Sunday, August 7, 2011

TERKINI : BERITA 7 OGOS 2011 - BERKAITAN GEREJA KRISTIAN MEMURTADKAN UMAT ISLAM

Pemimpin Melayu perlu bersatu dalam isu akidah

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pemimpin Melayu sepatutnya bersatu dalam isu akidah, bukannya melatah sehingga menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam isu pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, jika benar tindakan itu dibuat demi menyelamatkan akidah orang Islam.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, contoh yang ditunjukkan segelintir pemimpin Melayu dalam isu tersebut adalah tidak betul kerana tegasnya, selaku Muslim adalah wajib memelihara dan mempertahan akidah umat Islam yang lain.
Menurutnya, walau apa sekalipun pendirian politik setiap pemimpin berkenaan, mereka perlu meletakkan kepentingan Islam melebihi segalanya dalam isu berkenaan, kerana tindakan JAIS itu berhubung kait dengan dakwaan berlakunya penyebaran agama Kristian kepada orang Islam.
"Kalau benar dakwaan itu (penyebaran agama Kristian) wujud, kita (Pemuda Pas) memandang berat perkara ini kerana selain menyalahi Perlembagaan Persekutuan, ia membabitkan soal akidah. Jadi wajib ke atas semua Muslim termasuk JAIS untuk menyelamatkan akidah umat Islam.
"Kita kena letak agama di depan. Islam kena melebihi segala kepentingan lain dan adalah tidak betul kalau pemimpin (Islam) tertentu terlalu cepat melatah dalam perkara ini. Sepatutnya kita bersatu dalam soal agama," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Nik Abduh membuat kenyataan tegas itu ketika sebahagian besar pemimpin Pas lain dilihat ragu-ragu untuk mempertahankan tindakan JAIS atau berdiri di belakang Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, sebaliknya ada antara mereka secara terbuka mempertikai tindakan jabatan berkenaan.
Meskipun anak kepada Mursyidul Am Pas itu tidak menyatakan secara tepat siapa pemimpin politik yang dimaksudkan, tetapi ia dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad.
Ini kerana, Menteri Besar Selangor itu kesal dengan tindakan JAIS dan memberitahu, niat serta tujuan baik jabatan itu tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan, manakala Khalid pula berkata, JAIS perlu ada 'kawalan diri'.
Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, walaupun umat Islam merupakan majoriti di negara ini tetapi ia tidak memberi apa-apa kelebihan, jika pemimpin Melayu tidak bersatu dalam hal yang sepatutnya mereka bersatu, terutamanya isu membabitkan agama.
Dalam pada itu, beliau menambah sudah tiba masanya untuk kerajaan memperkasakan undang-undang sedia ada dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan agar tiada ruang untuk mana-mana pihak mencabar kesucian agama Islam di mahkamah sivil.
"Cara terbaik pinda atau perkasakan undang-undang sedia ada bagi menyelamatkan akidah. Memang Islam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi banyak ruang untuk bukan Islam mencabar kesucian agama kita dan dalam beberapa kes mereka menang," katanya.
 
Khalid terima tekanan exco bukan Islam
 
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipercayai sedang menerima tekanan hebat daripada beberapa exco bukan Islam supaya beliau meminta maaf dan mengambil tindakan tegas ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sumber memaklumkan, tekanan mula dibuat ketika mesyuarat tergempar beberapa hari lalu, sebaik sahaja kontroversi pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, yang dipercayai cuba menyebar agama Kristian kepada orang Islam dilapor oleh media.


Katanya, dalam mesyuarat itu hanya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali sahaja yang mempertahan tindakan JAIS, manakala exco Melayu lain pilih jalan selamat.


"Beberapa exco bukan Islam mahu Abdul Khalid bertindak segera mengarahkan JAIS memberi penjelasan mengapa mereka memeriksa gereja berkenaan. Mereka memberi tekanan hebat kepada Menteri Besar supaya bertindak tegas ke atas JAIS.


"Meskipun Hasan mempertahan tindakan JAIS tetapi suara beliau tenggelam berbanding tekanan exco berkenaan kerana hanya beliau seorang sahaja yang mempertahan tindakan itu walaupun ramai exco Melayu dalam kerajaan negeri," katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.


Dalam pada itu, sebuah blog, http://bigdogdotcom.wordpress.com menyifatkan kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Abdul Khalid adalah boneka kepada golongan minoriti meskipun kerajaan tersebut dibentuk hasil sokongan majoriti.


Dakwa bigdogdotcom, perkara itu jelas apabila Abdul Khalid terus bertindak memanggil Pastor Kanan, Daniel Ho, sebaik sahaja selesai mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor tanpa mendapatkan penjelasan daripada JAIS terlebih dahulu.


"Nampaknya bukan hanya (Datuk Seri) Mohamad Nizar Jamaluddin seorang sahaja yang menjadi boneka kepada DAP sewaktu memerintah Perak. Di Selangor, Abdul Khalid juga seorang boneka kerana sentiasa bertindak demi kepentingan minoriti bukannya majoriti," katanya.

MGPSS tegur MB Selangor

SHAH ALAM 6 Ogos - Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (MGPSS) menyifatkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu menyatakan kekesalannya ekoran tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya pada malam Selasa lalu.

