Petikan dari KMU tulisan Oleh: Nihaz Mohd Yusoff
Program UMNO PASCA PILIHANRAYA UMUM KE 12 - SATU PENILAIAN pada 1 April di Hotel Singgahsana, PJ anjuran laman ini berjaya memberikan semangat baru kepada ramai penyokong-penyokong UMNO yang telah kecewa dan juga kepada rakyat, terutama anak muda yang terpinga-pinga dengan apa yang berlaku dalam Malaysia hasil dari ‘kegeligaan’ (baca: kegilaan) otak graduan Oxford.
Untuk mengulas lanjut mengenai program tersebut, rasanya tidak perlu kerana semua orang boleh mencapainya di youtube dan membaca ulasan-ulasan bloggers dan juga penulis lain
Di dalam majlis tersebut, buat seketika, saya adalah antara mereka yang kepanasan bila seorang peserta membangkitkan persoalan tentang Anwar Ibrahim. Diam-diam di dalam hati berkata ‘sedarkah dia ini bahawa KMU wujud atas kesedaran untuk menyelamatkan negara daripada Anwar Ibrahim?’Kepanasan saya terhadap ‘budak’ itu tidak lama, saya menjadi terkejut apabila ‘budak’ tersebut ditunjuk jalan keluar. Saya merasa terkilan kerana ‘budak’ itu tidak dapat menghabiskan soalannya dan panelis tidak dapat memperdengarkan jawapan mereka. Mahu rasanya saya berlari ke mikrofon dan meminta ‘budak’ itu dibawa masuk kembali. Tetapi, jika berbuat demikian mungkinkah saya pula yang akan diheret keluar???
Insiden ini adalah antara dua kecacatan dalam majlis yang telah berlangsung dengan jayanya itu.
Kemarahan penyokong UMNO Selangor terhadap bekas MB mereka telah juga mencacatkan majlis ini. Ini kerana mereka telah bertindak dengan agak menjengkelkan bagi majlis ilmiah seperti ini.
Walau apapun, pada hari tersebut kita telah dapat melihat keberanian DS Khir Toyo yang sanggup hadir dan menerima belasahan demi sayangnya pada UMNO dan Melayu. Sedikit keberanian wajar diberi penghormatan dalam masyarakat yang penuh dengan pengecut dan penakut ini.
Jika ada yang masih marahkan DS Khir Toyo, fikir-fikirkanlah perkara ini. Berapa ramai pemimpin UMNO yang sanggup memikul tanggungjawab dan menyerah diri untuk di belasah oleh rakyat semata-mata kerana ingin memulihkan Parti? Rata-rata pemimpin UMNO masih pun belum mengaku bahawa mereka telah bersalah, apatah lagi untuk memikul tanggungjawab. Untuk itu, DS Khir Toyo wajar diberi penghormatan.
Dari sudut lain pula, segala yang berlaku menunjukkan betapa benarnya kata Ayahanda Tun M bahawa pemimpin bukan sahaja perlu bersih, tetapi perlu dilihat bersih.
Pemimpin UMNO juga harus menerima hakikat dan jangan dengan mudah menganggap bahawa yang menjerit marah dan menyampah kepada pemimpin UMNO itu adalah penyokong pembangkang yang ingin membuat kacau. Dari keputusan pilihanraya yang lalu, terbukti bahawa penyokong UMNO sendiri dan juga pengundi atas pagar juga sudah amat menyampah kepada pemimpin mereka berdasarkan apa yang mereka lihat dan rasa.
Pemimpin tidak boleh sekadar mengharapkan penyokong menerima cakap-cakap mereka bagi menjawab sesuatu isu kerana cakap pemimpin politik bukannya sama dengan cakap ketua di pejabat atau cakap rakan-rakan di kedai kopi. Cakap pemimpin politik seringkali dianggap rakyat tidak laku, berbelit dan retorik. Pemimpin politik kini dinilai oleh rakyat melalui apa yang dilihat dan dirasai dan bukan lagi dari apa yang dicakap.
Zaman berpolitik dengan bercakap sudah hampir berlalu. Pemimpin harus cepat mengejar rakyat dari segi kematangan dan bukannya jauh ketinggalan di belakang.
Kerana jauh ketinggalan dan menidakkan keintelektualan rakyatlah maka UMNO menghadapi nasib seperti hari ini.
Seperti kata Dato’ Mukhriz, UMNO bukan lagi diberi tamparan, tetapi sepak terajang oleh rakyat. Tentu hebat sekali manusia yang masih mampu tidur berdengkur setelah disepak.
Keseluruhannya, forum ini menjurus kepada satu rayuan, seruan dan tekanan agar berubahlah dan berubahlah segera! Jangan jadi penakut, pembodek dan jangan jadi bodoh dan hina dengan membiarkan negara tergadai dan hancur berkecai di hadapan mata kita. Semoga dengan program ini, semua perserta dapat kembali ke kawasan masing-masing dengan satu semangat gempur yang baru. Lakukan apa yang perlu - realisasikan EGM yang dicadangkan Tengku Razaleigh dan `jika UMNO berani, maka tentunya pemimpin yang layak akan tetap dicalonkan oleh bahagian-bahagian’ kata YB. Dr. Puad Zarkashi, Ketua Penerangan UMNO Johor.
Semoga kita berjaya menyelamatkan bangsa dan negara dari dihancurkan oleh sikap pemimpin dan sikap kita sendiri.
Sebelum terlupa, Setinggi tahniah kepada semua petugas KMU bagi program ini. Melalui program ini, KMU telah meniupkan semangat berani kerana benar kepada semua. Walau pernah dituduh sebagai pembangkang, dihalau keluar dari pejabat UMNO, diugut dan sebagainya, KMU tetap berani kerana benar. Dan kerana benarlah, KMU masih lagi berdiri sehingga hari ini.
No comments:
Post a Comment