Monday, April 21, 2008

Bumi Di Pijak Milik Orang

Petikan: Arah Kita

Hari ini terma baru lahir – Ketuanan Rakyat dan Ketuanan Rakyat ini tidak sepatutnya dan tidak boleh menggantikan Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu perlu dipertahankan. Salahudin Ayub dari Dewan Pemuda PAS dan Azmin Ali bersetuju secara dasar untuk berbincang mengenai isu mempertahankan hak orang Melayu dengan UMNO.Justeru itu apakah sebenarnya agenda permuafakatan tersebut? Adakah ini tidak akan menimbulkan kemarahan dari kaum-kaum lain? Kenapa kita tidak boleh bercerita mengenai mempertahankan hak Melayu yang semakin masa semakin terkikis. Adakah tidak benar Melayu dalam Bahaya?




Sememangnya ada kelihatan keuzuran Melayu biarpun di tanah air sendiri. Melayu perlu mempertahankan hak baik dari segi ekonomi mahupun politik. Pertahanan hak ini perlu agar Melayu, bukan menjadi tuan di negara ini tetapi mempunyai kekukuhan kedudukan . Hari ini bukan sahaja ketirisan malah apa yang di genggam baik kuasa politik mahupun ekonomi kini dipegang oleh kaum lain. Pegangan inilah yang pernah kita rujuk sebagai Melayu Dalam Bahaya dan pegangan ini secara kolektif terhakis memungkinkan Ketuanan Cina melampaui Ketuanan Melayu.Adakah kenyataan itu salah? Adakah kenyataan itu melampau? Takutkan kita pada kenyataan sebenarnya mengenai ketuanan bangsa lain melampaui bangsa kita? Bukankah telah disebarkan statistik mengenai pendapatan purata orang Melayu jatuh di tempat tercorot berbanding dengan Cina dan India. Itu belum dikira pula kemiskinan tegar di kalangan orang Melayu yang melangkau melebihi kaum lain di Malaysia.


Bukankah kita patut akui bahawa sekiranya keadaan ini berlarutan dan terdapat kepincangan dalam sosiopolitik dan ekonomi negara ini maka kemungkinan-kemungkinan kegusaran antara kaum akan berlaku? Ini adalah fakta berhemah yang pernah di ulas dan mempunyai jelas kebenarannya.Hari ini kita pula disergah dengan pemilikan bangunan di Malaysia yang kebanyakannya adalah milik kaum lain. Adakah kita masih mahu berselimut untuk tidak menyakitkan hati sesiapa lalu diam membiarkan perkara ini berlaku. Ini adalah “survival” bangsa dan ini hakikat yang memerlukan kita untuk mempertahankan hak agar – BUMI DIPIJAK BUKAN MILIK ORANG.Ketuanan Rakyat anjuran sesetengah pihak adalah kenyataan politik menjual hak Melayu.

Tindakan mahu juga membicarakan ketuanan, terlampau angkuh mahukan kuasa maka ketuanan rakyat dilemparkan untuk mengelirukan sedangkan isu ketuanan rakyat ini bukan satu isu pokok kerana itu adalah asas prinsip demokrasi. Ketuanan Melayu adalah persoalan hak, persoalan kedudukan orang Melayu dan persoalan pembelaan kemiskinan dan ketinggalan orang Melayu. Ini adalah perbicaraan terbuka dengan menilai kedudukan orang Melayu. Ini persoalan bangsa dan bukan persoalan ideologi politik.Persoalan tersebut tidak memerlukan lagi sinopsis siapa bersalah kerana kesalahan itu melibatkan semua, kepimpinan Melayu dan orang Melayu itu sendiri. Kesalahan ini sudah cukup diketahui dan kemungkinan klimaks kesalahan orang Melayu hari ini adalah ketirisan kuasa yang dipegang.Hari ini akan terjadi satu petunjuk baru mengenai ketirisan kuasa kerana ketirisan kuasa ini menambah lagi satu lagi bentuk kekurangan untuk orang Melayu. Penghakisan ini amat membimbangkan. Persoalan kesamarataan yang dituntut sebenarnya menghakis hak yang ada. Menuntut ketuanan rakyat kononnya untuk menunjukkan liberalis yang ada sebenarnya mempunyai matlamat tersendiri yang tidak menguntungkan bangsa.



Ini perlu di sedarkan agar kita tidak terikut dengan konsep kesamarataan sebagai satu keadilan. Kita perlu menilai di mana Melayu berada dan apa sebenarnya yang perlu dipertahankan sebagai hak Melayu. Kontrak sosial adalah kontrak sepanjang hayat yang perlu kita tegaskan dengan penjelasan konkrit. Isu ketidakadilan tidak timbul dan isu diskriminasi juga tidak timbul dalam kita melalui perkembangan bangsa khususnya dalam soal-soal kebajikan dan pendidikan. Pegagan ekonomi oleh kaum lain menunjukkan diskriminasi yang di katakan wujud hanya satu kesimpulan politik.


Ketuanan Rakyat adalah satu justifikasi palsu yang sebenar berhasrat untuk membawa politik idealisme Pakatan Rakyat di terima secara total oleh kaum lain sementara bertindak untuk kekal memecahbelahkan Melayu untuk tujuan memperoleh kuasa. Tindakan ini amat merugikan dan perlu kita sedarkan. Tuduhan berterusan mengenai “salah siapa” tidak seharusnya berpanjangan tetapi memperkasakan rakyat untuk memilih dan memahami perlu dilaksanakan. Tindakan menjual-bangsa untuk kuasa adalah sat pengkhianatan. Ini perlu kita tolak dan sekali lagi penjelasan mereka adalah perlu.UMNO pada am juga telah melakukan kesalahan. Kesilapan dan sikap prioriti yang salah adalah punca-punca UMNO berada di mana ia berada sekarang ini. Menjaga kepentingan sekelompok tertentu menjadikan kredibiliti UMNO tergugat dan unsur-unsur kompromi melampau untuk memegang kepimpinan dalam UMNO melukakan UMNO dari aspek demokrasi. Ini adalah punca pengasingan Melayu baru terhadap UMNO tetapi kewujudan UMNO sebagai simbol kekuatan Melayu perlu ada sungguhpun sudah terhakis.


UMNO memang perlu berubah dan perubahan itu tidak akan menarik legasi lama untuk singgah semula dalam masa terdekat. Banyak usaha perlu diambil khususnya untuk menaturalisasikan konon-konon kepentingan meninggalkan ketuanan Melayu dan mendukung Ketuanan Rakyat. Soalan Melayu perlu ditangani dan soal meningkatkan martabat Melayu perlu menjadi prioriti semua Melayu.Kita perlu pegang perjuangan Ketuanan Melayu – memperjuangkan hak dan mempertahankan apa yang ada dan menuntut apa yang tiris kembali. Apa salah perjuangan ini?

No comments:

Post a Comment