Tuesday, February 19, 2008

Pengkhianat Negara

Salam Perjuangan

Abdul Malek Hussin, 51 telah terlibat dengan gerakan reformasi sejak 4 September 1998 lagi sejurus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. 5 hari selepas Anwar ditangkap pula, beliau secara jelas telah mengetuai satu demonstrasi di Masjid Negara sebaik sahaja selepas bersembahyang Jumaat pada 25 September 1998 bagi menuntut pembebasan Anwar serta peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Bagaimana Hakim boleh mengatakan bahawa penglibatan Malek dalam perhimpunan haram ini sebagai dakwaan kosong? Atas persaksian apa yang digunapakai dalam membicarakan kes ini? Apakah cukup dengan hanya bersaksikan kata-kata plaintif (Malek)?

Ekoran dari demonstrasi itu, Malek mula ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 73 (1), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 oleh sepasukan polis dari cawangan khas yang diketuai oleh ASP Borhan Daud di pintu pagar rumahnya di Ampang antara jam 10 hingga 11 malam pada tarikh yang sama. Malek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPK) dan disoal siasat di sana sebelum di bawa ke Bukit Aman pada keesokan tengaharinya.
Hakim telah mendakwa bahawa cara soal siasat yang dilakukan oleh pihak polis adalah bertujuan politik dan tiada kena-mengena dengan soal keselamatan negara. Selanjutnya beliau mendakwa bahawa penahanan Malek sejak awal adalah mala fide (berniat jahat).

Persoalannya, apakah soal keselamatan negara hanya berkisar kepada acara jenayah? Pihak polis mempunyai kaedah tertentu dalam menyoal siasat mereka yang ditahan bagi mencari perkaitan dari satu bab ke satu bab yang lain sehinggalah matlamat soal siasat dicapai. Apakah hakim juga tidak menimbangkan ‘niat jahat’ Malek dalam meruntuhkan sebuah institusi kenegaraan?

Pada 21 November 1998, selepas 57 hari berada dalam tahanan, Malek mula dibebaskan dan tertakluk di bawah pengawasan cawangan khas yang memantau aktiviti-aktivitinya. Untuk pertama kalinya pada Februari 1999, Malek telah bercerita di khalayak ramai tentang pengalamannya ditahan di bawah ISA dalam satu majlis anjuran Gerakan Rakyat Malaysia untuk Keadilan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Kemudiannya, hasil dari dorongan dan sokongan daripada rakan-rakan dalam parti pembangkang, Malek telah membuat laporan polis pada Mac 1999 terhadap apa yang didakwanya sebagai telah berlaku ke atas dirinya sepanjang tempoh penahanan beserta satu afidavit bagi memfailkan saman sivil berjumlah RM30 juta.

Siapa Hakim

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang menghakimi kes Malek ini pernah membebaskan 2 aktivis reformasi, Abd Ghani Haron dan N. Gobalakrisnan yang ditahan di bawah ISA pada 2001. Dalam hujah pembebasan tersebut, beliau telah mencadangkan agar Parlimen segera memansuhkan ISA yang didakwanya sebagai sudah tidak sesuai untuk dipraktikkan.

Bukankah kerja seseorang Hakim itu hanya setakat membuat penghakiman dan bukannya bertindak sebagai seorang legislator? Jika beliau benar-benar seorang pengamal undang-undang yang profesional, seharusnya beliau tahu bahawa beliau akan hanya boleh memansuhkan ISA sekiranya menjadi sebahagian daripada jentera legislatif.

Dalam kes saman DSAI terhadap penulis buku 50 Dalil, Khalid Jafri, Hishamudin yang juga junior DSAI ketika dalam Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dahulu juga pernah memenangkan kes ini pada 18 Ogos 2005 dengan mengarahkan gantirugi sebanyak RM4.6 juta dibayar kepada DSAI. Dalam hujah kemenangan DSAI itu, beliau mendakwa bahawa buku itu sebagai fitnah dan mengakui akan kewujudan konspirasi bagi menjatuhkan karier politik DSAI.
Kita harus ingat bahawa seseorang Hakim itu juga adalah manusia. Sebagai manusia, biarpun bertaraf raja, hakim, imam atau guru sekalipun, mereka tetap mempunyai kecenderungan politiknya sendiri. Apabila Hakim seperti ini dibiarkan bermaharajalela, maka tunggulah akan datangnya satu hari di mana institusi kehakiman negara sedikit demi sedikit menuju era kehancurannya.

Penghakiman yang dilakukan tidak ubah seperti gaya orang-orang PAS. Jika PAS berhujah dengan mengemukakan satu ayat Al-Quran dan menyembunyikan yang lain, maka begitulah gaya penghujahan peguam Malek, R. Sivarasa, M. Moganambal dan termasuklah Hakim itu sendiri apabila turut menyembunyikan peruntukan undang-undang lain yang tidak menyebelahi Malek.

Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan berkenaan “Undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dsb” membolehkan sebarang tindakan atau ancaman oleh sekumpulan orang seperti yang disebutkan dalam Fasal (1)(b) dan Fasal (1)(f) diberhentikan atau dicegah sekalipun bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 dan 13.

· Perkara 149, Fasal (1)(b) adalah mengenai mana-mana tindakan atau ancaman oleh sekumpulan orang yang membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang DiPertuan Agong atau Kerajaan Persekutuan dan yang mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam disebutkan pula di bawah Fasal (1)(f).

Jika merujuk kepada Perkara 4, Fasal (1) pula jelas menyebut bahawa “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.”

Ini bermakna, peruntukan di bawah Perkara 149(1) itu sendiri dan diperkuatkan pula dengan Perkara 4(1) telah membatalkan apa-apa peruntukan di bawah Perkara 5(3).

· Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan adalah mengenai hak “Kebebasan Diri” yang mengkehendaki seseorang yang ditangkap diberitahu sebab-sebabnya ditangkap dan membenarkan seorang peguam dipilih olehnya dan seterusnya membela dirinya.
Ini sekaligus membayangkan bahawa jika parti pembangkang dibenarkan memerintah negara, tidak mustahil jika segala institusi yang berkaitan dengan penguatkuasaan dan pengamalan undang-undang akan berada di bawah kawalan mereka. Maka apa yang diperjuangkan mereka hari ini rupanya hanyalah bermotifkan politik dan peribadi. Langsung tiada perjuangan ikhlas untuk rakyat sepertimana yang diwar-warkan. Jelaslah bahawa seluruh rakyat selama ini ditipu demi kepentingan dan maruah mereka.

Siapa MAFREL

Abdul Malek Hussin seperti yang diketahui umum adalah pengerusi Malaysian For Free and Fair Elections (MAFREL). Apa pula latar belakang MAFREL? Pertubuhan yang ditubuhkan dalam tahun 1999 ini adalah juga anggota Asia Network for Free Election (ANFEL) dan bekerjasama rapat dengan Institut Kajian Dasar (IKD) dalam bidang penyelidikan. Mempunyai pekerja-pekerja yang dibayar dalam US dolar.

Mengapa pekerjanya dibayar dalam US dolar? MAFREL mendapat pembiayaan dari National Endowment For Democracy (NED) manakala NED pula mendapat tajaan dari United States Agency for International Development (USAID). Dana USAID pada tahun 2006 sahaja berjumlah USD9.1 billion.

Siapa pula NED? NED banyak terlibat dalam membeli, mencaturkan atau menentukan kerajaan di seluruh dunia. NED menyalurkan wang terutamanya sewaktu musim pilihan raya bagi mencaturkan kerajaan di Cuba, Venezuela, Costa Rica, Haiti, Panama, Nicaragua, Iran, Iraq, Afghanistan, Slovakia, Bulgaria, Serbia, Ukraine, Georgia, Indonesia, Filipina, Thailand dan lain-lain. Bersandarkan ini, tidak mustahil Malaysia juga menjadi mangsa melalui parti-parti politik pembangkang negara.

Marc Bazin pernah menerima bantuan USD36 juta daripada NED semasa pilihan raya Haiti pada tahun 1990; Nicholas Ardito Barletta menjadi Presiden Panama juga dengan dana bantuan NED; George H. W. Bush pernah menyalurkan USD9 juta melalui NED bagi membolehkan Violeta Chamorro menjadi Presiden di Nicaragua. Maka tidak hairanlah jika mahu dikaitkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendapat pembiayaan bagi memastikan beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti.

Apa pula tujuan USAID, NED dan KAF (Kondrad Adenaeur Foundation yang juga membiayai IKD) dalam mencampuri urusan negara lain? Sudah tentulah untuk memastikan bahawa kesemua negara-negara di dunia tunduk kepada Amerika di samping menghapuskan kerukunan agama Islam di muka bumi.

Bagaimana caranya? Hancurkan ekonomi, gugat kerajaan yang memerintah, timbulkan kekacauan, pecahkan perpaduan kaum dan perkongsian kuasa adalah modus operandi yang dilakukan melalui parti-parti politik pembangkang negara termasuklah orang-orang perseorangan dan badan-badan NGO yang mempunyai kecenderungan membangkang atau memberontak terhadap kerajaan yang sedia ada. Inilah yang sedang berlaku dalam negara. Inikah yang kita mahukan?

Jika bersandarkan kepada keputusan penghakiman, saman RM2.5 juta terhadap pegawai polis dan Kerajaan yang dimenanginya hanyalah kerana dakwaan tindakan penderaan fizikal ke atasnya sebagai tahanan ISA dan bukanlah kerana kesalahannya terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Dengan ini, Abdul Malek Hussin masih boleh dianggap sebagai pengkhianat negara setaraf dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Raja Petra Raja Kamaruddin.

No comments:

Post a Comment