Wednesday, August 4, 2010

DATO' ABDUL AZIZ MOHD NOR DAN PEMBANTU PERIBADI MATI DITEMBAK : TAKZIAH - AL FATIHAH

Bekas Adun , Dato Abdul Aziz Mohd Nor dan Pembantu Peribadi Mati Ditembak

KM455-7
Lebuhraya Plus
arah Utara
selepas Restoran Jejantas Sg Buloh
3 Ogos 2010
11 pagi


Kejadian ini dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi.

Saya menerima maklumat kes ini kira-kira jam 11-10 pagi dari seorang rakan yang kebetulan melalui laluan di sebelah dan ternampak sebuah kereta tersadai di laluan paling kanan.

Bagaimanapun menurutnya, tidak pasti adakah ianya kemalangan maut kerana impaknya tidak banyak/besar.

Setelah membuat beberapa semakan, akhirnya, setengah jam kemudian baru saya dimaklumkan, ia adalah kemalangan maut.

Setelah tiba di lokasi, saya merasa agak pelik kerana impak yang kecil sebegitu boleh membawa maut kepada kedua-dua pemandu dan penumpangnya.

Persoalan mula timbul adakah ianya berkaitan dengan kes jenayah atau sebaliknya.


Ia membabitkan bekas Adun Permatang, Dato ABdul Aziz Mohd Nor , 63 tahun ditemui maut di dalam Toyota Caldinanya.

Seorang wanita, Siti Rohana Ismat, 43 tahun, yang juga dipercayai pembantu peribadinya, juga ditemui maut di dalam kenderaan ini.

Terdapat dua kesan tembakan pada kepala mangsa.

Kereta ini ditemui terbabas dan merempuh besi pembahagi lebuhraya.

Mayat dihantar ke Hospital Sg Buloh untuk bedah siasat.

Bedah siasat sedang dilakukan dan punca sebenar kematian akan diketahui.

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis revolver di dalam kereta ini bersama lesen memiliki senjatapi dan peluru

Pistol ini disahkan milik Dato Abdul Aziz.

Dato Abdul Aziz sebelum ini mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Permatang selama sepenggal sehingga 2008. Pilihan raya umum ke-12 yang lalu, arwah digantikan dengan muka baru, Sulaiman Abdul Razak.


Abdul Aziz meninggalkan seorang isteri, Siti Fatimah Md Noor dan 3 anak - Pensyarah Unimas, Nor Azila 40, pensyarah Unisel Nor Azian 37 dan Exco Pemuda UMNO, Mohd ANis Hashim, 33.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas Isyak malam ini. Selepas selesai proses bedah siasat, jenazah di bawa keluar jam 5-30 petang tadi.Tembakan mengenai kepalanya.

Abdul Aziz merupakan bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar dan menjadi Adun Permatang, Kuala Selangor dari 2004-2008.

Manakala jenazah Siti Rohana Ismat dibawa keluar dari bilik jam selepas selesai bedah siasat kira-kira jam 6-50 petang tadi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Sg Gulang-gulang, Tanjung Karang.

Siti Rohana yang juga merupakan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Tg Karang,terkena tembakan di kepala. Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan.

Siasatan turut dilakukan samada kes membabitkan bunuh dan bunuh diri.


Kenalan dan Pemimpin Politik Masih Sukar Terima Kematian Aziz

Datuk Abdul Aziz Mohd Noh

SHAH ALAM: Pelbagai pihak khususnya para pemimpin Umno masih tidak dapat mempercayai bagaimana bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor dan juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh ditemui mati di dalam kereta dengan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang Siti Rohana Ismat, pada pagi Selasa.

Menurut polis, kedua-duanya mati dalam keadaan mangsa kemungkinan menembak pasangan sebelum menembak dirinya sendiri.

Hasil bedah siasat mendapati Siti Rohana mempunyai dua kesan tembakan di kepala manakala Aziz pula dengan satu kesan tembakan juga di kepala.

Kebanyakan yang hadir ke majlis pengebumian Aziz berkata, mengenali Aziz, mereka tidak percaya ada orang yang mahu membunuhnya apatah lagi untuk dia mengambil nyawa di tangannya sendiri.

Aziz berusia 64 tahun manakala Siti Rohana, 43.

Aziz mempunyai seorang anak lelaki iaitu Mohd Anis yang mengikuti jejak langkahnya bergiat aktif dalam Umno sebagai Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Ketua Polis Selangor, Timbalan Pesuruhjaya Polis Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan hasil penemuan bedah siasat tersebut.

