Thursday, March 13, 2008

Yang salah itu Melayu


Padan muka Melayu, padan muka kamu dan sekarang Malaysia khususnya Semenanjung sudah terlepas dari tangan kita. Selangor dan Perak akan mengikuti langkah Pulau Pinang sebagai negeri ketuanan Cina. Ini semua kerana Melayu mudah lupa dan kehadiran orang seperti kamu yang mengendali laman dan blog yang sentiasa menghentam kepimpinan Barisan Nasional dan UMNO. Hari ini kamu perlu bayar dengan maruah Melayu yang terpaksa digadaikan.

Ini adalah simpulan dan bentuk-bentuk kritikan yang di terima oleh http://www.umno-reform.com/ bukan sahaja melalui email malah melalui hubungan langsung telefon. Kritikan dan tuduhan itu dilakukan oleh beberapa ahli UMNO yang menyalahkan bloggers, penyelia laman web dan mungkin seluruh pengundi Melayu yang dikatakan terpedaya angkara berita-berita dan hujah palsu http://www.umno-reform.com/

Menarik juga adalah salah satu email yang kami terima:Khir adalah antara pejuang Melayu Selangor. Kamu tidak faham hasrat beliau untuk menyaksikan Melayu maju. Kamu tidak nampak versi besar Khir Toyo dan hari ini kamu akan kehilangan bukan sahaja kepimpinan yang hebat tetapi Selangor akan hilang identiti Melayu. **** MakBegitu marah mereka kerana mereka telah mengambil http://www.umno-reform.com/ adalah musuh Khir Toyo yang utama. Rata-rata yang menelefon mengatakan betapa sayangnya mereka pada bangsa mereka dan betapa UMNO sahaja yang dapat membela Melayu dan Melayu yang ada ini terpengaruh lantas melakukan sesuatu yang paling berdosa – yakni mengundi selain dari Barisan Nasional.

Namun satu yang paling ketara dalam mereka berhujah adalah sikap keter-lupaan mereka mengenai kesalahan pada diri kita dalam UMNO. Mereka lupa melihat kenapa rakyat mual dan bosan dengan UMNO. Kita lupa melihat salah siapa yang menyebabkan pengundi beralih arah. Kita lupa untuk membaca kritikan, komen dan sebab musabab kenapa bloggers dan media Internet mengkritik UMNO dan dalam konteks yang lebih menyeluruh Barisan Nasional. Mereka gagal mencari kesilapan Pak Lah, kesalahan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang angkuh meletakkan rakyat sebagai peminta sedekah dengan konon-konon subsidi adalah anugerah kerajaan, anugerah wang Pak Lah dan menteri-menteri kabinet dalam UMNO dan Barisan Nasional. Mereka tidak melihat dan mengkaji mualnya anak-anak muda yang berkesedaran politik terhadap Pemuda UMNO seperti Khairi Jamaluddin dan yang seangkatan dengannya.

Kebongkakan slogan seperti pembangkang sifar dan Selangor sifar setinggan hari ini meletakkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional di Selangor sebagai pembangkang dan negeri itu terlepas ke tangan Barisan Alternatif. Tindakan rakus memecah rumah setinggan pada masa anak Melayu sedang menjalani peperiksaan, meruntuhkan rumah dalam bulan Syawal dan sewaktu hampir perayaan Deepavali adalah tindakan tidak bermoral Khir Toyo yang akhirnya meletakkan beliau di tengah-tengah kritikan hebat khususnya dari laman ini.

Semua ini kita dalam UMNO dan Barisan Nasional tidak mengambil peduli. Kita lihat juga komen kepimpinan usang yang mengatakan Internet tidak akan memberi impak langsung kepada masyarakat dan komen mereka yang bercorak angguk seperti kenyataan Hishammuddin mengenai yuran peperiksaan dan Samy Vellu dalam menaikkan harga tol. Ini semua memberi kesan dan akhirnya yang terlupa adalah untuk kita dalam UMNO dan Barisan Nasional menegur orang yang berdiri di depan cermin itu.

Hari ini ahli UMNO khususnya membicarakan kehilangan orang Melayu. Hari ini mereka melabel Parti Keadilan Rakyat dan PAS menjual maruah Melayu. Mereka menuduh kita dalam laman web sebagai agen penjualan bangsa.Hari ini sebenarnya adalah pembalasan pada dosa-dosa UMNO dan Barisan Nasional yang gagal duduk sebagai wakil kepada rakyat. Hari ini adalah dosa kita berlagak sebagai tuhan kepada rakyat sebaik sahaja kita menang setiap pilihan raya sebelum ini.

Oleh itu bagi yang banyak menelefon dan mengkritik kami sebagai agen menjual Melayu, hendaklah mereka tepuk dada dan tanya sendiri – sewaktu memerintah adalah kamu mendengar rintihan rakyat dan luka yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Semasa memerintah adakah kamu membaca keluhan rakyat dalam media-media Internet kerana media lain jelas tertutup hak dan kebebasan mereka melapur.UMNO dan Barisan Nasional perlu reform. UMNO dan Barisan Nasional perlu memperluaskan minda ahli-ahli yang selama ini disempitkan. Mereka perlu hadir dengan lebih peka dan mengakui kesilapan. Dengan ini baru kita boleh membuat penilaian semula – perubahan dan berani mengambil tanggungjawab.

Kalau ditanya sama ada Pak Lah perlu diubah, maka jawapannya adalah kerana kepimpinan lemah – benar dia perlu di ubah tetapi perubahan dalam UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri lebih perlu kerana kita tidak mahu yang naik itu membawa penyakit lama dalam Barisan Nasional dan UMNO khususnya.

No comments:

Post a Comment