Thursday, December 9, 2010

MAKSUD DAN ERTI KETUANAN MELAYU

Pertahan kedaulatan Melayu


Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di majlis Multaqa Ulama Darul Takzim, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/Nasirruddin Yazid


JOHOR BAHRU 8 Dis. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan orang Melayu supaya bermuhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu.

Baginda bertitah, berdasarkan perkembangan semasa, terdapat orang Melayu yang mahu menolak kedaulatan kaum tersebut seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Perkara ketuanan Melayu saya bangkitkan kerana saya dapati pada hari ini ramai rakyat yang tidak memahami atau sudah salah tafsir maksud sebenar.

“Ketuanan Melayu atau lebih dikenali kedaulatan Melayu mencakupi kedudukan raja-raja Melayu dan rakyatnya yang kekal sehingga ke hari ini dan bukannya soal antara ‘tuan’ dan ‘hamba’,” titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di sini hari ini.

Sultan Ibrahim merupakan sultan ketiga di negara ini selepas Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menyelar orang Melayu yang sanggup menggadaikan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu atas dasar kepentingan politik sendiri.

Sultan Ibrahim bertitah, ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja-raja Melayu sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu.

Menurut baginda, apabila British memberi kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu raja-raja Melayu dan rakyatnya.

“Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu raja-raja Melayu dan rakyatnya.

“Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, raja-raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagai tetamu dan memberi mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu.

“Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan,” titah baginda.

Justeru, Sultan Ibrahim menyeru para ulama bangkit dan memainkan peranan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu yang mula tercemar.

Baginda bertitah, ia tugas mencabar bagi para ulama dan umara (para pemimpin) untuk menjelaskan dan mempertahankan kedaulatan Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan yang selama ini menjadi ‘tuan tanah’ negara ini.

Multaqa sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda itu dihadiri 500 peserta dan dua kertas kerja dibentangkan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan Mufti negeri, Datuk Tahrir Shamsuddin.

Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi multaqa berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, peranan ulama pada zaman silam amat besar dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta sering berganding bahu dengan para pemimpin negara bagi menuntut kemerdekaan sehingga ia dapat dicapai dan syiar Islam dapat ditegakkan hingga ke hari ini.

“Ini jelas menunjukkan peranan ulama bukan sahaja untuk menegakkan hukum syarak, malah peranan lebih besar harus digalas iaitu menjaga dan mengekalkan ketuanan Melayu yang dimiliki selama ini,” titah baginda.

Nota :

Kepada Chua Soi Lek dan kepimpinan MCA... kepada kepimpinan DAP dan GERAKAN... serta kepimpinan Kaum India... juga seluruh kaum yang bukan melayu... yang duduk di Malaysia

inilah maksud KETUANAN MELAYU... so lepasni jangan cuba nak putar belitkan isu "ketuanan melayu" lagi... kalau tak nahas jawabnya!

1 comment:

  1. Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
    (Al-Maa'idah : 8)



    "Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan, mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah daripada kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya itu maka merekalah orang yang zalim. "

    (Surah al-Hujurat ayat 11)



    "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati ? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani. "

    (Surah al-Hujurat ayat 12).



    Sabda Nabi SAW:
    “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).


    Firman Allah: (maksudnya) “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).


    Nabi bersabda:“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

    “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam).

    Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

    Firman Allah: (maksudnya) “Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Rum, ayat 37)



    renung renungkan lah wahai umat Muhammad. patutkah kita letak bangsa dihadapan agama Islam yang suci?

    ReplyDelete