Friday, February 29, 2008

Hadi angkuh – MB


MARANG 25 Feb. – Keengganan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut salam calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir menunjukkan Presiden Pas itu seorang yang angkuh.


Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tindakan Abdul Hadi langsung tidak mencerminkan sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang
pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam.


Berdasarkan sikap angkuh Abdul Hadi itu, Idris meminta rakyat menolak kepimpinan Presiden Pas itu dan memilih calon BN di Parlimen Marang pada pilihan raya umum 8 Mac ini.


“Saya diberitahu mengenai insiden itu semalam. Inilah sikap sebenar pemimpin Pas. Saya tidak pasti apakah sebabnya Abdul Hadi tidak mahu bersalam dengan Ahmad Ramzi.
‘‘Islam telah mengajar kita untuk menghormati orang lain dan antaranya wajib kita menyambut salam orang lain.
“Apatah lagi jika ia melibatkan saudara sesama Islam. Tuntutan ini wajib ditunaikan tanpa mengira pegangan politik,” kata Idris kepada pemberita selepas menghadiri program makan pagi bersama penduduk di Kampung Rhu Muda di sini hari ini.


Turut hadir ialah Ahmad Ramzi, calon BN di kawasan Parlimen Marang, dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Razali Idris.


Pada pilihan raya 8 Mac ini, Abdul Hadi dan Ahmad Ramzi bersaing untuk merebut kerusi Marang yang sebelum ini disandang oleh Datuk Abdul Rahman Bakar.


Idris berkata, sebagai pemimpin sebuah parti yang membawa nama Islam, Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat.
“Semasa Ramzi hendak bersalam, dia kata ‘dok payoh’ (tidak payah).


“Mungkin keegoannya menyebabkan beliau bersikap sedemikian. Saya amat berharap rakyat membuat penilaian sewajarnya atas tingkah lalu yang ditunjukkan oleh Abdul Hadi,” tambah Idris.

No comments:

Post a Comment