah yang tidak diminta ini diberi untuk meraih undi dan populariti yang bersifat sementara maka bertambah muaklah rakyat yang mahu berfikir dengan budaya merasuahkan rakyat ini.

No comments:

Post a Comment