PULAU PINANG 9 Mac – Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mengambil tanggungjawab penuh di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) di negeri ini dan menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Pemangku Presiden Gerakan.
“Saya memikul tanggungjawab sepenuhnya. Ini juga bermakna pilihan saya sendiri ialah menawarkan diri untuk meletak jawatan.
“Bagaimanapun, saya memegang jawatan sebagai pemangku presiden parti, dan agak janggal jika saya mengundurkan diri. Siapa yang akan menjadi pemangku presiden (parti) dan memimpin parti. Maka, kita perlu mengadakan pemilihan parti,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.
Beliau berkata, pemimpin jawatankuasa pusat parti perlu berbincang mengenai perkara itu.
Difahamkan Jawatankuasa Pusat Gerakan akan mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur pada 5 petang esok.
No comments:
Post a Comment