Monday, August 23, 2010

POLITIK PERKAUMAN - PILIHANRAYA UMUM KE 13 MELAYU PERLU BERSATU

Kontrak sosial makin longgar?

TIADA siapa dapat meneka bilakah pilihan raya umum akan diadakan. Tanda-tanya ini mungkin akan berlanjutan setahun, dua tahun atau tiga tahun lagi bergantung kepada perkembangan terkini politik tanah air.

Namun, di sebalik teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum tersebut, Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus menunggu. Banyak kepincangan yang membabitkan parti-parti komponennya harus dibetulkan terlebih dahulu.

Antara negeri yang dilihat bakal berhadapan dengan persaingan hebat pada pilihan raya umum akan datang ialah Perak. Umum mengetahui 'pertarungan kaum' semakin jelas sejak negeri itu berjaya diambil alih semula oleh BN. Pengalaman melalui beberapa pilihan raya kecil menyaksikan pengundi Cina tidak mungkin akan memberikan undi mereka kepada calon yang bukan daripada kaum mereka.

DAP berjaya memanipulasikan keadaan menerusi sentimen kaum yang dimainkan sehingga memaksa MCA terikut-ikut dengan rentak sama walaupun sebagai parti komponen paling rapat dalam BN, parti itu cukup memahami dasar dan perjuangan BN dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat.

Melihat sikap MCA, UMNO yang menjadi tunjang kepada kekuatan BN selama ini tidak lagi boleh terlalu mengharapkan sekutu rapatnya itu. Paparan di media-media massa memperlihatkan gabungan yang diikat dengan sikap saling hormat menghormati dan saling percaya mempercayai terutamanya berkenaan kontrak sosial yang semakin hari semakin longgar.

Tuntutan-tuntutan keras yang dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang juga Pengerusi MCA Perak dan mempertikaikan hak-hak orang Melayu serta bumiputera di dalam Perlembagaan sedikit sebanyak menurunkan suhu kepercayaan terhadap hubungan yang sedia terjalin itu.

Agak ironi, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang dilanda pelbagai kontroversi kepemimpinannya kebelakangan ini juga dari Perak. Seperti DAP, MCA semakin lantang menuntut hak yang sebenarnya tidak wujud tanpa kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum Melayu.

Mengapa ini berlaku? Jawapannya kerana ia cara paling mudah untuk memenangi hati kaum yang diwakili.

''Bila masing-masing mempertahankan kepentingan etnik (kaum), kita akan melihat setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan percaturan politik dan bukannya satu keputusan menyeluruh untuk rakyat," kata Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) ketika dihubungi baru-baru ini.

Hakikatnya kata beliau, sejauh mana pemimpin negara ini dapat mengenepikan kepentingan dalam menjalankan peranan sebagai ahli politik yang merentasi agama, etnik dan gender, masih menjadi tanda tanya.

''Tidak salah jika pemimpin mempertahankan hak etnik kerana parti-parti politik di negara kita ditubuhkan untuk memperjuangkan hak kaum masing-masing. Tetapi apa yang harus mereka ingat ialah dalam masa sama, perjuangan harus meliputi kepentingan di peringkat kebangsaan.

''Sepatutnya pemimpin menjadi contoh kepada rakyat. Kalau mereka gagal memainkan peranan ini sebaik-baiknya, maka, ia memperlihatkan taraf pemikiran seseorang pemimpin itu sendiri.

''Persoalannya di sini, mampukah mereka mempertahankan jawatan dalam parti tanpa memperjuangkan hak kaum kerana mereka akan menjadi tidak popular. Untuk kekal, mereka perlu melakukannya," katanya.

Sivamurugan melihat perkembangan politik tanah air sebagai satu kemunduran kerana ia bertentangan dengan kemajuan dicapai negara.

Dalam konteks Perak kata timbalan dekan ini, 'pertarungan kaum' yang berlaku memang sukar dinafikan. Sekiranya tiada usaha mengatasinya, dibimbangi ia akan menjadi semakin luas dan akhirnya mengundang mudarat.

Mengulas senario Perak itu, seorang penganalisis politik di utara tanah air menjelaskan, Soi Lek perlu mengambil sikap 'lebih Cina daripada DAP' untuk mendapatkan kembali kepercayaan masyarakat diwakili.

