Monday, March 10, 2008

‘Pilihanraya Badawi’ dan Pelajaran Politik untuk Tingkat Empat


Oleh: Sutradari

Kata para menteri separuh masak dalam ‘kitchen-cabinet’ Pak Lah, kemenangan besar PRU 2004 adalah atas faktor Pak Lah.

Fakta: kemenangan besar BN pada 2004 adalah hasil dari sokongan berterusan dari rakyat yang menyokong kempimpinan BN di bawah Tun M. Tetapi kemenangan kecil BN dalam PRU 2008 ini memang semata-mata kerana Pak Lah sepertimana yang dibayangkan bahawa Pilihanraya kali ini adalah sebenarnya Pilihanraya Badawi.

Sepanjang pemerintahan Abdullah Badawi, beliau hanya mendengar nasihat dari para penasihat tingkat empat tentang bagaimana untuk memerintah negara ini. Beliau menukar calon ini, naikkan calon itu, buang calon ini dan batal projek itu, atau mulakan corridor ini, ini dan ini...kutuk orang tua itu, puji diri sendiri, berkawan dengan samseng rempit, gunakan anak gadis muda untuk kempen sayang Pak Lah, semuanya atas nasihat geliga tingkat empat.

Tingkat empat juga memastikan iklan puji Pak Lah, Islam Hadhari atau undi BN disiarkan setiap lima minit di TV. Juga.siarkan gambar Pak Lah sebanyak mungkin di suratkhabar...beritahu dunia yang Pak Lah alim, rajin sembahyang..... Kemudian, bebaskan Anwar Ibrahim agar nampak lebih alim lagi, lebih dari itu tunjukkan bahawa Pak Lah penyayang, selalu sayang isteri depan orang.....pendek kata biar rakyat makan Pak Lah, tidur Pak Lah dan mandi Pak Lah.
Itulah nasihat dari otak geliga keluaran universiti-universiti ternama – nasihat-nasihat yang ternyata memakan diri dan menuntut harakiri.

Hakikatnya, budak-budak universiti ternama itu tetap hanya budak-budak mentah, walau berapa pun kelas ijazah mereka. Hakikatnya, rakyat sudah terlalu muak melihat Pak Lah di TV, muak melihat Pak Lah di suratkhabar dengan tajuk-tajuk yang remeh dan dibuat-buat untuk memuji diri. Muak dengan pengumuman projek-projek giga dan juga ‘kehebatan’ kedudukan ekonomi negara sedangkan hidup mereka semakin tertekan. Rakyat juga muak dengan gelagat budak-budak mentah yang seolah-olah cuba memperbodohkan sesiapa sahaja yang tidak ‘Oxford’ seperti mereka. Padahal, rakyat sedang menilai IQ mereka dalam mentadbir negara dan menangani masalah kenaikan harga barang mahupun kenaikan kadar jenayah. Rakyat tidak sebodoh Abdullah Badawi.

Penulis adalah antara beribu-ribu rakyat yang dengan berat hati telah tidak mengundi dalam pilihanraya 2008 ini. Penulis tahu ini amat tidak bertanggungjawab tetapi penulis tidak dapat memaksa diri memangkah lembu seperti PAS atau talibarut Yahudi seperti ADIL dan juga tidak sanggup lagi memangkah BN yang kini merupakan kerajaan tiga beranak yang dengki khianat, busuk hati serta tamak haloba. Di samping keluarga penulis, keluarga kakak penulis, ibu dan bapa, termasuk tiga dari jiran penulis juga memilih untuk tidak mengundi kerana sebab yang sama. Boss penulis dan keluarganya juga berbuat yang sama. Begitu juga rakan-rakan sahabat penulis di pejabat. Seluruh keluarga abang ipar penulis juga sama. Bapa saudara penulis dan keluarga dan anak-anaknya juga sama. Bayangkanlah.. itu hanya jumlah pengundi berdaftar yang tidak mengundi yang punya kaitan dengan penulis sahaja. Dan rata-ratanya mereka ini semua punya rakan dan keluarga juga yang berkongsi perasaan yang sama iaitu, sudah terlalu muak dengan Pak Lah.

Seminggu sebelum pengundian, guru sekolah anak penulis yang berbangsa Cina ada merungut bahawa beliau akan memangkah DAP kali ini kerana ‘tired of Pak Lah’. Begitu juga ibu saudara penulis yang berbangsa Cina serta anak-anaknya telah memangkah pembangkang disebabkan tidak mahu membiarkan Pak Lah terus dibuai perasaan.

Jika penasihat tingkat empat benar-benar geliga, mereka tentu sudah menghidu bahaya ini lebih awal. Rakyat telah memberi beberapa petunjuk samada melalui blog, laman web, surat, banner dan berbagai cara lagi tetapi ianya tidak diambil hirau dan mungkin tidak sampai pun kepada Pak Lah. Tun M juga telah cuba menyuarakan apa yang dirungut oleh rakyat tetapi suara beliau juga cuba dihalang dengan berbagai cara.

Sekiranya blog-blog yang mengkritik Pak Lah ini adalah milik pembangkang, ianya tidaklah perlu diberi perhatian sangat. Tetapi, blog-blog seperti, Kadir Jasin, Sang Kelembai (Zaharin), Rockybru, KMU, Cuit Sikit, Nuraina Samad dan berpuluh-puluh atau mungkin beratus lagi yang mengkritik Pak Lah itu adalah dikendalikan oleh penyokong-penyokong kuat UMNO, maka bukankah ia seharusnya dijadikan sebagai ukuran suara akar umbi UMNO dan tidak seharusnya dilayan sebagai sampah, diejek dan dipermainkan oleh tingkat empat?

Mungkin budak-budak mentah tingkat empat perlu belajar politik dari mula. Untuk itu, di bawah ialah ringkasan pelajaran politik 101 untuk tingkat empat:

The don’ts in politic:

Jangan menonjolkan pemimpin dengan cara keterlaluan kerana ia membuatkan rakyat muak.
Jangan menidakkan suara penyokong akar umbi di alam nyata atau maya kerana ia adalah cermin sokongan sebenar semasa pilihanraya.
Jangan memburukkan pemimpin yang telah banyak berjasa kerana ia menunjukkan anda tidak beretika.

Jangan menganggap orang yang tidak melanjutkan pelajaran di universiti yang sama dengan anda sebagai bodoh dan mudah ditangani.

Jangan berpolitik kerana anda masih terlalu mentah dan kesilapan anda dalam percaturan politik akan menghuru-harakan dan menghancurkan Parti, Negara dan Bangsa.

Jangan merasakan diri pandai, kerana orang yang benar-benar pandai adalah orang yang sentiasa merasakan dirinya kurang dan terus belajar untuk menambah ilmu.

Orang yang menyangka diri sendiri pandai selalunya terbukti amat bodoh.

Hari ini, Pilihanraya Badawi telah memberi pelajaran politik terbaik untuk tingkat empat iaitu, Abdullah Badawi itu adalah beban bagi UMNO, BN dan Malaysia. Buat kali terakhir, nasihatkanlah Abdullah Badawi, menantunya serta kuncu-kuncunya termasuk anda sendiri agar turun secara terhormat sebelum perasaan muak menjadi benci.
Atau, perlukah Abdullah Badawi ini diajar sekali lagi?

No comments:

Post a Comment