Thursday, September 30, 2010

UMAT ISLAM PULAU PINANG TERHINA - MAKAN DUIT HARAM

'Kami rasa cukup terhina'

KEPALA BATAS 29 Sept. - ''Kami rasa cukup terhina. Kalau tahu, satu sen pun kami tak nak."

Itu antara luahan sekumpulan warga emas dan fakir miskin yang bertindak memulangkan semula wang hasil pemberian kerajaan negeri kerana ragu-ragu ia bersumberkan dana perjudian.

Rata-rata mereka yang ditemui menyatakan rasa marah dan kesal berikutan pengakuan kerajaan negeri menerima dana sebanyak RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bagi membiayai program membasmi kemiskinan di negeri ini.

Menurut mereka, walaupun kerajaan negeri menegaskan wang perjudian yang diterima sudah diasing-asingkan termasuk bagi bantuan wang ihsan RM100 kepada warga emas, ia tidak mampu menghilangkan rasa keraguan berhubung sumber sebenar wang bantuan itu.

Imam Masjid Pulau Mertajam, Saidin Chik, 72, berkata, dia sangat terkejut berikutan pengakuan kerajaan negeri itu kerana sebelum ini menyangka bantuan tersebut diagihkan atas dasar keikhlasan membantu warga emas sepertinya.

''Selepas mengetahui perkara ini, saya tertanya-tanya sama ada orang tua seperti saya ini terlalu hina untuk diberikan wang bersumberkan judi.

''Kalau pun diasing-asingkan dana perjudian itu, tidak mengapalah kerana saya mahu pulangkan juga kerana hanya dengan cara itu saja saya berasa lega. Tidak mengapalah, saya boleh mendapat duit dengan cara halal," katanya.

Saidin merupakan antara 40 warga emas dan fakir miskin yang memulangkan semula wang bantuan kerajaan negeri pada satu majlis di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga di sini hari ini.

Bagi Rosnani Mohd. Rashid, 54, pula, dia berhasrat memulangkan wang tersebut sebaik sahaja mengetahui bantuan membasmi kemiskinan yang disalurkan kerajaan negeri menggunakan dana daripada kelab berkenaan.

Menurutnya, dia berasa sangat sedih kerana tidak dapat memulangkan wang berkenaan bersama-sama arwah suaminya, Osman Mahmud, 62, yang meninggal dunia beberapa hari selepas menerima bantuan berkenaan pada Jun lalu.

''Mak cik yakin, kalau arwah suami masih ada, dia adalah antara yang terawal bersama-sama memulangkan wang ini. Kami rasa cukup terhina, cukuplah sekali ini," katanya dengan nada teresak-esak.

Warga emas, Md. Saad Mat Jaafar, 70, pula berkata, dia berasa amat lega selepas memulangkan duit berkenaan kerana tidak sanggup bersubahat untuk menerima bantuan yang diragui sumbernya.

''Ketika mula-mula mendapat wang ini, saya sangat seronok dan rasa begitu dihargai. Tetapi selepas diberitahu oleh anak saya mengenai perkara ini, saya rasa lebih baik pulangkan wang itu kerana tidak mahu bersubahat," jelasnya.

Bagi Che Embun Mohamad, 60, dia rela untuk hidup susah daripada menerima wang yang tidak diketahui sumbernya lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan perjudian.

''Janganlah anggap orang susah akan terima saja wang bantuan tanpa diketahui asal-usul sumbernya. Kalau halal kita bersyukur tetapi kalau sumber judi, tidak mengapalah kerana saya masih ada anak-anak yang boleh memberi makan untuk hidup," ujarnya sebak.

No comments:

Post a Comment