Namun katanya, jika cara tersebut terus dipraktikkan, ia hanya akan meningkatkan jurang perkauman dan masalah yang wujud akan berlarutan.

Dalam mengharungi isu-isu menjuarai hak etnik atau mungkin lebih tepat dikategorikan sebagai konflik ultra etnik ini, Sivamurugan sempat mempersoalkan bentuk keadilan yang kini diperjuangkan MCA.

''Mereka kata mahu keadilan sosial, tetapi keadilan sosial bagaimana? Bukankah mereka juga adalah sebahagian daripada kerajaan yang mencorakkan apa yang berlaku hari ini. Kenapa UMNO yang dipersalahkan," ujar beliau.

Mengambil kira senario di atas, UMNO lebih-lebih lagi di Perak, tiada pilihan. Pengalaman beberapa pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan untuk mengharapkan rakan-rakan komponennya bukan satu keputusan bijak. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, UMNO negeri itu harus menerima hakikat bahawa mereka kini 'keseorangan' dan perlu bekerja sendiri.

Malah, hitungan secara purata memerlukan UMNO Perak memperoleh sekurang-kurangnya 70 peratus sokongan undi daripada orang Melayu bagi membolehkan parti itu memenangi kerusi yang ditandingi.

''Masalah yang berlaku di Perak sama dengan Perlis dan Kedah. Sebenarnya, UMNO tidak lemah tetapi perpecahan dalam UMNO itu sendiri yang menyebabkan UMNO lemah. Mereka sendiri tahu tetapi buat-buat tak tahu.

''Pemimpin-pemimpin ini perlu bertanya kepada diri sendiri apakah mereka bersedia untuk menyerahkan Perak buat kali kedua kepada pakatan pembangkang," kata penganalisis politik dari utara itu lagi.

Jelas beliau, pakatan pembangkang diketuai DAP, tidak akan memberi ruang kepada pihak lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan pastinya persiapan yang dilakukan kali ini adalah yang terbaik berbanding 2008.

''Sebelum ini, mereka letak calon tangkap muat pun boleh menang, tentu sekali calon-calon yang diketengahkan kali ini adalah yang terbaik kerana mereka dalam persediaan untuk memerintah negara," katanya.

Terdapat sembilan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO termasuk yang dilantik di Perak. Menjadi antara negeri teramai mempunyai wakil, dilihat antara punca mengapa para pemimpinnya sukar berada di dalam bahtera yang sama. Ini kerana masing-masing beranggapan mereka mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan pucuk kepemimpinan Pusat.

Dan sudah pasti keadaan itu menyukarkan Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengemudi dengan sebaik mungkin kapal yang diketuainya.

''Masing-masing melihat dia layak menjadi ketua bahagian, menteri besar atau menteri. UMNO masih dihantui soal merebut kedudukan daripada memperjuangkan isu Melayu yang amat dinanti-nantikan oleh orang Melayu.

''Masalah yang membelenggu ini menyebabkan 'komander' sukar memberi arahan. Sedangkan UMNO Perak tidak mempunyai banyak masa lagi," kata penganalisis terkenal itu sambil turut menekankan pemimpin lama atau 'dinasour tua' perlu melepaskan jawatan jika sayangkan parti.

Apa yang menarik, beliau melihat masalah itu dapat diatasi dengan mudah jika pucuk kepimpinan Pusat sendiri bersedia untuk membantu Zambry.

Penglibatan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat penting untuk menzahirkan impak bagi membetulkan apa yang tidak betul, katanya.

''UMNO merupakan parti feudal. Sebagai sebuah parti feudal, kadang-kadang pemimpin tertinggi perlu buat keputusan segera kerana apa yang diputuskan itu orang bawahan akan ikut.

''Perlu diingat, BN dan UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada pemimpin-pemimpin lama tetapi mesti mencari pelapis baru yang berwibawa untuk menyaingi calon-calon yang diketengahkan parti lawan,'' katanya.

Hakikatnya, masih banyak perkara perlu diberi perhatian jika mahu memastikan akan wujud cahaya dihujung terowong yang malap di Perak.

No comments:

Post a Comment