Pengerusinya, Datuk Mat Yasir Ikhsan berkata, sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid sepatutnya sudah memahami tugas serta bidang kuasa yang ada pada JAIS dalam menguatkuasakan peraturan serta enakmen agama Islam di negeri ini.

Katanya, kenyataan Abdul Khalid yang kesal dengan tindakan JAIS itu dilihat seolah-olah satu kenyataan bersifat politik yang dilihat mahu menjaga sokongan orang bukan Islam.

"Kenapa Menteri Besar (Abdul Khalid) perlu menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan JAIS itu yang memperlihatkan pihak berkuasa agama itu seolah-olah telah melakukan kesilapan.

"Sepatutnya sebagai ketua pentadbiran negeri ini, beliau sedia maklum mengenai tugas JAIS dalam menguatkuasakan undang-undang Islam di Selangor termasuklah aktiviti yang menyebarkan agama lain ke atas umat Islam," katanya.

"Maka, sepatutnya, Menteri Besar tidak boleh hanya memikirkan soal kepentingan politik semata-mata dalam isu ini sebaliknya harus melihat dari sudut akidah serta undang-undang Islam yang sedia ada," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

MB Selangor arah Exco 'tutup mulut'

Dari kiri: Khalid Ibrahim, Hasan Mohd. Ali


SHAH ALAM 5 Ogos - Semua Exco Kerajaan Negeri Selangor diarahkan 'menutup mulut' daripada memberikan sebarang kenyataan berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya pada malam Selasa lalu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu arahan itu diikuti sehingga kerajaan negeri menerima laporan penuh daripada JAIS dan kemudian mempersembahkannya kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat nasihat baginda dalam menyelesaikan isu tersebut.
''Kerajaan negeri peka dengan laporan media berkenaan serbuan oleh JAIS pada majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada malam 3 Ogos 2011.
''Sebaik menerima laporan JAIS, saya akan menghadap Tuanku Sultan untuk mendapat nasihat dalam menyelesaikan isu ini serta memastikan perkara sebegini tidak akan berlaku lagi," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dalam kenyataan akhbarnya menafikan pasukan penguat kuasa JAIS dan anggota polis melakukan serbuan ke atas gereja berkenaan, sebaliknya membuat pemeriksaan selain terdapat bukti penyebaran agama bukan Islam ke atas penganut Islam.
Ia dilakukan setelah mendapat maklumat terdapat kehadiran orang Islam dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di gereja tersebut.
Kenyataan Hasan yang dilihat mempertahankan tugas penguatkuasaan JAIS didapati bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar semalam yang kesal dengan insiden serbuan pasukan penguatkuasaan agensi agama itu dan mahu laporan penuh diberikan kepada beliau. 

Periksa gereja: Pas Selangor pandang serius

SHAH ALAM 5 Ogos - Pas Selangor menyifatkan dakwaan mengatakan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya malam Rabu lalu mendapati ada bukti penyebaran agama lain ke atas penganut Islam sebagai cukup serius sekiranya ia benar.
Timbalan Pesuruhjayanya, Khalid Abdul Samad berkata, ia boleh memberi implikasi yang berat kerana Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan tindakan tersebut supaya memastikan hubungan antara kaum dan agama dapat dijaga.
''Persoalan hendak menyebarkan agama lain adalah bercanggah di sisi Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.
''Saya yakin pihak gereja cukup memahami peruntukan dalam Perlembagaan dan juga yakin semua orang hendak menghormatinya kerana ia merupakan kontrak sosial yang telah dipersetujui dulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, setakat ini pihaknya menanti laporan penuh JAIS daripada Exco Hal Ehwal Islam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali yang juga Ahli Badan Perhubungan Pas negeri.
''Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita tangguh dulu ulasan akhir sehingga dapat laporan JAIS dan dalam mesyuarat Dewan Harian bersama Hasan, kita akan dapatkan penjelasan lanjut.
''Kita nak tengoklah apa bukti yang dia kata ada, JAIS perlu beri penjelasan dan laporan tentang bagaimana dan kenapa perkara itu berlaku, " katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan, JAIS sebagai agensi agama negeri perlu ada 'kawalan diri' dengan tidak melakukan tindakan yang boleh mencemarkan imej Islam dan akhirnya berlaku ketegangan antara agama.
''Mereka mesti ada maklumat dan risikan yang tepat dan bukan sekadar duduk dalam majlis di gereja. Kita pun pergi, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa Pope di Vatican," katanya.
Dalam hal ini, tegas beliau, Pas Selangor beranggapan sebarang pencerobohan ke atas rumah ibadat adalah sesuatu yang tidak dapat diterima malah jika tindakan tersebut dilakukan tanpa waran dan kebenaran, ia adalah sesuatu yang kurang sopan.
Tambah beliau, secara prinsipnya, setiap rumah ibadat termasuk milik orang bukan Islam perlu dihormati kerana itu adalah ajaran Nabi Muhammad SAW.
''Ini kerana kita mahu orang bukan Islam merasa aman, selamat dan dihormati apabila berada di bawah pemerintahan orang Islam.
''Kepimpinan Islam dizahirkan melalui contoh terbaik dalam hubungan dengan semua (agama), termasuk zahirkan sifat hormat menghormati dan bukannya tunjukkan ketuanan," katanya.

No comments:

Post a Comment