Beliau juga mengesahkan, hasil siasatan awal polis dan juga hasil keterangan saksi yang sempat menyaksikan kejadian itu mendapati, tidak ada pihak ketiga terlibat dalam kejadian tersebut.

Polis turut menemui sepucuk pistol revolver .38 dengan tiga butir peluru masih berada di dalam kelongsong.

“Hasil siasatan kita mendapati hanya mereka berdua sahaja yang berada di dalam kereta ketika kejadian itu berlaku dan perkara ini disahkan oleh para saksi yang melihat kejadian itu.

“Bagaimanapun, untuk tujuan penyiasatan kami akan mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh dan pihak polis telah menghantar revolver tersebut ke makmal Jabatan Kimia untuk ujian balastik,’’ katanya.

Katanya lagi, kereta yang dinaiki oleh kedua-dua mangsa ketika ditemui tersadai di laluan laju (sebelah kanan) di kilometer 455.7 Lebuh Raya Lembah Klang Utara berdekatan Sg Buloh pada lebih kurang jam 11 pagi Selasa.

Sementara itu, Mohd Anis, 33, ketika ditemui berkata, dia menerima panggilan telefon pada lebih kurang jam 11.30 pagi daripada salah seorang ahli keluarga memaklumkan akan kejadian itu.

Kata Anis, bapanya keluar dari rumah mereka di Seksyen 9, Shah Alam pada lebih kurang jam 9 pagi menuju ke pejabat mereka di Seksyen 16 Petaling Jaya.“Bila tiba di pejabat, dia menaiki kereta bersama Rohana menggunakan kereta Rohana menuju ke Tanjung Karang untuk menghadiri satu majlis di sana.

Mohd Anis juga memaklumkan yang bapanya memang memiliki pistol.

Abdul Aziz terpilih sebagai ADUN Permatang pada pilihan raya 2004 selepas berkhidmat untuk sekian lama dengan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Abu Hassan Omar selaku setiausaha politik dan sebelum itu sebagai setiausaha sulit dan pegawai khas sewaktu Abu Hassan menjadi menteri.

Beliau berhenti pada tahun 2001 selepas isu kontroversi peletakan jawatan Abu Hassan sebagai menteri besar. Seorang menteri yang mengenai Abd Aziz ketika mereka sama-sama berkhidmat sebagai setiausaha politik lagi menghubungi seorang pengarang mStar Online melalui SMS menyatakan kesukaran untuk mempercayai akan apa yang telah berlaku kepada Allahyarham.

Beliau menyifatkan Abdul Aziz sebagai seorang yang ceria, lemah lembut dan tidak pernah bercakap kasar dengan orang. Beliau akan dikenang sebagai seorang operator politik yang sentiasa bekerja di belakang tabir dan tidak suka berada di barisan hadapan.

Seorang lagi bekas Mentri Besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata, beliau berasa sedih apabila mendengar berita kematian Abdul Aziz yang beliau sifatkan sebagai seorang ahli politik veteran yang setia kepada ketuanya.

Dalam pada itu, rakan Abdul Aziz yang sama-sama berkhidmat dengannya sebagai wakil rakyat, Datuk Ch’ng Toh Eng berkata, dia dan ramai lagi terkejut besar apabila mendapat khabar berita mengenai kematian Abdul Aziz.

“Saya pertama kali mengenalinya pada tahun 1980an ketika beliau masih lagi berkhidmat dengan Datuk Seri Abu Hassan dan kami sangat rapat,’’ kata Ch’ng.

Satu perkara tentang Abdul Aziz yang dia tidak dapat lupakan ialah kebolehannya untuk bertutur dengan fasih dalam bahasa Tamil dan juga Hokien.

Dia juga seorang yang sangat sederhana dan tidak pernah bercakap kasar dengan orang dan sentiasa mengambil berat akan soal-soal dan isu masyarakat Cina ketika berkhidmat sebagai setiausaha politik Abu Hassan.

Abdul Aziz meninggalkan balu, Datin Siti Fatimah Md Nor, 62, tiga orang anak dan empat cucu. Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas Isyak.

Turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya ialah bekas bosnya sendiri, Abu Hassan, Dr Khir, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bekas ahli Parlimen Shah Alam dan menteri kabinet, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin.

Sementara Siti Rohana, pula berasal di Kampung Sungai Gulang-Gulang in Tanjung Karang.


No comments:

Post a Comment