Wednesday, April 2, 2008

Mukhriz tunggu Hisham -- * Jika Ketua Pemuda UMNO kosong * KJ dijangka tidak bertanding

Oleh HERMAN HAMID dan Rozilan Salleh
KUALA LUMPUR 1 April – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kini hanya menunggu langkah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum mengambil pendirian untuk menawarkan diri merebut jawatan nombor satu dalam pergerakan itu.

Kedua-dua pemimpin itu jelas membayangkan pendirian untuk tidak ‘melanggar’ Hishammuddin sekiranya Menteri Pelajaran itu kekal mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2000. Dalam masa yang sama, Mohamad Khir menjangka Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin tidak akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu.

Menurut Mukhriz, beliau perlu menunggu keputusan ketuanya itu sebelum membuat sebarang pendirian untuk bertanding jawatan berkenaan.‘‘Sudah tentu saya kena tunggu bos saya, Datuk Hisham membuat keputusan ke mana dia akan pergi (bertanding) sebelum saya buat keputusan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menjadi panel pada forum UMNO Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 di Petaling Jaya hari ini. Ditanya jika Hishammuddin bersedia bertanding jawatan Naib Presiden, adakah beliau akan memutuskan bertanding Ketua Pemuda, Mukhriz berkata: ‘‘Ia kena tunggu dan lihat dahulu.’’

Selain Mukhriz, turut menjadi panel forum itu ialah Mohamad Khir dan Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr. Mohd. Puad Zarkashi sementara bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula menyampaikan ucaptama pada majlis anjuran sebuah laman web yang dihadiri hampir 2,000 orang. Pemuda UMNO kini dipimpin oleh Hishammuddin yang menang tanpa bertanding sejak 2000, setelah memangku jawatan itu pada 1998. Dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di Shah Alam, Mohamad Khir menyatakan kesediaannya berdepan dengan mana-mana calon lain jika Hishammuddin memutuskan untuk bertanding jawatan lain.
‘‘Untuk memutuskan hasrat bertanding jawatan itu, saya kena membuat kajian secara mendalam terlebih dahulu, lihat sokongan dan tidak boleh membuat keputusan secara semberono.

‘‘Begitu juga ke mana Datuk Hisham (Hishammuddin) bertanding, kalau dia kekal saya tidak akan ke situ (Ketua Pemuda),” katanya. Terdahulu dalam forum sebelah pagi yang dihadiri bersama Mukhriz itu, Mohamad Khir berkata, beliau bersedia untuk tidak bertanding sekiranya majoriti pimpinan Pemuda berkehendakkan Mukhriz.‘‘Dalam hal ini saya akan sentiasa berbincang dengan Mukhriz. Lepas itu kita tengok macam mana. Kalau tak bersatu masalah juga, mesti elakkan persengketaan sesama kita.

‘‘Pada saya yang penting kita kena kaji (pemilihan ini). Saya kena buat penilaian, Mukhriz kena buat penilaian. Selain itu kena tengok juga siapa yang hendak bertanding.‘‘Saya rasa mungkin Khairy Jamaluddin tak bertanding, mungkin seorang menteri Kabinet... Jadi yang nak lawan mesti boleh dapat pencalonan dan undi,’’ jelasnya.

No comments:

Post a Comment