Friday, April 10, 2009

TUN MAHATHIR POSITIF, KHAIRY TIDAK KECEWA : KABINET BARU NAJIB

Khairy: Saya tidak kecewa -Malaysia Kini


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak kecewa kerana tidak dilantik menganggotai barisan kabinet baru.Sebaliknya, tegasnya, beliau telah diberi tugas lain oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketika dihubungi Malaysiakini, ahli parlimen Rembau berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Najib semalam.


Dalam pertemuan itu, katanya, Najib memintanya supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti. "Presiden Umno itu mahu saya menumpukan kepada kerja-kerja parti. "Beliau telah memberi saya tugas untuk menarik lebih ramai pengundi muda supaya menyokong Umno dan BN," katanya.Sehubungan itu, katanya, beliau berterima kepada presiden Umno kerana memilihnya untuk memikul tugas tersebut.

Menurut Khairy, beliau akan menumpukan tugasnya ke arah memperkukuhkan parti sepertimana yang dihasrat oleh perdana menteri. Beliau juga mengucap terima kasih kepada Najib kerana melantik naibnya Datuk Razali Ibrahim sebagai timbalan menteri belia dan sukan.Menurutnya, kabinet baru itu telah membariskan menteri dan timbalan menteri yang baik yang mampu untuk membantu perdana menteri melaksanakan agenda pembaharuan.

Beliau juga berharap anggota kabinet baru itu akan bekerja keras untuk merealisasikan objektif dan aspirasi rakyat Malaysia. Khairy bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ada campur tangan dalam pelantikan anggota kabinet baru itu.




Dr M: 'Positif' Khairy tidak tersenarai - Malaysia Kini

"Positif" - demikian reaksi mantan perdana menteri apabila ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak tersenarai dalam jemaah menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan petang ini. Sambil berkata tindakan itu membuktikan perdana menteri sanggup bertindak tegas terhadap rasuah, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyifatkan barisan kabinet baru itu tanda "pembersihan dalam parti" sedang berlaku, lapor Bernama. "Najib bertindak bijak dengan menggugurkan kebanyakan mereka yang dituduh mengamalkan rasuah walaupun seorang dua entah kenapa turut terselit," katanya hari ini. "Ianya positif.

Tak ada orang yang jelas terlibat rasuah terpilih khususnya ketua Pemuda (Khairy) yang didapati bersalah guna wang dalam pemilihan (Umno). "Dia tak diberi apa-apa jawatan pun. Itu satu bukti Najib ingin bersihkan parti."Dengan ketegasan dalam menangani rasuah, bekas presiden Umno itu percaya perdana menteri boleh juga bertegas dalam perkara-perkara lain."Ini satu pendirian yang tegas oleh Datuk Seri Najib. "Oleh itu saya berasa kalau dia dapat beri pendirian yang tegas dalam perkara ini, perkara lain juga dia akan mempunyai pendirian yang tegas," Dr Mahathir dipetik berkata.

Mengulas pelantikan anaknya sebagai timbalan menteri, beliau menggesa Datuk Mukhriz Mahathir menyelesaikan masalah penjualan permit import (AP) kenderaan yang pernah menimbulkan kontroversi beberapa tahun lalu.Negarawan itu turut yakin bekas exco Pemuda Umno itu boleh menjalankan tugas dengan baik di kementerian tersebut, lapor agensi berita itu lagi."Dia akan dapat menjalankan tugas dengan baik. Saya harap dia akan menangani masalah dalam pemberian permit import (AP) kepada mereka yang menjual AP," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.Najib mengumumkan barisan kabinet pertamanya dengan melantik Mukhriz - seperti dispekulasikan - sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Ditanya mengenai pelantikan anak ketiganya, Dr Mahathir berkata: "Saya gembira. Walaupun jika dia tidak dilantik, tak apa."Mengulas sama ada pelantikan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagaimenteri kewangan kedua boleh membantu Najib - yang juga menteri kewangan - menangani kelembapan ekonomi, Dr Mahathir berkata: "Saya tak tahu nak nilai Husni tapi saya tahu (Tan Sri) Nor Mohamed Yakcop mempunyai kebolehan dalam bidang itu dan saya fikir tentulah dia dapat memberi pandangan."Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri , Ahmad Husni menggantikan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang dipindah ke Jabatan Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment